`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Tuesday, August 16, 2022

RUU anti-lompat parti dipersembah kepada Agong dalam masa terdekat, kata Wan Junaidi

 

Pada 28 Jul pindaan RUU Perlembagaan bagi mewujudkan peruntukan larangan Ahli Parlimen bertukar parti diluluskan dengan mendapat sokongan lebih dua pertiga ahli dewan di Dewan Rakyat. (Gambar Bernama)

PUTRAJAYA: Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) No.3 2022 Pindaan mengenai Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti akan dipersembah kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dalam masa terdekat bagi mendapat perkenan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata selepas mendapat perkenan, RUU itu akan digazetkan pelaksanaannya mengikut garis masa yang disasarkan iaitu minggu pertama September.

Beliau berkata, Agong perlu memberi perkenannya sebanyak dua kali sebelum rang undang-undang itu digazetkan.

“Selepas diperkenankan nanti, rang undang-undang itu akan dikembalikan semula kepada Bahagian Hal Ehwal Undang-undang (BHEUU) dan Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk diformat sekali lagi, bagi dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong sekali lagi,” katanya dalam sidang media.

-ADVERTISEMENT-
Ads by 

Katanya, selepas itu Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob akan membuat pemakluman melalui surat kepada semua menteri besar dan ketua menteri untuk mengesyorkan kepada semua negeri mengenai pindaan terhadap Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan.

Wan Junaidi berkata, ia akan yang membolehkan semua Dewan Undangan Negeri meminda perlembagaan negeri masing-masing dengan memasukkan peruntukan larangan bertukar parti agar selaras dengan Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan sebagaimana yang diluluskan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

“Kita nak dia (negeri) ikut format kita itu, Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan yang kita pinda bersama itu, supaya Persekutuan dan pihak negeri, undang-undangnya sama.

“Kita takut kalau ada perbezaan daripada sudut perkataan, garis panduan yang disebut di undang-undang itu nanti, akan mendatangkan konflik di antara undang-undang Persekutuan dan negeri,” katanya.

Wan Junaidi berkata, sesi libat urus dengan negeri akan diadakan bagi tujuan penyeragaman dengan undang-undang Persekutuan mengikut Perkara 71 Perlembagaan Persekutuan.

Pada 28 Jul, pindaan RUU Perlembagaan bagi mewujudkan peruntukan larangan Ahli Parlimen bertukar parti telah diluluskan dengan mendapat sokongan lebih dua pertiga ahli dewan, di Dewan Rakyat.

Pada 9 Ogos, RUU berkenaan turut diluluskan di Dewan Negara selepas memperoleh sokongan 52 daripada 60 senator selepas dua kali undi belah bahagian dilakukan, iaitu lebih dua pertiga persetujuan ahli Dewan Negara. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.