`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Thursday, April 23, 2020

Sempena ‘new normal’, hidupkan ibadah Ramadan di rumah

Kita bakal menyambut Ramadan dengan ‘new normal’. Sudah pastinya agar sukar pada mulanya untuk membiasakan diri.
Assalamualaikum dan selamat petang semua.
Alhamdulillah bersyukur ke hadrat Allah dengan kurniaan nikmat iman dan Islam. Selawat dan salam ke atas junjungan Nabi Muhammad serta keluarga, sahabat-sahabat baginda, serta seluruh kaum muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah sekalian.
Saya doakan semoga tuan-tuan dan puan semuanya dalam keadaan sihat sejahtera dalam lembayung rahmat Allah.
Bagi yang sedang bekerja, anda sedang berjuang untuk negara. Bagi yang sedang duduk diam-diam di rumah, anda juga menyumbang untuk negara. Sama-sama kita bersabar untuk sedikit masa lagi.
Anas Malik berkata: “Rasulullah berdoa sebaik sahaja datangnya Rejab: ‘Ya Allah berkatilah bagi kami pada Rejab dan Syaaban serta berkatilah kami juga pada Ramadan’.”
Ramadan bakal menjelang. Saya pasti ramai yang terkenangkan saat sambutan Ramadan di tahun sebelumnya. Malam kita sama-sama berkumpul di depan kaca televisyen, menunggu pengumuman daripada Penyimpan Mohor Besar Raja- Raja, Syed Danial Syed Ahmad mengumumkan tarikh permulaan puasa.
Apa agaknya warna baju beliau malam ini?
Umat Islam dan seluruh rakyat Malaysia yang saya hormati,
Dari Suhaib, beliau berkata, Rasulullah bersabda: “Sungguh menakjubkan keadaan seorang mukmin. Seluruhnya urusannya itu baik. Ini tidaklah didapati kecuali pada seorang mukmin. Jika mendapatkan kesenangan, maka dia bersyukur. Itu baik baginya. Jika mendapatkan kesusahan, maka dia bersabar. Itu pun baik baginya.”
Positif dan sentiasa bersyukur. Itulah tema bagi “madrasah” Ramadan pada diri saya bagi tahun ini.
Someone, somewhere, right now is fighting for his or her life. You still have yours, so be thankful and spend it in the obedience of Allah.
Alhamdulillah. Kita bakal menyambut Ramadan dengan “new normal”. Sudah pastinya agar sukar pada mulanya untuk membiasakan diri. Namun, saya yakin ada hikmahnya.
Kepada “frontliners”, sesibuk mana pun anda, jangan lupa untuk bersahur. Pada sahur itu ada barakah. Anda perlu kuat untuk kami, demi negara. Kepada ibu-ibu di rumah, jangan lupa ajak sekali suami dan anak-anak menyiapkan menu sahur. Barulah meriah dapur di awal pagi.
Pastikan ada peluang walaupun sedikit untuk menunaikan solat tahajud. Bilakah saat terakhir kita sekeluarga sama-sama menunaikan solat tahajud dan bermunajat kepada-Nya? Saya yakin, dengan Ramadan “new normal” ini, kita boleh sama-sama laksanakannya. Jangan lupa doakan untuk Malaysia.
Sepanjang Ramadan, mungkin ada yang kepenatan bekerja terutamanya “frontliners” kita. Puasa tetap wajib mengikut kemampuan. Tapi, diharuskan berbuka puasa apabila tidak mampu melaksanakan puasa sepanjang hari tersebut atau dikhuatiri sekiranya meneruskan ibadah puasa akan menjejaskan fokus dan kemampuannya untuk merawat pesakit.
Mat buat apa di rumah di siang Ramadan? Takkan main Twitter je? Bacalah Al-Quran sama-sama. Ajak adik, kakak dan abang. Mungkin boleh buat tadarus Al-Quran. Mak atau ayah boleh dengar dan betulkan bacaan. Sambil tu, bolehlah buat pertandingan hafazan Al-Quran dan perdengarkan pada atuk dan nenek di kampung melalui Skype. Ramadan bulan yang amat istimewa. Di dalamnya diturunkan Al-Quran yang menjadi petunjuk buat sekalian manusia.
Firman Allah: “(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah.” (Al-Baqarah: 185)
Umat Islam dan seluruh rakyat yang berbahagia, Ramadan bulan ujian kepada kita. Ujian untuk menjaga akhlak dan tutur kata. Mungkin kita penat beratur di pasar raya, letih menunggu dalam kereta bila lalu “road block” atau marah kepada sesiapa sahaja. Ingat, Allah bersama dengan orang-orang yang sabar.
