PETALING JAYA: Di sebalik jangkaan kenaikan harga emas susulan pengenalan cukai barang bernilai tinggi (HVGT), segelintir peminat barangan kemas masih menyifatkan pembelian logam itu berbaloi sebagai pelaburan.
Sehubungan itu, beberapa peminat barangan kemas ditemui FMT di sekitar Lembah Klang memberitahu kini masa sesuai membeli emas sebelum pelaksanaan cukai itu pada kadar antara 5% dan 10% selain sebagai perhiasan diri sempena Aidilfitri.
Pelaksanaan HVGT sepatutnya bermula bulan depan namun ditangguhkan Kementerian Kewangan memandangkan kerajaan perlu menjalankan libat urus dengan pihak berkepentingan untuk memuktamatkan butirannya termasuk skop barangan dan nilai ambang berkaitan.
Pekerja swasta, Siti Farizahani Abdul Rashid, 37, berkata dia mengambil kesempatan membeli emas dengan menggunakan lebihan simpanan bukan hanya kerana Aidilfitri tetapi sebagai simpanan jangka panjang.
“Tetapi mungkin saya pertimbangkan kos, kita ada pilihan menyimpan secara digital iaitu simpanan mengikut limit ringgit, sebelum ini saya peruntukan amaun setiap bulan, bila harga naik amaun yang sama akan memberi kita berat gram berkurangan.
“Selain itu, (bagi emas perhiasan) kita ada pilihan kedai menawarkan harga kompetitif, jadi kena bijak mencari premis menawarkan kadar itu,” katanya kepada FMT.
Pada Belanjawan 2024, Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang juga menteri kewangan mengumumkan pengenalan HVGT ke atas barangan mewah seperti barang kemas dan jam tangan sebagai usaha menambah hasil kerajaan untuk belanja pembangunan.
Sementara itu, pembantu tadbir Nurliyana Ahmad Daud, 36, berkata dia turut memilih membeli barangan kemas bukan semata-mata untuk bergaya pada lebaran tetapi simpanan atau pelaburan.
“Tetapi dalam berbelanja, ia turut bergantung kepada faktor seperti prestasi ekonomi, keadaan pasaran, dan politik.
“Sebab itu kerajaan perlu pastikan keadaan stabil dan keadilan dalam sistem cukai diperkenalkan,” katanya.
Bagi pekerja badan berkanun Roslin Roslan, 36, semua orang perlu menerima hakikat harga emas akan naik dengan pelaksanaan cukai baharu.
“Tetapi simpanan emas tetap relevan untuk masa depan, jadi kalau ada simpanan lebih boleh beli,” katanya. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.