`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Monday, February 22, 2021

Banyak keputusan Putrajaya, KPM, tak ikut falsafah ‘pendidikan untuk semua’, kata Maszlee

 

Bekas menteri pendidikan Maszlee Malik berkata, sekiranya masalah membabitkan pelajar tidak diatasi dengan serius, maka isu yang mengganggu gugat keharmonian negara akan terus diperbahaskan.

PETALING JAYA: Bekas menteri pendidikan Maszlee Malik mendakwa banyak keputusan yang diambil kerajaan persekutuan dan Kementerian Pendidikan (KPM) tidak mengikuti falsafah “pendidikan untuk semua”.

Beliau berkata, ini sekali gus menyebabkan berlaku ketidakseimbangan dari aspek pendidikan dalam kalangan pelajar seluruh negara.

Maszlee berkata, ketidakseimbangan yang berlaku hari ini akan memberi kesan dalam kehidupan pelajar untuk tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.

Katanya, keadaan itu juga tidak selari dengan matlamat kerajaan persekutuan menerusi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

“Banyak keputusan yang diambil kerajaan dan KPM tidak berpijak pada konsep ini.

“Maka, terdapat golongan diabaikan dan inilah yang kita kesalkan. Ia akan menyebabkan kesenjangan antara masyarakat, antara golongan yang memiliki atau tidak, kampung dan bandar.

“Kita risau kalau tidak ada intervensi yang radikal diambil untuk rapatkan semula kesenjangan ini, Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) yang didendangkan akan jadi Wawasan Kesenjangan Bersama,” katanya dalam forum bertajuk “Bicara Pendidikan: Keutamaan Yang Diabaikan”.

WKB beriltizam menjadikan Malaysia sebuah negara membangun secara mapan seiring dengan pengagihan ekonomi yang adil, saksama dan inklusif untuk semua peringkat kumpulan pendapatan, etnik, wilayah dan rantaian bekalan dengan matlamat menyediakan taraf hidup yang wajar kepada semua rakyat pada 2030.

Maszlee berkata, sekiranya masalah membabitkan pelajar tidak diatasi dengan serius, beliau percaya isu yang mengganggu gugat keharmonian negara akan terus diperbahaskan untuk suatu tempoh yang lama.

Ini termasuklah isu perbezaan kelas ekonomi, kedudukan Sabah, Sarawak dan Semenanjung.

“Jadi pada saya perlu kembalikan falsafah ‘pendidikan untuk semua’, jangan ada yang ditinggalkan, diabaikan dan ia juga adalah tanggungjawab bersama.

“Langkah yang perlu diambil juga tidak boleh lagi bersikap konvesional, perlu berani, radikal dan komitmen yang bersepadu kerana saya agak risau tentang keciciran,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.