`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Sunday, May 30, 2021

Ibu Neelofa minta maaf kepada Istana Johor atas komen sensitif di IG

 

Noor Kartini Kartini Noor Mohammed menyedari isu berhubung tangkap layar daripada Instagram Story miliknya setelah perkara itu tersebar di media sosial.

PETALING JAYA: Ibu kepada usahawan dan selebriti terkenal, Neelofa, Noor Kartini Noor Mohammed, memohon maaf kepada Istana Johor khususnya kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar atas kekhilafan pekerjanya memuat naik komen berbaur sensitif menggunakan akaun Instagram miliknya.

Noor Kartini, 54, berkata, dia menyedari isu berhubung tangkap layar daripada Instagram Story (IGS) miliknya setelah bertebaran di media sosial yang memaparkan komen mengenai sistem Raja Berpelembagaan di Malaysia.

“Saya ingin jelaskan, perkara tersebut berlaku di atas kecuaian salah seorang pekerja saya yang mempunyai akses kepada akaun Instagram saya.

“Dia yang juga pengurus media sosial di Noor Khan International Sdn Bhd secara tidak sengaja telah memuat naik instastory tanpa sedar menggunakan akaun saya, @noorkartini.

“Kepada Tuanku dan seluruh ahli keluarga diraja, patik merafak sembah memohon maaf atas kecuaian yang terjadi,” katanya dipetik Utusan Malaysia.

Perkara itu timbul selepas ramai membuat ciapan di Twitter mengenai ibu Neelofa itu yang dikatakan berani membuat kenyataan berbaur cabaran menyentuh isu perlembagaan diraja serta darurat.

Perkara tersebut juga telah mendapat perhatian daripada keluarga diraja tersebut dan antara yang memberi tanda isyarat mengenainya ialah anakanda ketiga Sultan iaitu Tunku Idris Iskandar.

Respons yang diberikan oleh Tunku Idris menerusi akaun Instagramnya juga menerima reaksi pelbagai pengikutnya selepas turut mengongsikan ayat yang dipercayai merujuk kepada perbuatan Noor Kartini itu.

“Adab yang terjelma dalam amalan seseorang itu adalah petanda bahawa amalan itu diterima oleh Allah SWT,” tulis Tunku Idris memetik ayat asal yang ditulis oleh Sayyidina Anas Ibn Malik.

Terdahulu, Tunku Idris juga memuat naik ayat berbentuk pertanyaan dalam media sosialnya sambil mengepilkan tangkap layar IGS Kartini tersebut bersama.

“Memang keluarga dia ini semua jenis macam ni?” tulisnya.

Dalam pada itu, Noor Kartini juga memaklumkan pihaknya telah membuat laporan polis di Balai Polis Taman Tun Dr Ismail sekitar jam 5.30 petang tadi berhubung perkara itu dan akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Istana Negeri Johor berkenaan isu tersebut. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.