Rasulullah bersabda: “Puasa itu ibarat perisai. Semasa berpuasa, janganlah kamu mengucapkan kata-kata kotor dan tidak enak didengar, dan jangan pula sibuk bertengkar. Jika ada di antara kamu yang memaki atau mengajak berkelahi, maka hendaklah kamu katakan kepadanya, ‘sesungguhnya aku sedang berpuasa’.”
Buat masa ini, tidak ada lagi Jus Tebu Kak Mah di bazar Ramadan Taman Suria, Jitra, Martabak Pak Ali di bazar Ramadan Kampung Baru, KL serta bazar Ramadan di seluruh negara. Saya ulang, tidak ada bazar Ramadan pada tahun ini.
Pun begitu, – Alhamdulillah – perkhidmatan penghantaran makanan atau “e-hailing” termasuk bagi restoran makanan segera, masih dibenarkan seperti biasa. Jangan pula berkumpul untuk membeli juadah berbuka puasa. Tidak ada gerai yang akan beroperasi. Mungkin Ramadan inilah waktu anda boleh mencipta menu baru dan menikmatinya bersama keluarga.
Encik Ali boleh tempah Nasi Arab, sedekahkan kepada Ah Chong. Auntie Tan boleh tempah KFC, sedekahkan kepada Puan Wani. Encik Nordin boleh tempah nasi kerabu, sedekahkan kepada Uncle Muthu. Ramadan bulan sedekah dan berkongsi kegembiraan dengan sesiapa sahaja di sekeliling kita. Cuma, ingatan saya kepada rakyat untuk tidak membazir. Makan dan minumlah seadanya.
Umat Islam dan seluruh rakyat Malaysia yang saya kasihi,
Waktu malam boleh diisi dengan pelbagai ibadah. Kalau sebelum ini, Pok De rajin solat di masjid. Inilah masanya Mok De dan anak-anak nak solat berimamkan Pok De.
Pok De pun, takkanlah asyik Surah Al-Ikhlas dan Surah Al-Takathur sahaja. Bacaan pun tiru-tirulah Syeikh Bandar Balela dan Syeikh Abdul Rahman al-Sudais. Barulah seronok Mok De dan anak-anak solat. Hilang rindu nak bertarawih di masjid. Ramadan ini Ramadan kita dan kitalah yang mencorakkannya.
Walaupun apa yang saya sebutkan ini hal yang mudah-mudah, percayalah satu hari nanti anda akan menitiskan air mata bila mengenangkan saat emas bersama-sama keluarga dalam tempoh sebegini.
Bagi yang jauh dari keluarga, usah jadikan perintah kawalan pergerakan ini satu halangan. Eratkan ukhuwah melalui sidang video bersama insan-insan yang tersayang.
Kita sedang memasuki Ramadan dalam era new normal; tidak ada solat solat fardhu berjemaah, solat Jumaat dan solat Tarawih berjemaah di masjid dan surau dalam tempoh PKP.
Tidak ada juga majlis berbuka puasa di masjid dan surau dalam tempoh PKP. Tidak ada juga moreh selepas selesai solat Tarawih dalam tempoh PKP. Alternatifnya hidupkan ibadah dan tradisi Ramadan kita di rumah.
Kita semua hendak beribadah dalam Ramadan sebagaimana sedia kala kerana ia usaha memelihara agama (hifz al-din) dalam maqasid al-syariah. Namun, memelihara nyawa (hifz al-nafs) juga penting ketika ini. Akhirnya, kita akan dapat satu jawapan; matlamat hifz al-din takkan tercapai kecuali dengan hifz al-nafs. Benarlah kata Saidina Ali:
“Agama itu asas, pemerintah adalah penjaga, sesuatu yang tidak ada asas akan runtuh, sesuatu yang tiada penjaga akan hilang.”
Sebagai menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), sejujurnya saya mahukan Ramadan yang terbaik untuk umat Islam di Malaysia. Saya bersyukur kerana anda semua amat memahami dan bersama-sama saya untuk memutuskan rantaian wabak COVID-19. Yakinlah, Allah melihat apa yang kita lakukan, mendengar apa yang kita doakan.
Semoga dengan ketibaan Ramadan pada kali ini akan menatijahkan taqwa dalam hati sanubari kita sehingga mendapat mardhatillah yang akhirnya melayakkan kita menjadi hamba yang rabbani. Ingatlah sabda nabi: “Siapa yang berpuasa dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredhaan Allah, maka akan diampunkan segala dosanya yang telah lalu.”
Zulkifli Mohamad Al-Bakri ialah menteri di Jabatan Perdana Menteri (hal ehwal agama) dan bekas mufti Wilayah Persekutuan. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.