`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Friday, November 26, 2021

Kerajaan salur RM262 juta atasi kenaikan harga makanan, kata PM

 

Sebanyak RM62 juta akan disalurkan melalui Pertubuhan Peladang Kebangsaan sebagai tambahan peruntukan subsidi dan insentif padi, manakala RM200 juta pula disediakan sebagai pinjaman agromakanan pada kadar faedah sifar peratus, kata Ismail Sabri Yaakob.

KUALA LUMPUR: Kerajaan memperuntukkan bantuan berjumlah RM262 juta sebagai respons awal bagi membantu peladang yang terjejas susulan kenaikan harga baja dan racun, kata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata daripada jumlah itu, dana RM62 juta akan disalurkan melalui Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) sebagai tambahan ke atas peruntukan subsidi dan insentif padi di bawah Bajet 2022 yang keseluruhannya berjumlah RM1.5 bilion.

Katanya, dana RM200 juta pula disediakan sebagai pinjaman agromakanan pada kadar faedah sifar peratus, di samping moratorium bayaran balik pinjaman selama enam bulan di bawah Tekun Nasional (TEKUN) dan Agrobank untuk manfaat pengusaha tanaman sayur-sayuran dan buah-buahan yang terkesan.

“Kerajaan dari semasa ke semasa sentiasa memberi perhatian terhadap masalah yang dihadapi keluarga peladang termasuk isu yang dihadapi kini iaitu berkaitan dengan peningkatan harga baja dan racun,” katanya pada Majlis Makan Malam dan Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan NAFAS kali ke-47, di sini malam ini.

Hadir sama Menteri Pertanian dan Industri Makanan Ronald Kiandee dan kedua-dua timbalannya, Ahmad Hamzah dan Nik Muhammad Zawawi Salleh.

Katanya beliau juga telah mengarahkan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Kementerian Kewangan (MOF) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk merangka dan memformulasi langkah-langkah mitigasi untuk menangani isu berkenaan.

Ismail Sabri berkata kerajaan juga akan meneruskan pemberian subsidi dan insentif berasaskan ‘input’ dan ‘output’ dengan kontrak membekal dan menghantar input pertanian diberikan kepada NAFAS selaku badan induk pergerakan Pertubuhan Peladang yang menaungi 920,000 ahli di seluruh negara.

Katanya pemberian itu dilakukan di bawah Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan (SBPKP) dan Skim Insentif Pengeluaran Padi (SIPP) bagi tempoh 1 Julai 2021 hingga 31 Dis 2023 dengan nilai RM1.82 bilion.

“Saya telah maklumkan Menteri Kewangan kita perlu bantu NAFAS. Apabila kita bantu NAFAS, maka secara langsung kita membantu golongan peladang, petani dan penternak,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.