`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Tuesday, October 12, 2021

Jangan cemburu, kita pun nak belajar cari duit mudah, Mat Sabu ‘sindir’ Anwar

 

Mohamad Sabu menggamatkan Sidang Dewan Rakyat selepas “menyindir” Ketua Pembangkang ketika membangkitkan isu usul bahas Kertas Pandora. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Sidang Dewan Rakyat gamat apabila Ahli Parlimen Kota Raja Mohamad Sabu berjenaka “menyindir” Ketua Pembangkang berhubung usul membahaskan pendedahan Kertas Pandora.

Terdahulu, Timbalan Speaker Dewan Rakyat Rashid Hasnon berkata, usul yang dibawa Anwar Ibrahim untuk membahaskan pendedahan Kertas Pandora sudah diterima semalam dan ia masih dalam pertimbangan untuk diluluskan.

“Rayuan usul berkenaan telah diterima semalam dan perlu notis dua hari untuk diluluskan dan ia masih dalam pertimbangan dalam tempoh mesyuarat Dewan Rakyat,” katanya menjawab pertanyaan Anwar mengenai status rayuan usul yang dikemukakan.

Anwar mengkritik tindakan berkenaan dengan menyifatkan ia sebagai helah untuk menutup ruang perbahasan mengenai pendedahan Kertas Pandora itu.

“Saya dah bawa usul ini dua kali sejak minggu lepas dan semalam Speaker (Azhar Azizan Harun) tolak sekali dan hari ini ia ditolak lagi, ia adalah masalah teknikal kecil untuk bencana kewangan yang besar. Mana nak pilih? Hari ini adalah hari terakhir, janganlah dolak dalik,” katanya di Dewan Rakyat.

Mohamad (PH-Kota Raja) kemudian bangkit menghangatkan Dewan Rakyat dengan “menyindir” Anwar seharusnya tidak perlu merasa cemburu dengan kekayaan luar biasa yang dimiliki individu yang disebut dalam Kertas Pandora.

“Janganlah rasa cemburu kita nak belajar cari duit. Saya jadi empat penggal Ahli Parlimen, tak ada pun duit juta-juta. Saya tengok ada menteri ada RM900 juta dalam bank, RM2 juta wang poket, saya nak belajar cari duit begitu mudah tu, ni Port Dickson (Anwar) sibuk sangat kenapa,” katanya yang turut membuatkan Anwar ketawa dengan jenaka itu.

Anwar dalam pada itu turut menempelak pejuang Islam di dalam kerajaan yang tidak berani bersuara menekan kerajaan membahaskan pendedahan Kertas Pandora.

“Hal ini saya tegaskan kerana ia belum disuarakan oleh pejuang Melayu dan juga pejuang Islam, bagi saya ada percanggahan apa yang dilaungkan sebagai jaguh pertahankan hak tetapi kita mengizinkan kebatilan,” katanya.

Tegasnya, pendedahan berkenaan memerlukan jaminan kerajaan untuk menyiasat perkara berkenaan, bukan untuk terus menghukum.

“Kerajaan harus beri jaminan semua agensi ini akan menyiasat, bukan hanya untuk menghukum. Pengerusi (Speaker) pun harus beri ruang untuk kita bahas perkara ini. Tak mungkin kita mahu pertahankan dan melindungi mereka (individu disebut dalam Kertas Pandora).

Pada 4 Okt, Anwar yang juga Presiden PKR mengemukakan usul supaya Dewan Rakyat segera membahaskan pendedahan Kertas Pandora berhubung transaksi kewangan yang menyalahi undang-undang negara melibatkan beberapa nama besar.

Bagaimanapun, Speaker Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun menolak usul itu atas tidak perlu disegerakan sehingga memaksa persidangan itu mengetepikan urusan-urusan yang sudah ditetapkan aturan urusan mesyuarat. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.