PETALING JAYA: Seorang wanita Malaysia yang cuba memeras ugut wang sebanyak AUD1,000 (RM3,130) daripada ibu bapa seorang bayi yang ketika itu nazak di Melbourne sedang berusaha mendapatkan pembebasan awal dari penjara.
Siti Nurhidayah Kamal, dipenjara tiga tahun selepas cuba memeras wang daripada pasangan yang terdesak untuk mendapatkan kembali telefon bimbit mereka, yang mengandungi gambar anak perempuan berusia 11 bulan, Amiyah.
Menurut laporan news.com, Siti Nurhidayah, 26, menghantar mesej kepada Jay dan Dee Windross selepas mereka memohon kepada orang ramai pada 2019 untuk mencari telefon itu yang hilang. Ia mengandungi ratusan gambar Amiyah yang sedang sakit.
Walaupun telefon itu tidak berada dengannya, Siti Nurhidayah menuntut AUD1,000 daripada pasangan itu sekali pun mereka memaklumkan kepadanya yang Amiyah berada dalam “saat-saat terakhirnya”.
“Tolong pindahkan wang kepada saya. Saya akan mengembalikan telefon anda atau mungkin saya akan menjualnya,” katanya kepada mereka, sambil mengugut untuk menghapuskan semua gambar.
Siti Nurhidayah kini sedang merayu hukumannya di Mahkamah Rayuan, dengan alasan tempoh penjara dijatuhkan terhadapnya adalah berlebihan, dan menyangkal tanggapan hakim mahkamah daerah yang mula-mula membicarakannya, bahawa penyesalannya tidak meringankan “kekejaman” tindakannya.
Peguamnya Tim Marsh berkata, prospek pemulihan Siti Nurhidayah sangat baik berdasarkan usianya dan ketiadaan jenayah lampau.
Marsh juga berhujah yang hukuman terhadap Siti Nurhidayah “jelas berlebihan”, namun mengakui sifat jenayahnya terhadap ibu bapa yang sedang dalam kesulitan itu adalah “menjijikkan”.
Namun, pendakwa Justin Lewis berkata, ini adalah contoh pemerasan yang sangat berat, kerana “terdapat kesediaan untuk mengeksploitasi orang yang sedang berdepan dengan kematian anak perempuan mereka yang berusia 11 bulan, dengan tujuan meraih keuntungan.”
Beliau berhujah, Siti Nurhidayah menunjukkan ketiadaan prinsip moral, sambil menambah, bukan menimbulkan kontroversi untuk melabelkan tindakannya sebagai “tidak bermoral”.
Hakim Mahkamah Rayuan menangguhkan keputusan mereka kepada satu tarikh lain. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.