`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Sunday, October 3, 2021

Sabah benarkan majlis rasmi kerajaan, swasta mulai esok, kata Masidi

 

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Masidi Manjun berkata, individu yang belum divaksin atas masalah kesihatan atau perubatan yang telah disahkan oleh pegawai perubatan berdaftar perlu menjalani “pre-event test” menggunakan kit ujian kendiri (saliva) sebelum hadir. (Gambar Bernama)

KOTA KINABALU: Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Masidi Manjun berkata, majlis rasmi kerajaan dan swasta termasuk perasmian, seminar dan bengkel secara bersemuka dibenarkan di Sabah mulai esok.

Katanya, kebenaran itu diberikan dengan syarat semua yang hadir telah lengkap divaksin dan kapasiti 50% ruang premis.

“Bagi individu yang belum divaksin atas masalah kesihatan atau perubatan yang telah disahkan oleh pegawai perubatan berdaftar, mereka perlu menjalani “pre-event test” menggunakan kit ujian kendiri (saliva) sebelum hadir.

“Ianya juga perlu disaksikan oleh penganjur atau pengesahan daripada pengamal perubatan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, Masidi berkata, kaedah “bergantung sepenuhnya kepada petugas barisan hadapan dan juga penguatkuasaan” sudah tidak berkesan lagi untuk dilaksanakan.

Katanya, ini kerana tiada siapa boleh ramalkan siapa yang menjadi pembawa atau siapa yang sudah dijangkiti.

“Dengan peratusan 35.07% daripada kumulatif kes pada hari ini yang datangnya daripada saringan bergejala, ia memperlihatkan betapa trend jangkitan di Sabah bukan lagi bersifat lokaliti tertentu, tetapi sudah merebak ke dalam seluruh komuniti.

“Kita perlu terima hakikat bahawa ‘we have to live with the virus’ (kita perlu hidup dengan virus itu) dan amalan terbaik yang boleh disarankan ialah pematuhan SOP (prosedur operasi standard) kendiri, selain daripada sokongan kepada usaha vaksinasi yang sedang giat dijalankan,” katanya.

Terdahulu beliau berkata, sebanyak 767 lagi kes baharu dicatatkan di Sabah, hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kini 200,396 kes.

Katanya, sebanyak 14 kes kematian turut dilaporkan iaitu tiga kes di Tawau, dua kes di Lahad Datu dan Kota Kinabalu manakala masing-masing satu kes di Kudat, Tuaran, Kota Marudu, Penampang, Semporna, Ranau dan Sandakan.

“Bilangan kematian ini tidak semestinya berlaku dalam tempoh 24 jam kerana ada kes kematian yang mengambil masa untuk verifikasi dan dilaporkan kemudian daripada tarikh sebenar.

“Sementara itu, bilangan pesakit Covid-19 sembuh ialah 1,096 menjadikan jumlah kumulatif 183,694 orang.

“Seramai 2,790 pesakit masih menerima rawatan iaitu 1,078 orang di hospital, 1,689 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC), 16 orang di Pusat Tahanan Sementara (PTS) atau penjara manakala tujuh orang di fasiliti swasta.

“Daripada jumlah itu, mereka yang memerlukan penjagaan kritikal ialah 132 orang merangkumi 119 di ICU (Unit Rawatan Rapi) serta 13 di “open ward” manakala 50 orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilated),” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.