`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Thursday, November 18, 2021

Polis tahan 19 individu guna, jual darjah kebesaran Kedah tak diiktiraf

 

Ketua Polis Kedah Kamarul Zaman Mamat berkata, siasatan mendapati sindiket tersebut mula aktif sejak 2015 dengan menggunakan modus operandi mendekati individu yang dikenal pasti sebagai golongan elit dan ahli perniagaan. (Gambar PDRM)

ALOR SETAR: Polis menahan 19 individu yang dipercayai terbabit kegiatan penggunaan dan penjualan darjah kebesaran negeri Kedah yang tidak diiktiraf dalam beberapa siri operasi bermula 7 Nov lalu hingga semalam.

Ketua Polis Kedah Kamarul Zaman Mamat berkata kesemua suspek warga tempatan berumur antara 30 hingga 63 tahun itu ditahan di beberapa lokasi di sekitar negeri ini dan beberapa negeri lain.

Menurut beliau polis menerima laporan berhubung sindiket itu pada 5 Okt lepas dari Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah yang telah mengesan beberapa individu tidak bertanggungjawab menggunakan Darjah Kebesaran Setia Diraja Kedah (DSDK) sebelum mendapat kurniaan Sultan Kedah.

“Bertindak atas laporan tersebut, Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah telah menjalankan operasi dan berjaya memberkas 19 individu lelaki dan wanita warganegara tempatan yang mempunyai pelbagai latar belakang berbeza,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata susulan tangkapan itu polis turut merampas beberapa barangan, aksesori dan dokumen antaranya kad keahlian Jemaah Dato-Dato Negeri Kedah yang palsu, jata negeri dan beberapa barang berkaitan darjah kebesaran tersebut yang digunakan oleh sindiket itu.

Kamarul Zaman berkata siasatan mendapati sindiket tersebut mula aktif sejak 2015 dengan menggunakan modus operandi mendekati individu yang dikenal pasti sebagai golongan elit dan ahli perniagaan.

Menurut beliau sindiket tersebut kemudian menawarkan gelaran darjah kebesaran negeri Kedah dengan meminta sejumlah bayaran dipercayai antara RM25,000 hingga RM103,000.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 13 Akta Kesalahan Yang Berhubung Dengan Anugerah 2017 (Akta 787) dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

“Orang ramai dinasihatkan agar tidak mudah menjadi mangsa kepada sindiket seperti ini. Jika sesiapa menerima anugerah secara tidak diiktiraf boleh menyemak dengan Kerajaan Negeri Kedah melalui saluran rasmi yang telah ditetapkan,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.