`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Saturday, November 27, 2021

Urus Covid-19 episod paling sukar, kata Muhyiddin

 

Muhyiddin Yassin menyifatkan pengalaman menguruskan pandemik Covid-19 itu tidak akan dilupakan.

PETALING JAYA: Muhyiddin Yassin menyifatkan memegang tampuk pentadbiran negara sebagai Perdana Menteri dalam tempoh pandemik Covid-19 sebagai episod yang paling sukar dalam sejarah hampir 50 tahun kerjaya politiknya.

Muhyiddin berkata beliau telah diberikan amanah besar untuk mengemudi negara dalam waktu pandemik yang tidak pernah berlaku dalam sejarah dunia sekali pun.

“…Ini merupakan krisis yang kita tahu yang mengancam nyawa dan kehidupan rakyat pada skala yang amat besar, dan berlarutan untuk suatu tempoh yang panjang sampai lah ke saat ini,” katanya menurut laporan Bernama, ketika merasmikan pelancaran buku Biografi Bergambarnya yang bertajuk “Abah Teguh Kita Bersama” di Kuala Lumpur.

Turut hadir Timbalan Speaker Dewan Rakyat Mohd Rashid Hasnon dan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Zuraida Kamaruddin.

Muhyiddin yang juga Pengerusi Majlis Pemulihan Negara berkata beliau dan rakan-rakan Kabinet pada waktu itu, telah cuba melakukan yang terbaik dengan memberikan keutamaan kepada usaha untuk menyelamatkan nyawa rakyat dan melindungi kehidupan mereka.

“Saya mempengerusikan mesyuarat Majlis Keselamatan Negara hampir setiap hari dan pada masa sama juga menguruskan hal-hal berkaitan Covid-19, siang malam, untuk mendapat laporan terkini daripada Ketua Pengarah Kesihatan, Menteri Kesihatan, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi dan sebagainya.

“Saya sedih apabila masih ada yang terkesan dan meninggal dunia disebabkan wabak Covid-19 yang belum selesai, apatah lagi ada ribuan orang yang tidak mendapat peluang pekerjaan dan hidup susah,” katanya.

Beliau menyifatkan pengalaman itu tidak akan dilupakan dalam hidupnya menguruskan pandemik Covid-19, ketika dilantik menjadi Perdana Menteri pada 29 Feb 2020.

Buku Biografi Bergambar “Abah Teguh Kita Bersama” setebal 248 muka surat, memaparkan koleksi 370 foto mengisahkan perjalanan Muhyiddin dalam pentadbiran kerajaan dan politik, bermula sebagai Penolong Setiausaha Kerajaan Negeri Johor pada 1970, Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri dan Menteri Besar Johor. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.