Pada 14 April 2020, Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern, mengumumkan gaji bulanan beliau dan anggota Jemaah Menterinya serta ketua eksekutif perkhidmatan awam akan dipotong 20% selama enam bulan bermula serta-merta.
Ketika itu New Zealand menerima impak keras akibat pandemik Covid-19. Pejabat, sekolah, dan perkhidmatan tidak utama ditutup and ramai warganya hilang pekerjaan. Yang “bernasib baik” masih punya pekerjaan terpaksa mengalami potongan gaji.
Sebagai tanda bersolidariti dengan rakyatnya, Ardern mengumumkan langkah pemotongan gaji beliau dan anggota kerajaannya. “Adalah penting ahli politik kerajaan yang bergaji tinggi menunjukkan kepimpinan dan solidariti bersama pekerja barisan depan dan golongan yang hilang pekerjaan,” kata beliau ketika itu.
Menurut The Guardian, akibat pemotongan, gaji Ardern berkurangan $47,104. Gaji menteri pula dipotong NZ$26,900 setiap seorang manakala gaji timbalan perdana menteri dipotong NZ$33,473.
Ardern terkenal dan kerap dipuji bukan sahaja di New Zealand bahkan di seluruh dunia kerana cara dan tindakannya menangani krisis seperti pandemik Covid-19 dan insiden berdarah di masjid Christchurch pada 2019.
Sembilan belas hari sebelum Ardern mengumumkan langkah potong gaji kerajaan New Zealand, Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong sudah mengambil langkah sedemikian.
Pada 26 Mac 2020, The Straits Times melaporkan Lee dan barisan menteri serta presiden republik Singapura mengizinkan gaji mereka dipotong selama tiga bulan. Speaker dan dua timbalan speaker parlimen Singapura turut menyertai langkah pemotongan gaji itu untuk bersolidariti bersama rakyat yang bergelut dengan pandemik Covid-19. Peratusan potongan tidak diumumkan.
Bukan rahsia PM dan menteri Singapura adalah anggota kerajaan yang bergaji amat besar di seluruh dunia. Singapura percaya penawaran gaji besar kunci kepada mendapatkan menteri yang terbaik di samping menghindari rasuah.
Apapun, langkah pemotongan gaji membawa maksud di New Zealand dan di Singapura pemimpinnya berdiri bersama rakyat ketika menghadapi krisis yang menimpa, bak berat sama dipikul sakit sama dirasai.
Video Ardern ketika mengumumkan pemotongan gaji pentadbirannya tentunya tular dan sentiasa ada di alam maya sehingga ke hari ini.
Baru-baru ini laporan The Straits Times mengenai pemotongan gaji kerajaan Singapura timbul semula di media sosial khususnya Facebook. Tidak tahu kenapa.
Membaca semula laporan The Straits Times yang bertarikh 26 Mac 2020 itu beberapa hari lalu membuat saya bercakap dengan diri sendiri. Kata saya kepada saya, alangkah baiknya jika pemimpin kerajaan kita berbuat seperti itu. Potong gaji dan bersolidariti bersama rakyat yang sedang derita dan sengsara. Berdiri sama tinggi duduk sama rendah dengan rakyat dan tunjukkan kepimpinan.
Tiba-tiba saya mendapat berita gembira. Muhyiddin Yassin mengumumkan beliau, para menteri dan timbalan menterinya bersetuju untuk tidak mengambil gaji selama tiga bulan bermula bulan ini (Jun).
Perdana Menteri membawa khabar gembira itu kepada rakyat ketika berucap pada Perutusan Khas Bantuan PKP 3.0 menerusi siaran langsung di televisyen Isnin 31 Mei lalu.
Kata beliau, gaji yang tidak diambil akan disumbangkan ke Akaun Amanah Bencana sebagai membiayai perbelanjaan berkaitan Covid-19.
Wah ini hebat. Cukup hebat. Ini boleh kalahkan apa yang Adern dan Lee lakukan tahun lalu. Ini lebih besar. Bukan setakat gaji dipotong, gaji tidak diambil langsung untuk tiga bulan. Bukan jangka masa singkat tu.
Kalau lah gaji saya dipotong, katalah 30%, bererti saya terpaksa pandai “adjust” baki 70% yang diperolehi untuk membiayai perbelanjaan bulanan. Mesti bijak urus kalau tidak tidak mencukupi.
Kalau saya tidak ambil gaji pula (maknanya tidak ada gaji) selama tiga bulan atau berapa bulan sekali pun, ertinya saya tidak akan dapat bayar sewa rumah, ansuran kereta, beli barangan dapur dan segala macam perbelanjaan. Kerana saya tidak duit kerana tidak ada gaji.
Apa akan jadi? Saya akan dikejar tuan rumah yang menuntut sewa rumah, akan diburu bank yang mendesak ansuran kereta, dan untuk pendekkan cerita akan kelaparan jika tidak kebuluran kerana tidak ada duit untuk melayani tuntutan itu semua. Semuanya kerana tidak ada gaji bulanan.
Maka saya angkat songkok dan katakan apa yang dilakukan Muhyiddin dan pasukannya ialah sesuatu yang wajar disanjungi. Kalungan bunga buat mereka.
Muncul Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan, seakan “potong stim”. Kata beliau, keputusan Jemaah Menteri untuk tidak ambil gaji bagi tempoh tiga bulan memang disambut baik. Namun, kata Mohamad yang mesra dikenali sebagai Tok Mat, jangan lah sekadar gaji.
“Ia mesti termasuk pelbagai elaun dan imbuhan keraian yang selalu lebih banyak dan tinggi mengatasi gaji menteri,” beliau dipetik media sebagai berkata.
Di media sosial, senarai yang didakwa elaun dan imbuhan menteri sudah tular. Bermacam-macam elaun untuk bermacam benda. Yang pelik dan memeranjatkan pun ada. Tetapi oleh kerana senarai itu tidak dapat dipastikan kesahihannya saya tidak akan huraikannya disini.
Berbalik kepada Tok Mat. Beliau pun tidak memperincikan elaun dan imbuhan yang diperuntukkan untuk pak menteri. Cuma kata Tok Mat ia lumayan dan “selalunya lebih banyak dan tinggi mengatasi gaji”. Besar tu kalau begitulah keadaannya.
Tok Mat bukan menteri. Bagaimanapun beliau pernah memegang jawatan menteri besar. Tentu ada elaun dan imbuhan keramaian dan lain-lain. Berdasarkan pengalaman itu, mungkin beliau tahu apa yang beliau cakap kan kot! Lagi pun dulu dan sekarang ramai menteri yang beliau kenal.
Dewasa ini, beliau adalah anggota Dewan Undangan Negeri Sembilan untuk kawasan Rantau. Rabu lalu, 2 Jun, Tok Mat pula mengumumkan akan menyerahkan semua gaji dan elaunnya selama enam bulan kepada Pusat Khidmat DUN Rantau bagi membantu masyarakat setempat yang terkesan pada waktu “lockdown” ini.
Luar biasa bak kata kawan-kawan Indonesia.
Tindakan Tok Mat itu bukanlah untuk ‘menandingi’ potongan gaji Muhyiddin dan barisan kepimpinannya. Tok Mat sekadar bikin serupa cakap – sesuatu yang baik direnungi oleh semua – tidak kira walau di sana atau di sini. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.