`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Thursday, October 14, 2021

Umpan dan jerat Keluarga Malaysia

 

Lama sebelum cetusan Keluarga Malaysia bergema, Usman Awang, Sasterawan Negara kita ada menulis Irama Bersajak tentang perpaduan kaum. Irama Bersajak ini terbit sebagai rancangan radio di Radio Malaysia antara 1966 sehingga 1970.

Dalam salah sebuah Irama Bersajak yang Usman tuliskan, terselit sebuah karangan berjudul “Bisikan Perpaduan”. Membaca kembali nukilan Usman ini kita lekas menjadi sayu kerana Malaysia harapan beliau pada 1970-an itu hari ini dicemari oleh kebangkitan ekstremis Melayu, kumpulan kanan yang rasis. Mereka malah sudah mengisi Jemaah Menteri dan GLC ekoran Langkah Sheraton.

Harapan Usman mengenai perpaduan tersebut dicurahkan dalam puisi-puisi yang dianyam dan dicantum dengan prosa beritma lantas dibacakan di tetuang Radio Malaysia. Terdapat satu puisi yang diselit dalam Irama Bersajak “Bisikan Perpaduan” ini antara baitnya berbunyi:

Tiap rakyat tanpa beda apa

Di sini bumi di sini udara di sini langit kita

Bangunkan suatu bangsa suatu negara rakyat
Dengan kesetiaan kejujuran kemakmuran bangsa Merdeka
Tiap kita saling menyertai hari gembira
Tahun baru dalam dentuman mercun
Hari raya dengan ketupat dan ucapan selamat
Deepavali yang suci pesta mengisi hakikat
Hari depan yang manis pada pintu persamaan hak
Yang kita bangunkan untuk tiap keturunan zaman

Perhatikan, dalam pandangan Usman, setiap bangsa yang menghuni Malaysia ini seharusnya diberi ‘pintu persamaan hak’ agar dapat membangunkan ‘bangsa suatu negara rakyat’.

Usman Awang dalam Irama Bersajak tersebut mengimpikan sebuah negara yang adil dan tidak berprasangka untuk semua, bukan mesti slogan-slogan sebuah Keluarga Malaysia yang plastik. Untuk itu Usman mengingatkan bahawa kehadiran aneka bangsa di negara ini sebagai ‘kehidupan yang kita inginkan’, atau ‘cita-cita kita’ yang menurutnya – tipikal Usman – adalah ‘laksana mekar harum bunga menguntum, laksana segar ranum bibir tersenyum’. Kata Usman lagi keturunan bukan Melayu adalah bahagian dari kehidupan itu. Sasterawan Negara ini mengingatkan begini:

“Orang-orang Tionghua, orang-orang India telah berabad lamanya tinggal di sini bersama dengan rakyat Melayu. Dalam kehidupan selama itu, banyak sudah yang menenggelamkan dirinya dalam satu kehidupan, satu nasib yang menyatukan dan mempertemukan mereka dalam bentuk hati dan rasa, duka dan derita sehingga tidaklah asing lagi dan jika kita mendengar dan melihat perkahwinan dan rumah tangga yang dibentuk dari kedua belah pihak.”

Pun sayugia diingat di sini ialah solusi atau penawar ‘perpaduan rakyat’ yang disaran oleh Usman Awang terletak pada pendidikan yang jitu, dan mestilah untuk semua. Usman harus dinyatakan di sini tidak percaya kepada sekolah vernakular untuk dapat memupuk kebahagiaan kaum yang beraneka ini. Usman Awang secara lembut mengkritik sistem sekolah vernakular yang ‘mendukacitakan’. Usman lanjutnya menulis begini dalam Irama Bersajak itu:

“Jika kita pergi ke tiap sekolah, jika kita berjalan di kota dan desa, jika kita melihat temasya dan keramaian, kita akan melihat anak-anak kita; anak-anak Melayu, anak-anak Tionghua dan anak-anak India yang menikmati pergaulan tanpa rasa dan prasangka kaum masing-masing. Walaupun kita masih dukacita karena persekolahan kita masih ada sekolah Melayu, sekolah Cina, dan sekolah Tamil yang menyebabkan anak-anak itu terpisah, namun kita mengharapkan pada suatu masa yang singkat, berkat susunan pelajaran yang sesuai untuk perpaduan, akan lahir dan terbentuk nanti sebuah sekolah yang bahasa pengantarnya Bahasa Kebangsaan negeri ini dengan murid-muridnya terdiri dari anak-anak tiap keturunan bangsa Malaysia. Dengan belajar dan hidup di bawah satu bumbung, dengan sistem pelajaran yang satu, buku yang sama, insyaallah akan lahir suatu generasi baharu yang bukan saja padu dalam perpaduan, tetapi juga menumpahkan cinta yang penuh kepada negeri.”

