`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Monday, November 22, 2021

Jambatan Gantung Satok mercu tanda baharu bandaraya Kuching

 

Pada 2017, kerajaan Sarawak merancang semula pembinaan jambatan gantung itu dengan kos RM8.05 juta di tapak asal. (Gambar Bernama)

KUCHING: Bandaraya Kuching kini memiliki satu lagi mercu tanda baharu iaitu Jambatan Gantung Satok yang reka bentuknya seakan-akan Jambatan Golden Gate di San Francisco, Amerika Syarikat.

Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg berkata selain itu, apa yang unik dan penting mengenai Jambatan Gantung Satok ialah sejarah pembinaannya yang bermula semasa Charles Vyner Brooke menjadi Raja Putih ketiga.

Beliau berkata, Brooke telah mengupah arkitek terkemuka Eropah iaitu A.S Lowe, yang merupakan adik C.P Lowe (Pengarah Jabatan Kerja Raya ketika itu), untuk membuat seni bina jambatan itu.

“Pembinaan jambatan tersebut bermula pada 1920 dengan anggaran kos USD52,000 serta siap sepenuhnya pada 1926 dan ia merupakan antara mercu pembangunan bandaraya Kuching ketika itu,” katanya.

Untuk rekod, pada 1992, jambatan itu terpaksa ditutup kerana telah usang dan tidak ekonomikal untuk dibaik pulih manakala kabel utamanya terputus menyebabkan ia runtuh pada 2004.

Akhirnya pada 2017, kerajaan negeri telah merancang semula pembinaan jambatan gantung sepanjang 213m itu dengan kos RM8.05 juta di tapak asal.

Jambatan itu siap sepenuhnya pada Mac lepas dan memberi manfaat kepada pejalan kaki dari kawasan Satok ke Medan Niaga.

Abang Johari berkata, jambatan baharu itu akan merancakkan lagi ekonomi Sarawak dari sudut pelancongan dan menimbulkan nostalgia akan masa-masa lalu kepada generasi baharu.

“Ia juga adalah usaha kerajaan negeri untuk memodenkan kawasan antara Darul Hana sehingga ke Satok,” katanya pada majlis perasmian jambatan itu hari ini. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.