AARHUS: Skuad muda negara melangkah ke suku akhir Piala Thomas selepas membelasah Kanada 5-0 di Arena Ceres, malam tadi (awal pagi Rabu di Malaysia).
Membuka kempen dalam Kumpulan D, Malaysia menampilkan aksi pemanas badan dengan penuh bergaya sebelum berdepan dengan Jepun pada Khamis ekoran penarikan diri pasukan England.
Seperti diramalkan, pemain perseorangan utama negara Lee Zii Jia membuka gelanggang dengan hanya mengambil masa 38 minit untuk menewaskan pemain nombor 39 dunia Brian Yang 21-18, 21-13 untuk mata pertama negara.
Pemain muda berusia 19 tahun dari Kanada itu memberi cabaran sengit pada awal set pertama tetapi gagal menandingi ketangkasan Zii Jia yang kemudian mengawal set kedua, sekali gus mencatatkan kemenangan bersih dalam dua pertemuan selepas pusingan pertama All England, Mac lalu.
Mengulas kemenangannya, Zii Jia berkata beliau turun ke gelanggang dengan dua misi iaitu memastikan satu mata untuk negara dan mengekalkan status sebagai 10 pemain perseorangan terbaik dunia dengan menundukkan bintang Kanada yang semakin meningkat itu.
“Saya rasa paling penting hari ini ialah kekuatan mental. Saya rasa kekuatan mental lawan saya itu kurang sedikit, jadi saya memaksanya melakukan kesilapan. Memang dia seorang pemain bagus dengan kemahiran melakukan serangan dan mampu bermain defensif,” kata pemain nombor lapan dunia itu.
Brian merupakan pemain sensasi dalam acara perseorangan lelaki selepas mengejutkan pemain nombor tujuh dunia, Jonatan Christie dari Indonesia pada Piala Sudirman baru-baru ini dan mengatasi pemain nombor 13 dunia, Kanta Tsuneyama dari Jepun pada perlawanan pembukaan mereka dalam Kumpulan D Piala Thomas di sini.
Pada perseorangan kedua, juara beregu campuran Sukan Olimpik Remaja 2014, Cheam June Wei menghadiahkan mata kedua untuk negara selepas mengejutkan pemain Olimpik Jason Anthony Ho-Sue.
Menghuni ranking ke-70 dunia, June Wei, 24, menyingkirkan Jason, selaku pemain nombor 46 dunia, dalam straight set 21-14, 21-14, dalam masa 40 minit pada pertemuan pertama dengan wakil Kanada itu.
Pemain perseorangan negara Ng Tze Yong membalas kepercayaan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan barisan jurulatih pada penampilan sulungnya dengan mengatasi B.R. Sankeerth 21-7, 21-19 dalam masa 42 minit untuk mengesahkan slot suku akhir.
Selepas pemain perseorangan mencipta kemenangan straight-set, gandingan baharu negara, Soh Wooi Yik dan Nur Izzuddin Mohd Rumsani tidak berdepan masalah untuk mengutip mata keempat negara apabila dengan mudah mengatasi Philippe Charron-Maxime Tetreault 21-7, 21-10 dalam masa 25 minit.
Pada perlawanan terakhir, gandingan baharu Aaron Chia-Goh Sze Fei menyudahkan kemenangan bergaya skuad negara dengan mengetepikan cabaran Sankeerth-Nyl Yakura 21-14, 21-13 dalam masa 31 minit.
Keputusan lain:
Piala Thomas
China mn Belanda 5-0
India mn Tahiti 5-0
Piala Uber
Thailand mn Sepanyol 5-0
India mn Scotland 4-1
Jepun mn Indonesia 5-0
Perancis mn Jerman 3-2
- FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.