Dalam impian Usman Awang sebuah negara Malaysia yang memberikan hak setara kepada semua hendaklah bebas dari slogan dan kepura-puraan – contoh Keluarga Malaysia – yang tujuannya menjerat.

Ini kerana Usman masih percaya kepada Malaysia yang terbina oleh kelas marhaen. Bukan terbina di padang golf. Tulis Usman lagi dalam sebuah puisi yang ikut dibawa masuk dalam Irama Bersajak, “Bisikan Perpaduan”:

Tiap kilang dan jentera menderu
Kita bekerja membangun hidup baru
Tiap ladang menghijau tanamannya
Tenaga bersama mencangkul dan menyuburkan
Itulah buruh-petani pembinanya.

Seterusnya Usman menyatakan pula dengan tegas, setiap nestapa bangsa adalah nestapa bangsa Malaysia yang harus dirasai bersama:

Tiap nangis anak tercinta
Adalah tangis anak kita bersama yang pedih atas derita sangsara kita;
Jika terdengar tawa dari mereka
Adalah senyum bangsa kita bersama
Kerana derita dan bahgia milik bersama
Rakyat yang membina persatuan tenaga.

Dalam hal inilah Usman Awang mengingatkan umpan dan jerat politikus yang akan sentiasa membodohkan rakyat dengan retorika dan slogan palsu, padahal mereka adalah kekuasaan yang mencari jalan menindas semua rakyat pelbagai bangsa. Jangan percaya politisyen, jangan percaya mereka. Jangan, senyum dan manis muka mereka itu bertujuan menjerat dan tidak ikhlas; kata Usman begini:

Jangan percaya pada tiap kemanisan kata
Sebuah senyum dari bibir yang pura-pura
Sebab mereka akan menjaring harapan kita
Demi kekuasaan yang menindas tiap kita
Dakaplah hati bila menatap wajah
Kerana hati membisikkan rasa yang indah

Dalam hal ini, Usman berpesan, formula perpaduan sebenar adalah pada nurani; bukan pada slogan politik taik.

Sesungguhnya jalinan Irama Bersajak Usman Awang ini meski singkat dan padat, masih penuh pesan supaya segera jeran akan sebarang umpan jerat penguasa. Menurut Usman Awang, perpaduan bangsa Malaysia adalah milik rakyat dan bukan datang dari atas. Ia harus datang dari bawah. Persetankan kuasawan yang sedang memperdayakan. Rakyat, jangan dibodohkan.

Apa Keluarga Malaysia? Persetankan elemen Melayu-Islam dalam pentadbiran kerajaan sekarang yang cuba berselindung di sebalik terma ‘Keluarga’. Ini kerana Usman telah menetapkan bahawa tanpa mereka, sang politikus pun, kita memang tahu caranya untuk hidup bahagia:

“Bayangkan betapa bahagianya orang-orang Melayu, Tionghua, dan India bekerja bersama di pejabat, di kilang, atau di ladang. Bayangkanlah betapa mesranya ibu-ibu dari ketiga-tiga keturunan itu bertemu dan berbual di pasar, di anjung rumah, menceritakan kisah hidup, kisah keluarga, kisah anak masing-masing. Bayangkanlah betapa gembiranya pemuda dan gadis Melayu, Tionghua, dan India dalam keriangan orang-orang muda, bekerja dan berjuang sama.”

Dalam Irama Bersajak ini, Usman Awang tertinggalkan aneka keturunan lain khususnya mereka dalam kalangan Orang Asli, Orang Natif, dan saudara kita di Borneo nun sana. Sayang sekali memandangkan Sabah Sarawak sudahpun menyertai Malaysia tatkala itu (1960-an).

Sebetulnya impian dan bayangan Usman Awang dalam Irama Bersajaknya yang bertajuk “Bisikan Perpaduan” memang terdengar sayup-sayup dan terlihat samar-samar sekarang ekoran pengkhianatan politik parti Bersatu dan segelintir dari PKR. Mereka sanggup bersekongkol dengan kleptokrat, pencacai, dan orang kalah. Lebih dahsyat, pembangkang yang diharapkan telah ikut sama ber-MoU dengan mereka.

Tinggallah kita rakyat jaga kita sama kita. Betullah telahan Usman Awang, politisyen dan kuasawan memang tidak guna. Yang betulnya, kitalah yang boleh memupuk perpaduan itu antara kita. Jangan lagi terjerumus dalam umpan dan jerat ekstremis. Jangan terpedaya oleh gula-gula penguasa. Sebabnya itulah Usman Awang dengan cergas dan cerdas berpesan:

Bila tiap hati bersinar dalam satu warna
Penuh hormat pada bendera jalur bumi tercinta
Tegak sanjung bila NEGARAKU sedang bergema
Itulah perpaduan mula menguntum dalam cahaya.

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.