`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Saturday, May 25, 2024

Rezeki tak salah alamat

 

hishamuddin-aun

Semuanya berlaku tanpa diduga. Daripada asalnya satu mesej yang ditularkan tanpa pengetahuan mereka, satu keluarga di Kuala Kedah beroleh sebuah kereta untuk meringankan susah-payah membawa dua anak ke hospital.

Mohd Azlan Ishak, 36, mendapat sebuah Proton Persona terpakai sumbangan seorang pengusaha kedai automotif Haji Din Auto di Alor Setar kelmarin bagi membolehkan dia membawa anak-anak dan keluarga berulang alik ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar bagi menjalani pemeriksaan.

Azlan, pembantu di pelantar ikan di Kuala Kedah yang dibayar gaji RM50 sehari, berkongsi yang dia tidak tahu tindakannya bersama isteri, Norhidayu Halim, yang membawa bayi lelaki mereka, Mohd Aariz Zafran, 11 bulan, menaiki motosikal untuk ke HSB tular di media sosial.

“Kami memang sentiasa berulang-alik ke hospital dengan menunggang motosikal sahaja membawa Aariz bagi mendapatkan rawatan dan pada hari kejadian, saya hanya ada RM12 dalam poket sebab banyak hari tidak bekerja.

“Ia merupakan satu-satunya kenderaan yang kami ada walaupun sedar anak kami yang kurang sihat tidak sepatutnya dibawa menaiki motosikal, namun kami terpaksa kerana tiada kereta,” katanya berkongsi kisah mereka.

Perkongsian video sepasang suami isteri yang membawa anak mereka dengan memakai alat bantuan pernafasan ketika menaiki motosikal ternyata menyentuh hati ramai, malah turut mendapat perhatian Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

FMT pada Selasa lalu turut melaporkan Setiausaha Politik Perdana Menteri Farhan Fauzi meminta orang ramai agar tampil memberi maklumat mengenai pasangan suami isteri itu agar mereka dapat dibantu.

“Hal ini telah mendapat perhatian perdana menteri dan insya-Allah pihak kami akan membantu keluarga ini dalam menambah baik kehidupan harian mereka,” katanya di Facebook disertai sekeping foto kanak-kanak itu yang menghidap penyakit paru-paru kronik apabila memakai tiub yang disambungkan dari beg galas ibunya.

Kisah keluarga berkenaan meruntun perasaan. Jika digunakan dengan niat baik, media sosial terserlah sebagai platform berkesan untuk mereka yang memerlukan bantuan mendapat perhatian.

Ditemu bual Bernama di kediaman mereka di Taman Kota Nelayan, Kuala Kedah pada Selasa selepas kisah mereka mendapat perhatian perdana menteri, Norhidayu, 35, berkongsi bahawa Aariz disahkan mengalami pelbagai masalah kesihatan serius antaranya penyakit paru-paru kronik, saiz limpa besar, dan GERD ketika berusia dua bulan.

“Sejak itu anak saya terpaksa memakai alat bantuan pernafasan CPAP (Continuous Positive Airway Pressure) sepanjang masa, cuma doktor benarkan dia ‘rehat’ sejam sebelah pagi dan sejam sebelah petang ketika mandi. Kalau tak pakai, dia akan jadi susah bernafas sampai biru muka dia,” katanya.

Seorang lagi anaknya dengan bekas suami pertama iaitu Iman Fayruzz Mikhail Abdul Rahim, 9, turut menghidap penyakit kronik termasuk jantung berlubang dan perlu mendapatkan rawatan susulan di HSB.

“Kalau hari janji temu Aariz dan abangnya di hospital jatuh pada hari sama, kami berempat naiklah motosikal ke hospital. Memang tak mampu nak bayar e-hailing pun,” katanya sambil menambah Aariz Zafran hanya boleh minum susu menggunakan tiub khas dan bekalannya kadangkala terputus kerana harganya agak mahal.

“Kami tidak mampu beli susu khas dan cuba berinya nestum, namun Aariz tidak boleh menjamahnya disebabkan keadaan kesihatannya. Kalau makan juga, dia akan mengalami gastrik,” tambahnya.

