`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Saturday, May 25, 2024

Ada potensi buat hal

 

Mohsin Abdullah

Kata PAS ia bersedia tanding enam kerusi Parlimen dan satu kerusi Dewan Undangan Negeri jika pilihan raya kecil diadakan. Tujuh kerusi itu disandang wakil Bersatu yang menyokong perdana menteri.

Ternyata PAS yakin kerusi itu akan dikosongkan untuk pilihan raya diadakan, lantas kenyataan Mursyidul Am Hashim Jasin yang menyatakan kesediaan PAS bertanding. ‘Sedia bertanding’ pada hemat saya boleh juga ditafsirkan ‘mahu bertanding’ walaupun Hashim tidak menyebutnya secara terbuka.

Malah beliau berlapik kata ‘jika diberi mandat untuk bertanding’.

Hashim turut berkata “saya juga yakin dalam suasana muhibah dalam komponen parti-parti Perikatan Nasional, kita dapat selesaikan isu calon itu dengan sebaik-baiknya.” Begitu dilapor Harakahdaily. Bolehkah dikata beliau sudah pre-empt keputusan pimpinan tertinggi PN jika isu siapa bertanding dibincangkan? Kata kunci di sini ‘jika’.

Ada lagi kata Hashim. PAS menurut beliau yakin peluang PN menang lebih cerah dan “kita juga sudah bersedia dengan kekuatan jentera jika berlaku PRK tersebut.”

Yang tersurat dan yang tersirat. Hashim pasti calon PAS akan bertanding. Saya baca ‘yakin peluang PN menang lebih cerah’ membawa makna peluang menang lebih cerah jika PN diwakili calon PAS. Manakala ‘kekuatan jentera’ diakui kuat jika ia jentera PAS.

Bercakap mengenai jentera PAS yang kuat, menurut penganalisis dan pemerhati politik ia tidak kelihatan gah semasa kempen PRK Kuala Kubu Baharu tempoh hari. Umum tahu calon PN ketika itu daripada Bersatu dan umum tahu beliau tewas. Ini kita cerita sebentar lagi.

Bercakap mengenai suasana muhibah dalam kalangan komponen PN, tidak dinafikan ia terjalin. Namun tidak dinafikan juga ada kala suasana tidak berapa muhibah dalam kalangan komponen, khususnya sejak kekalahan di Kuala Kubu Baharu.

Timbul tuduhan konon PAS tidak bersungguh membantu di Kuala Kubu Baharu. Timbul juga ada yang menyalahkan imej keras PAS antara penyebab calon Bersatu kalah kerana pengundi bukan Islam takut. PAS dan Bersatu menafikan semua itu.

Timbul juga persoalan siapa yang menguntungkan PN dan siapa yang merugikan. Juga percaturan dibuat sama ada akan lebih berjaya jika PAS atau Bersatu bergerak sendirian.

Sekarang timbul pula kenyataan mursyidul am PAS yang disebut tadi. Tajuk artikel ini boleh juga dibaca ‘potensi mencetus perbalahan’ atau dibaca ‘ini boleh mendatangkan marah’, memetik kata-kata Abdul Wahab kepada Kassim Patalon, si tuan penasihat, kepada saudagar kaya, Sadiq Segaraga, dalam filem “Tiga Abdul”.

Yang marah tentulah orang Bersatu kerana kerusi disandang orang parti mereka. Jika dikosong atau terkosong naturally Bersatu mahu orang mereka yang bertanding. Ada logiknya. Semasa artikel ini ditulis belum ada reaksi daripada Bersatu namun jika mereka marah bolehlah difahami.

Tetapi kerusi Parlimen Kuala Kangsar, Jeli, Bukit Gantang, Tanjung Karang, Gua Musang sejak zaman Tok Kaduk adalah kubu kuat BN dan ia gelanggang PAS dengan gabungan itu. BN kerap berjaya mempertahankannya. Ada kala PAS memang seperti di Bukit Gantang ketika pilihan raya 2008 dan 2013 atas tiket Pakatan Rakyat.

Di Parlimen Labuan, PAS bertanding menentang BN dan beberapa parti Sabah. BN kerap menang. Di DUN Selat Klang juga membabitkan PAS dengan BN. Ini waktu Bersatu belum wujud, apa lagi PN.

Berdasarkan pengalaman PAS di semua kerusi berkenaan, bukanlah sesuatu memeranjatkan sekiranya ia mahu bertarung semula jika pilihan raya diadakan berikutan masalah wakil rakyat Bersatu yang menyokong Anwar Ibrahim. Ada logik jugalah.

Namun tidak mungkin Bersatu merelakan PAS mengambil alih bertanding di semua kawasan itu. Jika (saya ulangi ‘jika’) pimpinan Bersatu bermurah hati melepaskan satu, dua, atau tiga kerusi kepada PAS, mungkin akar umbi tidak akan senang hati. Bagi mereka tujuh kerusi itu milik Bersatu dan mesti kekal dengan Bersatu. Maka pimpinan Bersatu mesti membentangkan kes yang solid supaya PAS merestui calon mereka bertanding.

Restu PAS memang penting jika Bersatu mahu tumpang kekuatan jentera parti pimpinan Hadi Awang itu. Pasti perbincangan Bersatu-PAS sulit dan rumit. Jika tidak panas dan tegang.

Bagaimanapun sebelum itu persoalannya akan adakah pilihan raya diadakan di tujuh kawasan berkenaan? Pada 2 Mac lalu, Bersatu meminda perlembagaannya bertujuan menghalang wakil rakyat berpaling tadah pada masa hadapan.

Sehubungan itu Ketua Penerangan Bersatu Razali Idris dipetik berkata keahlian enam Ahli Parlimen dan seorang Adun yang berpaling tadah (baca: menyokong Anwar Ibrahim) tergugur secara automatik.

Lantas menurut Idris, mereka bertujuh perlu mengosongkan kerusi masing-masing dan tidak perlu tunggu surat pemecatan daripada parti. Selain itu bermacam arahan dikeluarkan, terbaharu dalam surat Setiausaha Agung Hamzah Zainudin. Saya tidak bercadang menghuraikan arahannya.

Untuk memendekkan cerita yang panjang, tujuh wakil rakyat terbabit tidak berganjak. Tidak ada kerusi yang dikosongkan malah ada dalam kalangan mereka yang mengulangi sokongan kepada perdana menteri. Mereka punya sebab tersendiri untuk lakukan apa yang mereka lakukan, namun tidak perlu saya ulangi di sini.

Boleh disimpulkan keadaan kekal status quo sehingga kini. Apa kesudahannya? Berlarutan ke mahkamah? Waullahualam. Oleh itu yang harus ditanya waktu ini ialah adakah mursyidul am PAS yang menyatakan kesediaan partinya bertanding sekali gus seakan menawarkan orang PAS sebagai calon suatu tindakan tergesa-gesa?

Lebih tepat dalam istilah Inggeris, jump the gun? - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.