`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Sunday, July 12, 2020

Jualan kereta terpakai naik akibat bimbang guna pengangkutan awam, kata peniaga

Pengecualian cukai jualan 100% sehingga 31 Dis untuk kereta buatan tempatan dan 50% bagi kereta import mendorong peningkatan jualan kereta terpakai.
KUALA LUMPUR: Jualan kereta terpakai meningkat selepas 3 bulan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan bagi membendung penularan Covid-19 kerana ramai pembeli bimbang menggunakan pengangkutan awam.
Tony Khor, presiden Persekutuan Syarikat Motor dan Kredit Malaysia, berkata kebanyakan pembeli tidak lagi selesa menggunakan pengangkutan awam.
“Pelanggan kami kata mereka lebih suka memandu kereta mereka sendiri selepas Covid-19. Mereka rasa lebih selamat,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata, peniaga kereta terpakai tidak menjangkakan trend ini akan berlaku selepas bergelut dengan tempoh sukar.
Tetapi, pengumuman kerajaan baru-baru ini mengecualikan cukai jualan 100% sehingga 31 Dis untuk kereta buatan tempatan dan 50% bagi kereta import mendorong peningkatan jualan.
Permintaan meningkat untuk kereta Jepun berusia kira-kira 5 tahun dan berharga bawah RM30,000. Jualan tertinggi dicatatkan di Perak, Johor dan Kedah: kebanyakan pelanggan menggunakan bas ekspres untuk perjalanan antara negeri.
Bagaimanapun, jualan kereta terpakai yang berharga lebih RM110,000 “masih sangat rendah”.
Di sekitar Kuala Lumpur, pemilik kereta lama mengambil kesempatan daripada pengecualian cukai jualan untuk menukar kereta mereka.
“Tetapi, mereka tidak menyasarkan kereta mahal, (pilihan) masih di bawah RM150,000,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata, peniaga tidak puas hati dengan pusat pemeriksaan kenderaan berkomputer (Puspakom) kerana penukaran hak milik dan pemeriksaan mandatori kenderaan mengambil masa lebih lama.
“Ia memerlukan lebih 7 hari dan ia mungkin lebih lama kerana kami mendapat banyak tempahan,” kata Khor.
Dahulu, prosesnya hanya memerlukan sehari, tetapi Puspakom tidak lagi membenarkan pelanggan datang tanpa pendaftaran dalam talian dan mereka perlu menunggu giliran.
Seorang lagi peniaga kereta terpakai di Jalan Klang Lama memberitahu FMT, pelanggannya bimbang menggunakan pengangkutan awam selepas krisis Covid-19.
“Kebanyakan mereka membeli kereta berharga RM30,000 hingga RM40,000 untuk kegunaan sendiri,” kata peniaga itu yang hanya mahu dikenali sebagai Tan.
Katanya, seorang pelanggannya membeli sebuah kereta untuk dijadikan tempat perlindungan kecemasan untuk tinggal sementara.
“Beliau beritahu saya, beliau tidak pasti jika masih mempunyai kerja dan sedang mencari sebuah kereta murah,” katanya sambil menambah pembelian itu belum selesai.
April lalu, negara mula menghentikan semua aktiviti awam untuk membendung penularan Covid-19 menyebabkan hanya 141 kenderaan dijual, iaitu 0.3% daripada jualan bulanan 49,935 unit kenderaan yang dicatatkan pada April tahun lalu.

Jualan dari Januari ke April berjumlah 106,601 unit berbanding 192,971 unit pada tempoh sama tahun lalu. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.