`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Monday, January 11, 2021

Belum masa untuk ‘berpatah arang’, PPBM sedia bekerjasama dengan Umno Kelantan

 

Pengerusi PPBM Kelantan Kamaruddin Md Nor berkata, pihaknya mahu mengelakkan pertembungan dengan Umno, namun bersedia menghadapi kemungkinan parti itu menutup pintu rundingan. (Gambar fail)

PETALING JAYA: Belum tiba masa untuk “berpatah arang, berkerat rotan” dan PPBM masih bersikap terbuka dalam hubungannya dengan Umno di Kelantan bagi menghadapi pilihan raya umum ke-15.

Pengerusi PPBM negeri itu, Kamaruddin Md Nor berkata, pihaknya mahu mengelakkan pertembungan dengan Umno, namun bersedia menghadapi kemungkinan parti itu menutup pintu rundingan.

“Semoleknya (sebaiknya) begitulah (Umno-PPBM berunding dahulu). PPBM terbuka, nak berunding boleh, tak berunding pun boleh,” katanya kepada FMT.

Pendirian ‘terbuka’ PPBM itu diambil meskipun Pengerusi Umno Kelantan Ahmad Jazlan Yaakub yang juga Ahli Parlimen Machang menarik balik sokongan kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin adalah presiden PPBM.

Keputusan Jazlan itu menghangatkan semula isu keabsahan kerajaan pimpinan Muhyiddin yang turut dipertikaikan pemimpin pembangkang dan veteran Umno dan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.

Pengarah Pilihan Raya Umno, Tajuddin Abdul Rahman sebelum ini meramalkan lebih ramai Ahli Parlimen parti itu akan mengikut langkah Jazlan bagi memaksakan pilihan raya umum dalam tempoh terdekat.

Kamaruddin berkata, parti itu masih bersedia berunding dengan Umno mengenai persiapan menghadapi PRU, namun tidak bermasalah jika ia tidak berminat berbuat demikian.

Beliau berkata, PPBM Kelantan akan memperkukuhkan kerjasama dengan PAS, sekali gus memberi amaran bahawa Umno akan kecundang sekali lagi di negeri itu jika ia bersendirian.

“Jika Umno mahu bersendirian dengan BN memasuki PRU 15 itu haknya. Ia (mereka) akan kecundang lagi.

“Biar apa pun terserah kepada pimpinan Umno untuk menentukan hala tuju dan pendekatannya sendiri,”katanya.

Kamaruddin juga tidak gusar dengan pengumuman Umno Kelantan sebelum ini bahawa ia berhasrat meletakkan calon di kerusi yang ditandingi PPBM, tetapi tidak akan menentang calon PAS.

Beliau berkata, berdasarkan jumlah undi yang diperolehi dalam pilihan raya lalu, Umno sukar mempertahankan lima kerusi Parlimen yang dimenanginya jika berlaku pertandingan tiga penjuru antara calon Umno, PPBM dan Pakatan Harapan (PH).

Katanya, dalam situasi berkenaan, undi penyokong PAS akan menjadi penentu memandangkan parti itu sangat berpengaruh di Kelantan.

“Undi penentu di tangan PAS (jika pertandingan tiga penjuru berlaku),” katanya.

Pada PRU lepas, PAS memenangi 37 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan sembilan kerusi Parlimen, sementara Umno memenangi lapan kerusi DUN dan lima Parlimen di Kelantan.

Lima kerusi Parlimen yang dimenangi calon Umno ialah, Jeli, Gua Musang, Tanah Merah, Ketereh dan Machang.

Bagaimanapun, dua daripada penyandangnya, iaitu Mustapa Mohamed (Jeli) dan Ikmal Hisham Abd Aziz (Tanah Merah) kemudiannya menyertai PPBM.

Umno kini kekal dengan tiga Ahli Parlimen di Kelantan. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.