Norhidayu mempunyai tiga lagi anak iaitu Ahmad Hafizi Abdul Rahim (menghidap cerebral palsy), 17, Ahmad Amirul Amin Abdul Rahim, 14, dan Nur Rabbiatul Husna Abdul Rahim, 4.

Norhidayu berkongsi mereka sekeluarga amat memerlukan bantuan agar dapat meringankan beban keluarga yang hanya bergantung kepada pendapatan suaminya, apatah lagi pada masa sama dia menjaga ibu mentua yang lumpuh sejak dua tahun lalu.

“Sebab itulah kami tiada kereta dan terpaksa berulang-alik ke hospital dengan motosikal saja. Nak naik teksi kena bayar mahal, kami tak mampu. Nak beli makanan lagi, memang banyak belanja setiap kali nak ke hospital,” kata suri rumah itu.

Azlan pula tidak berhenti-henti mengucapkan syukur kerana ada warganet yang menularkan gambar mereka di media sosial sehingga mendapat pelbagai reaksi termasuk perdana menteri yang ingin menghulurkan bantuan.

“Saya terharu dan terkejut apabila dapat tahu cerita kami telah sampai ke pengetahuan perdana menteri. Namun kami juga sangat susah hati kerana bimbang dikecam warga siber. Kami risau takut orang kata macam-macam tapi saya berterima kasih juga pada netizen yang tularkan kami. Mereka dah bantu sayalah kiranya.

“Saya dapat tahu ada yang sudi nak bantu beri kereta tapi saya tak pasti betul atau tidak. Kami memang perlukan kenderaan, tambahan pula sekarang musim hujan, sukar nak bawa anak-anak ke hospital,” katanya.

Keraguan Azlan sudah terjawab kelmarin apabila dia dan keluarga memandu pulang kereta Proton Persona.

“Alhamdulillah selesai proses penyerahan kereta Persona kepada En Lan serta isteri. Harap sedikit-sebanyak dapat membantu mengurangkan beban yang dihadapi anaknya yang menghidap paru-paru kronik. Allahu, besar ujian Encik Lan tapi Encik Lan tetap kuat,” kongsi pemilik kedai automotif Haji Din Auto, Daniel Firdaus, di Facebook pada Khamis.

“Ini kali kedua dia datang tengok kereta di kedai Abg Aji. Dia cakap tak mampu lagi beli. Dia tengah kumpul duit beli Saga 1-2k pun takpe dah boleh pakai waktu hujan hantar anak ke hospital. So, Abang Aji cakap takpe, pilih je la kereta apa yang nak. Abg Lan dan isteri pilih sambil menangis. Persona SV Auto lime green jadi pilihan beliau. Semoga sedikit bantuan Abg Aji dapat mengurangkan sedikit kesusahan Abg Lan dan famili,” tambahnya.

Menerusi video yang dikongsikan, Azlan sebelum memandu pulang kereta itu sempat mengucapkan: “Terima kasih banyak-banyak, Bang (Aji), sudi bantu saya. Saya tak tau nak ucap macam mana. Murahkanlah rezeki sahabatku ini yang sudi membantu anak dan keluargaku, Ya Allah.”

Ruangan komen turut sarat dengan pengguna memuji tindakan pemilik kedai kenderaan terpakai tersebut yang murah hati membantu orang yang memerlukan.

“Masha-Allah. Terima kasih bantu saudara kita yang dalam kesusahan. Kami tak mampu untuk bantu tahap ni tapi mereka memerlukan bantuan seperti ini. Semoga Tuan diberikan rezeki melimpah-ruah atas sebab bantuan yang diberikan,” kata Sue Ariff.

“Seronoknya tengok depa dah ada kereta. Allahu. Tq sebab tolong depa dan anak-anak. Tengok ayaq muka laki dia Tuhan ja yang tau,” kata Ina Zambri pula manakala Nazrien Izwan menokok: “Syukur Alhamdulillah. Allah bagi kita rezeki lebih untuk kita bantu orang macam ni. Syukur bila kita kaya kita bagi manfaat dan bantu orang.”

Benarlah rezeki tidak pernah tersalah alamat dan semoga bantuan yang dihulurkan dapat meringankan susah-payah mereka sekeluarga. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.