PETALING JAYA: Akibat mencuri barang kemas dan mengugut majikannya menggunakan pisau, seorang pembantu rumah warga Indonesia dipenjara enam bulan dan denda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret Selayang hari ini.
Majistret Nik Fadli Nik Azlan mengarahkan Supriani, 41, dipenjara enam bulan dan denda RM3,000 selepas mengaku bersalah mencuri gelang tangan dan cincin emas bernilai RM3,000 milik Mohd Izzuddin Makhtar, 32, lapor Bernama.
Dia turut dipenjara empat bulan selepas mengaku salah menakutkan Mohd Izzuddin dengan mengacukan pisau ke arah mangsa.
Dua kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Jalan Halamanda, Gombak, dekat sini, pada 10 malam, 25 Jun lepas.
Nik Fadli memerintahkan dua hukuman penjara itu berjalan serentak bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 26 Jun lepas.
Beliau turut mengarahkan Supriani dipenjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda.
Bagi kesalahan pertama, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda.
Tuduhan kedua pula dibuat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Khairunnisak Hassni memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran dengan mengambil kira tindakan tertuduh mengacukan pisau menyebabkan mangsa berasa takut selain mangsa turut mengalami kerugian.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan dia telah insaf dan ingin segera pulang ke Indonesia.
Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, mangsa telah menyoal tertuduh mengenai kehilangan gelang dan cincin emas miliknya yang ditemui dalam beg pakaian wanita itu.
Supriani yang menafikan mencuri barang tersebut tiba-tiba telah mengambil pisau di dapur dan mengacukannya ke arah mangsa. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.