PETALING JAYA: Seorang peniaga ayam ditahan awal pagi semalam disyaki melakukan perbuatan amang seksual terhadap seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun di Bachok, Kelantan.
Ketua Polis Daerah Bachok Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, suspek yang ditahan di rumahnya pukul 1 pagi itu didakwa melakukan perbuatan tidak senonoh terhadap mangsa di dalam sebuah kereta di depan kedai makan di Tawang, 26 Jun lalu.
Katanya, mangsa yang dihantar pulang kemudian menceritakan kejadian kepada ibunya, namun tidak membuat laporan polis kerana tidak mahu memanjangkan kes.
“Bagaimanapun, mereka tampil membuat laporan polis, semalam, selepas suspek didakwa masih mengganggu mangsa.
“Suspek turut dikatakan mengugut untuk memfailkan saman terhadap keluarga mangsa, dengan mendakwa mangsa membuat fitnah terhadapnya,” katanya menurut laporan Berita Harian.
Ismail berkata, mangsa dikatakan mengenali suspek yang masih bujang itu sejak 2019.
“Sejak November tahun lalu, suspek didakwa menyatakan hasrat menjadikan mangsa anak angkat dan mengajak remaja itu berniaga dengannya,” katanya.
Beliau berkata, suspek direman selama seminggu bermula semalam hingga 27 November depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.