`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Saturday, April 6, 2024

Hamzah sah terima draf tawaran perjanjian babit ‘orang berpangkat tinggi’

 

Pembangkang Hamzah Zainudin berkata pihaknya tidak akan kemukakan tawaran mereka, sebaliknya ia perlu datang daripada kerajaan.

KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin mengesahkan menerima cadangan draf perjanjian berhubung isu peruntukan sama rata untuk Ahli Parlimen pembangkang melalui seorang yang mewakili individu “berpangkat tinggi” dalam negara.

Beliau enggan mendedahkan nama individu berkenaan atau butiran draf perjanjian itu tetapi berkata pihaknya kini menunggu kerajaan mengemukakan cadangan rasmi berhubung peruntukan sama rata untuk Ahli Parlimen pembangkang iaitu kira-kira RM3.8 juta setahun.

“Draf ini pernah saya terima daripada individu yang diwakilkan oleh seseorang tetapi saya tidak mahu timbulkan polemik yang lebih besar kerana nanti membabitkan seseorang yang tinggi pangkatnya dalam negara kita,” katanya dalam temu bual bersama FMT.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof yang diberi tanggungjawab berunding dengan pembangkang berkata “draf perjanjian” diperkatakan itu tidak wujud.

Beliau berkata, pertemuannya dengan Hamzah di Parlimen baru-baru ini sekadar sesi mendengar permintaan pihak pembangkang.

Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal sebelum ini mendakwa Perdana Menteri Anwar Ibrahim menerusi wakilnya sudah menyerahkan draf dokumen perjanjian itu kepada Hamzah, tanpa pengetahuan Fadillah.

Bagaimanapun, ia dinafikan jurucakap kerajaan Fahmi Fadzil selepas menyemak dengan Pejabat Perdana Menteri (PMO).

Fahmi yang juga menteri komunikasi berkata kerajaan belum menerima “apa-apa yang substantif” daripada pembangkang ketika ini.

“Kita kena ‘back to drawing board’. Kalau ada Ahli Parlimen pembangkang merasakan perjalanan perbincangan lambat atau lembab jangan salahkan kerajaan. Kena tanya ketua pembangkang kenapa ia lambat,” katanya.

Mengulas perkara itu, Hamzah menegaskan pembangkang tidak akan menawarkan sebarang terma kepada pentadbiran Anwar untuk memperoleh peruntukan sama rata, sebaliknya ia perlu datang daripada pihak kerajaan.

Menurutnya, dalam perbincangan dengan Fadillah baru-baru ini beliau memaklumkan keperluan kerajaan mengemukakan sebarang “tawaran mereka secara hitam putih.”

“Bincang saja begitu, tak boleh. Kalau nak (ada perjanjian) kena ada hitam putih. Jadi, siapa yang patut bagi tawaran? Ia mestilah datang daripada kerajaan.

“Takkan saya pembangkang nak tawar kepada kerajaan? Jadi, bila timbul masalah ini, saya kata kita tunggulah sehingga kerajaan buat sesuatu yang mereka rasakan sesuai. Dia (kerajaan) suruh kita (beri) tawaran, saya kata ‘tidak’. Kita kata biar kerajaan yang tawar kepada kita,” katanya.

Beliau berkata, pendekatan itu digunakan semasa kerajaan pimpinan Ismail Sabri Yaakob mengikat memorandum persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik dengan Pakatan Harapan pada September 2021.

Ia menetapkan beberapa syarat untuk membolehkan Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang menerima peruntukan pembangunan sama.

“Dulu pun masa kita buat perjanjian antara kerajaan dan pembangkang, saya yang mempengerusikan jawatankuasa itu.

“Saya mulakan rundingan dengan berkata ‘ini kaedahnya, kalau anda setuju anda letak lagi apa syarat-syarat yang anda rasa perlu dan (boleh) diterima kedua-dua pihak,’ kata Hamzah yang ketika itu menteri dalam negeri. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.