PETALING JAYA: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) berpendirian pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) sepenuhnya atau “Total Lockdown” dilihat bukan jalan penyelesaian terbaik ketika ini.
Setiausaha Agungnya, Kamarul Baharin Mansor berkata PKP sepenuhnya itu bakal memberi kesan negatif terhadap pertumbuhan ekonomi khususnya survival golongan pekerja.
“Ini termasuk ada yang berisiko hilang pekerjaan serta melumpuhkan pendapatan pekerja,” katanya dalam kenyataan.
Kamarul menyarankan kerajaan membuat kajian yang menyeluruh dan melibatkan semua kementerian yang berkaitan terutamanya dari Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum melaksanakan PKP penuh.
MTUC mencadangkan beberapa langkah agar “Total Lockdown” tidak perlu diperkenalkan antaranya SOP diperketatkan dengan lebih jelas dan konsisten.
“Contohnya, mempertingkatkan lagi sekatan jalanraya yang lebih berkesan di lokasi tertentu dan di ‘jalan-jalan tikus’.
“Ini dapat membasmi kes jangkitan dari kluster rentas daerah dan negeri,” katanya.
Kamarul berkata pemerkasaan golongan sukarelawan, Kawasan Rukun Tetanga (KRT), persatuan kebajikan dan mana-mana sukarelawan yang ingin menyumbang khidmat bagi membantu pihak kerajaan juga perlu.
Beliau berkata operasi sanitasi juga boleh kerap dilakukan di premis kediaman, perniagaan dan tempat awam dalam memastikan rantaian Covid-19 dapat diputuskan.
“MTUC mencadangkan agar majikan, kesatuan sekerja dan juga kumpulan pekerja (bagi syarikat yang tidak mempunyai kesatuan sekerja) mewujudkan satu jawatankuasa kerja khas untuk sama-sama mempertingkatkan tahap kesedaran kesihatan dalam kalangan pekerja.
“Sektor dari bukan keperluan utama atau ‘non-essential services’ dapat mengurangkan tenaga kerja mengikut kapasiti dan SOP yang diperkenalkan MKN,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Kamarul berkata jika “Total Lockdown” dilaksanakan juga, MTUC mencadangkan inisiatif membantu golongan pekerja termasuk moratorium automatik untuk golongan yang terjejas.
Katanya, bantuan kewangan lain dan menyeluruh kepada golongan B40 juga perlu diberikan.
“Ia bertujuan melindungi ekonomi golongan peniaga kecil dan sederhana supaya mereka dapat meneruskan perniagaan,” katanya sambil menambah program subsidi upah (PSU) kepada golongan pekerja yang terjejas perlu dipertingkatkan. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.