`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Saturday, April 4, 2020

PAS bentuk jawatankuasa pantau menteri selepas Hadi dilantik duta khas

Presiden PAS Abdul Hadi Awang dilantik sebagai duta khas PM ke Timur Tengah.
PETALING JAYA: PAS akan membentuk satu jawatankuasa penasihat berbentuk “hisbah” bagi memantau tugas dan menasihati anggota kerajaan daripada kalangan PAS, supaya mereka dapat menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan jujur dan terbaik.
Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata, keputusan membentuk jawatankuasa itu dibuat selepas Presiden PAS Abdul Hadi Awang turut berada dalam pentadbiran kerajaan, selepas dilantik sebagai duta khas perdana menteri ke Timur Tengah bertaraf menteri.
“Memandangkan Presiden PAS berada dalam kerajaan, mungkin jawatankuasa itu akan dilantik dari kalangan pimpinan Majlis Syura Ulamak PAS.
“Sebelum ini PAS mempunyai Jawatankuasa Penasihat Kerajaan Kelantan dan Terengganu, dipengerusikan Presiden PAS,” katanya dalam satu kenyataan.
Semalam, Pejabat Perdana Menteri berkata, lantikan Hadi dipersetujui Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin.
Takiyuddin bagaimanapun berkata PAS menafikan dakwaan tindakan Muhyiddin melantik Hadi sebagai duta khas itu merupakan usaha memujuk dan memenangi hati ahli PAS.
“PAS lebih-lebih lagi presidennya tidak pernah meminta jawatan mahupun kedudukan dalam kerajaan, sebaliknya bersedia berkhidmat di mana jua demi menguatkan serta menjamin kestabilan kerajaan pimpinan perdana menteri,” katanya.
Menurut Takiyuddin, pelantikan yang dibuat itu membolehkan Hadi membantu kerajaan Perikatan Nasional dalam mengharmonikan hubungan diplomatik dan antarabangsa, khususnya dengan negara-negara Timur Tengah.
“PAS amat berterima kasih dan menghargai kepercayaan perdana menteri melantik presiden PAS sebagai duta khas perdana menteri ke Timur Tengah.
“Presiden PAS sebagai duta khas tentulah akan bekerjasama erat dengan Menteri Luar Negeri Hishamuddin Hussein dan Wisma Putra,” katanya.
Hadi yang merupakan ahli Parlimen Marang adalah bekas naib presiden Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia. Hadi juga pernah menjawat jawatan sebagai menteri besar Terengganu dari 1999 hingga 2004.
Hadi merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Syariah dari Universiti Islam Madinah dan Ijazah Sarjana dalam bidang Sains Politik dari Universiti Al-Azhar, Kaherah, Mesir.
Beliau pernah tersenarai sebagai antara 500 Muslim berpengaruh di dunia bagi kategori pendakwah dan pembimbing rohani oleh The Royal Islamic Strategic Studies yang berpusat di Jordan pada 2016. - FMT

1 comment:

Note: Only a member of this blog may post a comment.