KUALA PENYU: Setiausaha Eksekutif Umno Sabah, Awang Lakat berkata, parti itu sedia menerima semula bekas pemimpin dan ahli mereka di negeri berkenaan sekiranya mahu kembali ke pangkuan parti berkenaan.
Katanya, Umno adalah parti yang inklusif dan bukannya eksklusif serta sentiasa membuka pintu kepada mana-mana pihak yang mahu menyertai perjuangan mereka.
“Kita sentiasa mengamalkan konsep terbuka kepada mana-mana pihak yang ingin menyertai perjuangan parti kita, bagaimanapun, ianya perlu melalui proses seperti biasa.
“Mereka yang berminat (menyertai Umno) perlu mengisi borang keahlian parti dan dikemukakan kepada cawangan, bahagian serta ibu pejabat parti untuk kelulusan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Awang yang juga ketua bahagian Umno Beaufort berkata, walaupun parti itu di Sabah telah “pulih”, namun penyertaan semua pemimpin dan ahli akan menjadikan mereka bertambah kuat.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan akan ada lagi ahli atau pemimpin sama ada dari pembangkang mahupun parti lain akan menyertai Umno pada masa akan datang.
“Sebelum ini, walaupun ramai yang menganggap Umno sudah tidak relevan tetapi parti ini tetap menjadi rebutan ramai.
“Bagi saya ia memberikan indikasi bahawa Umno mempunyai nilai harga yang mahal walaupun itu cuma persepsi.
“Apa pun Umno tidak boleh sombong untuk mendengar dan membetulkan diri dengan teguran daripada akar umbi dan dalam politik, perlu ada strategi serta rancangan sekiranya hendak menang, termasuk membuka pintu kepada bekas ahli Umno yang ingin kembali bersama parti,” katanya. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.