KUALA LUMPUR: Seorang penagih dadah hari ini dihukum penjara lima bulan kerana menampar ibunya sehingga patah gigi selain mengugut membunuhnya.
Mohd Azli Rahim, 41, menyerang ibunya Rohani Sulaiman yang berusia 65 tahun, kerana enggan memberikannya wang untuk membeli dadah.
Mohd Azli bertindak menampar muka dan paha ibunya serta mengugut untuk membunuh mangsa, di Perumahan Pantai Permai, Jalan Pantai Dalam, Brickfields di sini, kira-kira jam 10 pagi, 13 Februari lalu.
Majistret Aina Azahra Arifin menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan mencedera dan mengugut ibunya.
Aina Azahra menjatuhkan hukuman penjara lima bulan bagi setiap pertuduhan dan memerintahkan hukuman berjalan secara serentak iaitu lima bulan.
Timbalan Pendakwa Raya Illya Syaheedah Mohd Razif memberitahu mahkamah tertuduh baru saja keluar penjara pada 2 Februari lalu atas kesalahan mengugut ibunya dalam insiden berasingan pada 21 Ogos tahun lalu. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.