`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Thursday, April 28, 2022

Siapa kata negara ini tak bermusim?

 

Tidak seperti negara Barat mahupun negara Asia seperti Jepun, China, dan Korea – negara kita ni tidak ada musim sejuk, musim panas dan sebagainya. Tidak ada “winter, spring, summer, or fall” bak nyanyian Carole King dalam lagunya “You’ve got a friend”.

Musim tengkujuh juga kita sudah tidak ada kerana tengkujuh (dan banjir) sekarang boleh datang bila-bila masa akibat perubahan iklim. Tidak macam dulu, ia datang ikut musim yakni penghujung tahun.

Dulu ada musim buah. Terutama musim durian. Sekarang tak ada. Durian boleh didapati hampir sepanjang tahun mengikut kawasan pokoknya ditanam.

Masa saya kecik-kecik dulu kami ada musim permainan. Ada musim main gelang getah, main kotak rokok, layang-layang, atau gasing. Sekadar menyebut empat. Sebenarnya banyak lagi. Sekarang tidak ada musim itu. Budak-budak sekarang pun tak main apa yang kami main dulu.

Namun negara ini sebenarnya ada juga musim. Iaitu musim cakap mengenai isu. Apabila sesuatu perkara besar (kadang-kadang tak sebesar mana pun) timbul “semua” akan bercakap. “Semua” maksud saya orang politik termasuk pembangkang terutama menteri dan pihak kerajaan.

Apabila berlaku kemalangan membabitkan bas ekspres, umpamanya, yang mengorbankan banyak nyawa, kita akan bercakap mengenainya.

Orang politik akan bercakap pasal kemalangan itu setiap hari. Mengutarakan pelbagai cadangan. Si menteri termasuk perdana menteri akan bercakap juga setiap hari. Mereka akan umumkan pelbagai langkah dan tindakan yang akan diambil supaya kemalangan tidak berulang.

Jangan lupa jawatankuasa khas dan jawatankuasa siasatan akan diumum dan dibentuk.

Kita orang awam pun akan bercakap dan memberi pandangan serta idea untuk “memastikan” kemalangan tidak akan terjadi lagi.

Itu semua musim cakap mengenai kemalangan. Ia akan makan masa berhari-hari. Mungkin juga berminggu. Kemudiannya sejuk. Semua tidak lagi bercakap mengenai kemalangan sedih itu.

Ada cadangan yang disaran kerajaan dilaksanakan. Ada tindakan diambil dengan bersungguh-sungguh khusus pada awal pelaksanaan. Ada ala kadar. Ada idea lenyap begitu sahaja. Cakap tinggal cakap, cadangan tinggal cadangan. Beberapa minggu kemudian, semua senyap. Tidak ada siapa yang minat memantau. Kemalangan yang disebut tadi sudah jadi isu lampau.

Untuk terus bercakap mengenainya boleh dilihat sebagai bercakap mengenai isu basi lalu ia tidak diperkatakan lagi. Musimnya sudah habis. Sehinggalah satu lagi kemalangan bas ekspres yang meragut banyak nyawa berlaku. Semua percakapan dan tindakan yang disebut tadi berulang. Musimnya datang semula.

Begitu keadaannya. Kita ada musim bercakap mengenai gejala mat rempit apabila berlaku kemalangan dan membabitkan hilang nyawa.

Semua akan cakap pasal isu mat rempit buat seketika. Itu musimnya.

Bila ada kes ragut yang memeranjatkan negara, musim cakap mengenai ragut tiba. Semua akan komen dan beri cadangan. Lama-lama senyap. Ragut berlaku lagi. Semua cakap satu kali lagi. Satu lagi pusingan.

Kes dera kanak-kanak semangnya wajar diberi perhatian. Sedihnya ia diperkata dan diberi perhatian juga mengikut musim.

Ketika insiden basikal lajak di Johor berlaku empat tahun lalu, banyak komen dibuat khususnya orang politik dan tentunya menteri. Bukan sahaja menteri yang kementeriannya ada kaitan dengan gejala ini, yang lain pun tumpang cakap.

Kemudian sepi. Diakui ada tindakan diambil di sini sana ketika itu ketika ini. Namun gelaja masih berlaku selepas insiden di Johor itu. Rata-rata semua tidak bercakap mengenainya tetapi ia muncul semula kerana tindakan mahkamah ke atas kerani yang terlibat dengan kes empat tahun lalu. Ini mencetus pusingan baharu untuk semua bercakap mengenai basikal lajak.

Sekali lagi kita disajikan dengan soalan – mengapa remaja suka berbasikal lajak? Siapa yang harus dipersalahkan? Bagaimana basikal lajak boleh dihentikan terus? Macam-macam lagi. Adakah tindakan susulan diambil selain bercakap?

Tempoh hari ratusan pendatang tanpa izin (majoritinya etnik Rohingya) melarikan diri dari Depot Imigresen Sementara Relau di Kedah. Enam tahanan meninggal dunia terbabit dalam kemalangan di Lebuhraya Utara-Selatan ketika melarikan diri .

Isu Rohingya juga ada musim. Namun isu kali ini tidak dipercakapkan dengan meluas. Tidak ghairah. Mungkin kerana ia melibatkan “sekadar ” orang Rohingya. Tetapi yang terbunuh dalam kemalangan itu, termasuk kanak-kanak. Rohingya atau siapa pun, mereka manusia .

Ketika saya menulis artikel ini isu yang hangat diperkatakan ialah banjir di Kuala Lumpur. Ia berlaku beberapa hari lalu. Maknanya sekarang musim cakap mengenai banjir Kuala Lumpur.

Banjir di Kuala Lumpur semakin menjadi jadi sejak kebelakangan ini. Setiap kali banjir macam macam penjelasan dan “penyelesaian” diumum menteri dan DBKL. Banjir berlaku juga. Orang ramai juga memberi pandangan. Orang ramai sudah bosan.

Sesungguhnya banjir setiap kali hujan lebat di Kuala Lumpur yang bangga digelar kota metropolitan amat memalu dan menyedihkan.

Banjir sudah surut. Cakap-cakap masih ada. Adakah cakap-cakap akan turut surut apabila hari raya disambut kelak? Diharap tidak ada banjir raya ini.

Namun, hakikatnya cakap ikut musim tentu akan terus diamalkan. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.