`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Saturday, May 22, 2021

Bukan tidak minat, tapi gaji dibayar tidak setimpal dengan pekerjaan, kata warga tempatan

 

Menteri Sumber Manusia, M Saravanan dilaporkan berkata, terdapat permintaan daripada majikan untuk mengambil pekerja asing dalam sektor perladangan, pertanian, pembuatan dan pembangunan kerana bidang kerja itu tidak diminati orang tempatan.

PETALING JAYA: Bagi seorang warga tempatan, Abdul Muhaimam Razak, gaji yang ditawarkan kebanyakan majikan di negara ini sangat rendah dan tidak berbaloi dengan kerja yang dilakukan.

Muhaimam, yang baru kehilangan pekerjaan kerana syarikat tempatnya bekerja menggantung operasi ekoran penularan wabak Covid-19, berkata, kadar gaji di Malaysia terkesan oleh lambakan pekerja asing.

“Majikan lebih suka mengambil pekerja asing kerana boleh bayar murah, jadi kita rakyat tempatan kena bersaing,” kata beliau.

Beliau menyokong pendirian Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) sebelum ini bahawa warga tempatan bukannya memilih kerja, sebaliknya mahukan ganjaran setimpal.

Bulan lalu, Timbalan Presiden MTUC, Mohd Effendy Abdul Ghani berkata, kerajaan tidak harus terburu-buru membenarkan pengambilan semula pekerja asing dalam beberapa sektor atas alasan pekerja tempatan tidak berminat melakukannya.

“Ada yang mendakwa ramai pekerja tempatan tidak berminat kerja dalam sektor 3D. Tetapi, bila kita tengok dalam berita, ada kalangan anak muda kita yang ada kelulusan sanggup bekerja sebagai pengutip sampah di negara lain.

“Ini membuktikan sebenarnya rakyat Malaysia bukanlah memilih pekerjaan, sebaliknya mungkin masalah gaji di negara ini,” kata beliau.

Terdahulu Menteri Sumber Manusia, M Saravanan dilaporkan berkata, terdapat permintaan daripada majikan untuk mengambil pekerja asing dalam sektor perladangan, pertanian, pembuatan dan pembangunan kerana bidang kerja itu tidak diminati orang tempatan.

Malah kata beliau, majikan sukar mendapatkan pekerja bagi sektor 3D, iaitu kotor, sukar dan bahaya.

Namun seorang lagi warga tempatan, Mohd Sulaiman berkata, beliau bersedia melakukan kerja 3D jika pendapatannya setimpal, termasuk diberi penginapan dan elaun perumahan.

Effendy sebelum ini berkata, gaji rendah menjadi faktor utama mengapa masih banyak jawatan kosong masih belum terisi.

Situasi ini dialami oleh Nur Atikah Rajab yang berkata, beliau terpaksa menerima pekerjaan dengan gaji lebih rendah berbanding kelayakannya yang memiliki ijazah.

Beliau turut mendakwa, ada majikan seolah-olah sengaja menawarkan gaji rendah kepada graduan sepertinya dengan menggunakan faktor ekonomi semasa sebagai alasan.

“Gaji yang saya terima sekarang memang lebih rendah dan jika ikutkan ia memang tidak berbaloi, tetapi apa pilihan yang saya ada?

“Nak tak nak, saya kena terima sebab memikirkan kesukaran mendapat pekerjaan,” katanya yang kini bekerja sebagai operator kilang. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.