Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin petang tadi mengumumkan perlantikan Presiden Pas, Hadi Awang sebagai Duta Khas ke Timur Tengah bertaraf menteri.
Ini bermakna, lantikan menteri dan timbalan menteri yang sebelum ini berjumlah 70 orang telah bertambah menjadi 71 orang ramainya.
Dengan jawatan bertaraf menteri, Hadi Awang berhak mendapat segala segala gaji, elaun dan kemudahan sebagaimana menteri-menteri yang dilantik Muhyiddin sebelum ini.
Makna kata, kalau menteri-menteri biasanya mendapat gaji dan elaun sekitar RM60 ribu hingga RM70 ribu sebulan, selain kemudahan kereta, pemandu dan sebagainya, itulah juga nikmat yang dijangka akan diperolehi oleh Hadi Awang.
Cuma, kelebihan Hadi Awang sebagai Duta Khas bertaraf menteri, beliau tidak perlu menghadiri mesyuarat kabinet pada setiap Rabu sebagaimana wajib dihadiri oleh menteri-menteri yang lain.
Beliau juga tidak perlu mengangkat sumpah jawatan dan menyimpan rahsia di hadapan Yang Dipertuan Agong.
Tugasnya hanyalah berkaitan negara-negara Timur Tengah, termasuk melakukan lawatan, memastikan hubungan Malaysia terus baik atau mengiringi Muhyiddin jika beliau berkunjung ke negara-negara tersebut.
Selebihnya bolehlah beliau terus memberi kuliah atau mengajar agama seperti biasa, hanya barangkali sebutan namanya saja akan diperindahkan selepas ini menjadi TUAN GURU DATUK SERI HAJI HADI AWANG, DUTA KHAS KERAJAAN MALAYSIA KE TIMUR TENGAH BERTARAF MENTERI.
Dengan perlantikan ini juga, terjawablah sudah tanda tanya mengapa Hadi Awang tidak dilantik dalam sususan kabinet yang diumumkan Muhyiddin awal bulan lalu.
Ketika ditanya sebelum ini, Hadi Awang berkata, tiadanya nama beliau dalam kabinet adalah bagi membolehkannya memantau prestasi menteri-menteri Pas dalam kerajaan.
Agaknya Hadi Awang memang tidak mahu dilantik sebagai menteri, sebaliknya hanya sedia diberikan apa-apa jawatan lain yang bersesuaian dengan kedudukannya selaku Presiden Pas.
Melalui pembentukan kerajaan baru PN yang dipertikaikan banyak pihak sebelum ini kerana dianggap kerajaan pintu belakang lantaran ditubuhkan bukan berdasarkan kemenangan melalui mandat rakyat dalam pilihanraya, Hadi Awang berkata, kerajaan bukan saja boleh ditubuhkan melalui pintu belakang atau tingkap, bahkan boleh juga dibentuk melalui tebuk atap.
Dengan terbentuknya kerajaan tebuk atap pimpinan Muhyiddin sebagaimana disebut Hadi itu, selaku Presiden Pas, beliau sepatutnya menjadi salah seorang anggota kanan dalam kabinet.
Tetapi agaknya kerana tugas sebagai menteri itu lebih membebankan, banyak kerja perlu dilakukan, mesyuarat pula kerap perlu dihadiri, hadir sidang media atau dikejar wartawan lagi, kalau sikap cakap pula boleh jadi isu lawak atau kecaman ramai, termasuk juga tidak boleh lagi ponteng Parlimen, maka menjadi duta adalah pilihan yang lebih baik dan menyenangkan bagi Ahli Parlimen Marang itu.
Menjadi Duta Khas ke Timur Tengah, lebih-lebih lagi dapat sama gaji, elaun dan kemudahan seperti menteri, keistimewaan lain ialah kalau Hadi Awang lebih kerap tidak hadir ke Parlimen pun tidak ada siapa akan mencarinya.
Ketiadaannya di Parlimen selepas ini akan lebih mudah difahami bahawa beliau mungkin sedang melawat mana-mana negara Timur Tengah atas ada urusan rasmi yang tak dapat dielakkan dengan mana-mana Pak Arab.
Pendeknya, menjadi Duta Khas bertaraf menteri ini macam Hadi Awang dapat habuan ikut lubang atap yang sudah siap ditebuknya sebelum ini.
Yang menjadi persoalan ialah apakah hanya Hadi Awang saja dilantik sebagai duta bertaraf menteri dalam kerajaan ikut tebuk atap ini?
Bagaimana dengan ramai barisan pemimpin dan Ahli Parlimen UMNO yang lain yang tidak dapat jawatan?
Apakah selepas lantikan Hadi Awang ini, Muhyiddin akan melantik beberapa pemimpin UMNO, sekurang-kurangnya seperti Mohamad Hassan, Timbalan Presiden parti itu serta dua Naib Presidennya, Khaled Nordin dan Mahadzir Khalid sebagai Duta Khas atau Penasihat Khas bertaraf menteri juga?
-https://shahbudindotcom.net/
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.