`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Sunday, November 26, 2023

Kerja roboh lebih 500 rumah haram atas tanah majlis agama Sabah tangguh

 

Majlis Ugama Islam Sabah (Muis) memulakan proses perobohan pada 23 Nov lalu bermula dengan 45 struktur haram. (Gambar Bernama)

LABUAN: Kerja perobohan lebih 500 struktur haram atas tanah Majlis Ugama Islam Sabah (Muis) di Kampung Gersik ditangguhkan kepada 28 Feb 2024.

Ahli Parlimen Labuan, Suhaili Abdul Rahman, berkata keputusan itu susulan maklum balas kepada nasib penduduk terjejas dengan memberi mereka masa tambahan untuk mencari rumah alternatif.

Suhaili berkata, beliau menghubungi pegawai Muis mengenai perkara itu, menekankan perlunya empati dan kefahaman terhadap individu terlibat.

“Saya telah menyampaikan desakan menangguhkan perobohan itu kepada pegawai Muis dan mereka bersetuju untuk melanjutkan (masa mencari rumah) hingga akhir Februari tahun depan,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata pada Sabtu, hampir seribu penduduk terjejas berkumpul di balai raya Kampung Gersik untuk bertemu dengannya dan berkongsi kesukaran mereka mendapatkan rumah sewa mampu milik di tempat lain.

“Mereka akan kehilangan tempat tinggal dalam sekelip mata jika perobohan diteruskan, kerana mereka tidak mempunyai tempat perlindungan untuk keluarga mereka.

“Semasa menguatkuasakan undang-undang, penting untuk turut mempertimbangkan aspek kemanusiaan,” katanya.

Suhaili berkata, hampir 100% daripada lebih 3,000 orang yang menetap di tanah itu adalah rakyat Malaysia, kebanyakannya mempunyai anak masih bersekolah.

“Keluarga ini telah menduduki tanah itu sejak 30 tahun lepas, keputusan untuk menangguhkan perobohan itu mencerminkan keseimbangan antara menguatkuasakan peraturan dan mempertimbangkan keperluan manusiawi mereka yang terjejas, memberikan mereka tempoh masa lebih panjang untuk mencari penyelesaian perumahan alternatif,” katanya.

Beliau berkata, penangguhan itu hanya untuk rumah yang masih diduduki, rumah yang sudah dikosongkan dijadualkan untuk perobohan minggu depan.

Muis memulakan proses perobohan pada 23 Nov lalu bermula dengan 45 struktur haram dan akan disambung semula Isnin ini.

Majlis itu mengeluarkan notis enam bulan kepada penduduk pada 22 Mei lalu dengan tarikh luput 22 Nov.

Ketua Penolong Setiausaha (Pelaburan) Muis, Putera Aliif Al’Ain Jasni, berkata lebih 500 rumah dibina di dua plot tanah Muis iaitu masing-masing berkeluasan 4.946 hektar dan 9.025 hektar. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.