`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Sunday, May 16, 2021

Lembaga Zakat Selangor akan cari rumah, bayar sewa ibu tunggal tinggal di bilik stor

 

Nur Hidayah tinggal di bilik stor tanpa tingkap sejak lapan tahun lalu.

PETALING JAYA: Susulan pendedahan FMT mengenai kisah seorang ibu tunggal mualaf yang tinggal di bilik stor tanpa tingkap sejak lapan tahun lalu, Lembaga Zakat Selangor (LZS) sedia mencari rumah dan membayar sewa untuk meringankan beban wanita itu.

LZS bersama wakil penduduk setempat berjaya menjejaki Nur Hidayah, 53, di sebuah rumah kedai di Kampung Tasik Tambahan, Ampang, Selangor hasil kerjasama FMT.

“Semasa ziarah, Penolong Amil Kariah membawa keperluan asas dapur bagi meringankan beban, di samping mencari rumah sewa yang lebih selesa untuk beliau.

“Sewa rumah dan bantuan kewangan bulanan akan ditanggung Zakat Selangor,” menurut kenyataan itu.

LZS berkata, ibu tunggal itu juga layak didaftarkan sebagai asnaf mualaf kerana menetap di Selangor.

Jumaat lalu, FMT melaporkan wanita berasal dari Sarawak itu berhijrah ke Semenanjung sejak 16 tahun lalu, selepas berpisah dengan suaminya.

Beliau dikurniakan empat anak lelaki hasil perkahwinan itu, dengan tiga daripadanya masih di Sarawak bersama bekas suami, manakala seorang lagi mengikut jejaknya ke Semenanjung.

Sepanjang hidup bersama “orang Semenanjung”, beliau sering ditipu dan majikan tidak membayar gajinya, selain gagal dalam perniagaan di Chow Kit beberapa tahun lalu kerana pelanggan tidak membayar selepas mengambil barang.

Nur Hidayah yang memeluk Islam tahun lalu, tinggal di bilik stor atas ihsan seorang pemilik rumah kedai, selepas beliau keluar daripada kediaman sebelum ini kerana tidak mampu membayar sewa.

Wanita itu melakukan pelbagai kerja rencam, termasuk mengangkat gas ke rumah penduduk dan mencuci rumah bagi mendapatkan wang untuk dihantar pulang kepada anaknya di Sarawak. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.