`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Monday, December 6, 2021

Selangor lulus had umur ADUN kepada 18 tahun

 

Amirudin Shari berkata pindaan tersebut bagi mengikut Perkara 47 Perlembagaan Persekutuan yang dipinda melalui Akta Perlembagaan (Pindaan) 2019 (Akta A1603), untuk menurunkan had umur layak bertanding daripada 21 ke 18 tahun bagi calon Ahli Dewan Rakyat. (Gambar Bernama)

SHAH ALAM: Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini meluluskan Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor (Pindaan) 2021, bagi menurunkan had umur seseorang warganegara yang layak menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada 21 tahun kepada 18 tahun.

Pindaan terhadap Perkara 63 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 itu diluluskan, selepas dibahas dan mendapat persetujuan daripada kesemua ADUN pada sesi persidangan petang tadi.

Menteri Besar Amirudin Shari ketika mencadangkan Rang Undang-Undang berkenaan, berkata pindaan tersebut bagi mengikut Perkara 47 Perlembagaan Persekutuan yang dipinda melalui Akta Perlembagaan (Pindaan) 2019 (Akta A1603), untuk menurunkan had umur layak bertanding daripada 21 ke 18 tahun bagi calon Ahli Dewan Rakyat.

Amirudin berkata melalui Akta A1603 itu juga, Seksyen 5 Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan telah dipinda dengan menurunkan had umur kelayakan calon bagi DUN daripada 21 ke 18 tahun.

Beliau berkata sekiranya kerajaan negeri tidak mengambil tindakan meminda Undang-Undang Tubuh bagi tujuan menguatkuasakan pindaan berkaitan had umur calon DUN tersebut, suatu undang-undang boleh digubal Parlimen bagi penguatkuasaan perkara itu.

“Berdasarkan peruntukan Perkara 71 Perlembagaan Persekutuan, suatu undang-undang boleh digubal oleh Parlimen bagi menguatkuasakan peruntukan berhubung had umur ADUN tersebut, atau menghapuskan mana-mana peruntukan dalam Undang-Undang Tubuh negeri yang tidak selaras dengan kehendak Seksyen 5 Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Dalam pada itu, Speaker DUN Selangor Ng Suee Lim berkata kesemua ADUN pada persidangan tersebut bersetuju secara dasar untuk meluluskan enakmen berkenaan, walaupun pelbagai pandangan dibahaskan.

“Ini satu tanda aras, lembaran baharu dalam DUN Selangor kerana berjaya meluluskan (Enakmen Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor (Pindaan) 2021 ) tersebut pada bacaan ketiga hari ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menangguhkan DUN sehingga pukul 10 pagi esok. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.