JOHOR BAHRU: Polis menahan 6 lelaki dan 2 wanita tempatan kerana menghadiri pesta liar di sebuah inap desa di bandar raya ini ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) di sini, semalam.
Ketua Polis Johor, Ayob Khan Mydin Pitchay berkata semua suspek berusia 24 hingga 31 tahun itu ditahan dalam serbuan pada 12.30 tengah malam Rabu oleh sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor.
Beliau berkata, turut dirampas ialah dadah disyaki jenis ketamin seberat 13.50g, 8 pil erimin 5 dan 3 liter air ketum.
Katanya, 5 daripada 6 suspek lelaki itu mempunyai rekod berkaitan jenayah dan dadah.
“Hasil siasatan awal mendapati semua suspek dari luar dan bukan penghuni di premis berkenaan, selain gagal memberi alasan munasabah untuk berkumpul,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Beliau berkata, hasil ujian saringan air kencing mendapati seorang suspek lelaki positif dadah jenis ketamin.
Ayob Khan berkata, mereka direman 3 hari bermula semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 serta Peraturan 11 Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020.
Suspek yang didapati positif dadah disiasat mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Dalam kes berasingan, beliau berkata, pihaknya memberkas 4 lelaki tempatan dan seorang lelaki Singapura bersama sejumlah dadah dalam 2 serbuan di sekitar Johor Bahru kelmarin.
Serbuan pertama di sebuah rumah di Taman Mutiara Rini pada 5 petang Selasa yang membawa kepada penahanan 3 lelaki tempatan dan seorang lelaki Singapura berusia 24 hingga 34 tahun.
Beliau berkata, pihaknya merampas 551.97g serbuk ecstasy, 450 pil erimin 5, 40.64g heroin, 18.44g syabu dengan jumlah keseluruhan RM66,727 selain menyita 4 kenderaan bernilai RM250,000 serta wang tunai berjumlah RM2,640 dan S$200.
Katanya, semua suspek juga didapati positif dadah jenis methamphetamine dan 3 daripada mereka mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah serta dadah.
Beliau berkata, suspek kini direman 7 hari bermula semalam.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Peraturan 11 Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.