PETALING JAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini mengekalkan hukuman mati terhadap seorang bekas pembantu kedai tayar kerana membunuh bekas tunangnya yang mahu berkahwin dengan lelaki lain.
Panel tiga hakim diketuai Mohd Zawawi Salleh membuat keputusan sebulat suara itu selepas menolak rayuan terakhir Muhammad Irshaduddin Khalis Nasurudin terhadap sabitan dan hukuman matinya.
Mohd Zawawi yang bersidang bersama Zabariah Mohd Yusof dan Mary Lim Thiam Suan berkata keputusan Mahkamah Tinggi mensabitkan Muhammad Irshaduddin dengan kesalahan membunuh adalah selamat, menurut laporan Bernama.
Muhammad Irshaduddin, 28, dihukum mati selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi Johor Bahru pada 7 Mei 2017 atas tuduhan membunuh Nursyafikah Ahmad Ismail, 22.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di kawasan parkir motosikal di Pasar Raya Econsave di Jalan Mersing, Kluang antara 5.40 dan 5.45 petang pada 10 April 2015.
Mahkamah Rayuan sebelum ini turut menolak rayuannya pada 22 Mac 2019.
Menurut fakta kes, ketika kejadian, Muhammad Irshaduddin mendekati mangsa yang sedang berehat di tempat kerja dan meminta untuk berjumpa.
Seorang saksi pendakwaan yang bekerja di pasar raya melihat Muhammad Irshaduddin dan mangsa berbual berhampiran kawasan parkir motosikal sebelum pasangan itu mula bergaduh.
Muhammad Irshaduddin kemudian memegang kepala mangsa dan menghentakkannya ke atas motosikal sebelum menikam badan Nursyafikah.
Semasa membela diri, Muhammad Irshaduddin berkata dia tidak berniat menikam mangsa sehingga mati sebaliknya hanya mahu mencederakan Nursyafikah selepas marah dengan kata-kata yang diucapkan wanita itu kepadanya.
Muhammad Irshaduddin diwakili oleh peguam Mohd Radzi Yatiman dan Mohd Razak Shariff manakala Timbalan Pendakwa Raya Ku Hayati Ku Haron hadir bagi pihak pendakwaan. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.