`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Tuesday, October 26, 2021

Masjid perlu sistem akaun baik, elak kutipan tak jelas, kata SPRM

 

Sistem perakaunan teratur dapat meningkatkan mutu pengurusan dan pentadbiran masjid, kata Pengarah SPRM Perak Mohd Fauzi Mohamad.

IPOH: Masjid-masjid di negeri ini perlu mempunyai sistem perakaunan yang lebih baik bagi meningkatkan mutu pengurusan dan pentadbiran di rumah ibadat tersebut, kata Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perak Mohd Fauzi Mohamad.

Beliau berkata sistem perakaunan yang baik dan lebih teratur juga dapat memudahkan lagi pengurusan penerimaan dan penggunaan kutipan masjid sekali gus melicinkan pengurusan kewangan masjid-masjid di negeri ini.

“Kami melihat Jabatan Mufti tiada masalah cuma dari segi pentadbiran agama ada sedikit perhatian perlu diberikan kepada masjid-masjid yang berkisar kepada kutipan tertentu yang tidak mengikuti perakaunan yang baik.

“Tiada banyak masalah pun. Cuma kadang-kadang penerimaan dan penggunaan wang itu tidak jelas. Mungkin boleh buat satu akaun yang mudah untuk rekod kemasukan dan pengeluaran wang, kalau itu boleh laksana dengan baik, tiada apa-apa masalah pengurusan di masjid,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) 2021-2025 Jabatan Mufti negeri Perak dan Ikrar Bebas Rasuah oleh Menteri Besar Perak Saarani Mohamad secara maya hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Fauzi turut memuji kepimpinan Jabatan Mufti negeri Perak yang menyokong SPRM secara berterusan dalam menangani jenayah rasuah habis-habisan sekali gus menunjukkan komitmen yang tinggi dalam membangunkan pelan antirasuah sebagai langkah kawalan dalaman bertujuan mencegah salah laku rasuah.

“OACP merupakan satu daripada usaha dalam menangani pelanggaran rasuah dan integriti serta mengukuhkan kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan jabatan kepada masyarakat,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Mufti Perak Zamri Hashim berkata pelan OACP berkenaan dibangunkan bagi menangani permasalahan dan kelemahan pentadbiran, integriti dan antirasuah dalam kalangan warga jabatan itu.

“OACP yang dirangka Jawatankuasa OACP Jabatan Mufti telah mengenal pasti sebanyak 79 inisiatif atau pelan tindakan yang merangkumi lima bidang keutamaan iaitu perolehan dan kewangan, sumber manusia dan pentadbiran, fatwa, falaq dan maktabah serta lima strategi dalam mencegah salah guna kuasa dan rasuah yang dimantapkan 15 objektif strategi.

“Pelan ini diharap akan menjamin reputasi dan prestasi Jabatan Mufti sebagai sebuah agensi kerajaan daripada pelbagai penemuan dan peraturan yang sedang dikuat kuasa atau tohmahan rasuah atau data kelakuan dalam kalangan warga jabatan,” katanya.

Dalam pada itu, Saarani berkata usaha memerangi gejala rasuah memerlukan evolusi berterusan selari dengan perubahan semasa jenayah yang dilihat semakin sofistikated.

“Mendepani cabaran ini, kita perlu memastikan OACP yang hendak dilaksanakan ini benar-benar ampuh. OACP ini sarat dengan perancangan inisiatif tetapi isu pokoknya adalah bagaimana kita hendak melaksanakannya agar ia benar-benar mampu menyekat kegiatan rasuah,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.