PETALING JAYA: Bekas perdana menteri Najib Razak mengetawakan dakwaan Dr Mahathir Mohamad tidak mencampuri badan kehakiman, lalu berkongsi apa yang beliau tahu sekitar pembatalan pendaftaran Umno pada 1988.
“Ha ha ha! Mahathir kata pembatalan pendaftaran Umno bukti dia tidak campuri badan kehakiman adalah pembohongan terbesar dalam sejarah kehakiman,” kata Najib kepada FMT.
Dalam wawancara khas dengan FMT, Mahathir mengingatkan beberapa keputusan mahkamah ketika itu tidak memihak kepadanya, khususnya apabila Umno yang dipimpin beliau diisytiharkan tidak sah oleh Mahkamah Tinggi pada 4 Feb 1988.
Keputusan itu dibuat selepas 11 ahli Umno menyaman parti itu pada 1987, menuntut pemilihan parti pada awal tahun sama diisytiharkan tidak mematuhi perlembagaan dan tidak sah.
Hakim Harun Hashim memutuskan Umno tidak sah berdasarkan apa yang didakwa oleh Mahathir sebagai “salah laku kecil oleh segelintir cawangan kecil Umno”.
Mahathir berkata Harun boleh mengambil tindakan terhadap cawangan terbabit namun memilih untuk mengisytiharkan seluruh Umno sebagai tidak sah, menunjukkan “banyak keputusan mahkamah ketika itu tidak memihak kepada saya.”
Najib menyangkal dakwaan Mahathir.
Katanya, peristiwa yang membawa kepada krisis kehakiman itu didokumentasi dengan begitu baik dan Mahathir malah tidak dapat menafikannya.
Menceritakan apa yang dia tahu, Najib berkata pada April 1987, Umno mengadakan pemilihan yang menyaksikan “Pasukan A” Mahathir dicabar oleh “Pasukan B” Tengku Razaleigh Hamzah.
“Sebanyak 1,500 perwakilan mengundi, dan Tengku Razaleigh dijangka menang selepas kemelesetan 1985, tetapi selepas berlaku ‘blackout’ di bilik kiraan undi Mahathir pula yang menang dengan 761 undi mengatasi 718 undi yang diperoleh Tengku Razaleigh. Perbezaan sebanyak 43 undi.”
Menurut Najib, pasukan Tengku Razaeligh mendakwa 78 perwakilan yang mengundi adalah dari 30 cawangan parti yang tidak berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM), oleh itu tidak layak mengundi.
Pihak yang kalah kemudian mencabar keputusan pemilihan Umno itu di mahkamah.
“Mahkamah memerintahkan penyelesaian di luar mahkamah. Namun, kumpulan Tengku Razaeligh mahu pemilihan baharu diadakan.
“Mahathir pula tidak mahu pemilihan baharu, dan Mahkamah Tinggi mengisytiharkan Umno tidak sah, bermaksud pemilihan 1987 itu terbatal dan tidak sah.”
Najib berkata sebelum rayuan pasukan Ku Li itu dapat didengar, Salleh Abas, yang ketika itu presiden Mahkamah Agung, dan semua Hakim Mahkamah Agung digantung. Salleh kemudian disingkir.
“Inilah permulaan kepada kehancuran sistem kehakiman.
“Mahathir kemudian menubuhkan Umno Baru dan memindahkan semua aset parti lama yang tidak sah itu dan ahli-ahli yang mesra kepada Umno Baru, kecuali Ku Li dan pasukannya.”
Najib berkata sekiranya dakwaan Mahathir tidak campur tangan itu benar, persoalan timbul sama ada bekas peguam negara Tommy Thomas berkata benar tentang Thomas dan Mahathir terlibat dalam pelantikan kehakiman dan mengabaikan peranan Jawatankuasa Pelantikan Kehakiman.
“Apakah itu juga bermaksud Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi kes VK Lingam di mana dia menyatakan ‘betul betul betul’ dan mendakwa pelantikan kehakiman boleh diselesaikan dengan Mahathir adalah salah?”
Najib merujuk kepada kes yang melibatkan seorang bekas peguam, Lingam, yang terbabit dengan skandal mengatur kehakiman oleh Suruhanjaya Siasatan Diraja pada 2007, berikutan tersebarnya video memaparkan dia dikatakan membincangkan kenaikan pangkat dan faksionalisme dalam kalangan hakim kanan, dengan ketua hakim negara ketika itu, Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim.
RCI mengesyorkan agar tindakan terhadap salah laku diambil terhadap Lingam, Fairuz, bekas ketua hakim Eusoff Chin, taikun Vincent Tan, Mahathir, dan bekas menteri Tengku Adnan Tengku Mansor. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.