`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Monday, May 27, 2024

Sumber dakwa ada permintaan BN tanding Sungai Bakap

 

ph-bn
PH dan BN sekali lagi akan bekerjasama untuk PRK selepas membentuk kerjasama pasca PRU15.

PETALING JAYA: Seorang pemimpin Umno Pulau Pinang mendakwa ada permintaan akar umbi mahu Pakatan Harapan (PH) memberi laluan kepada Barisan Nasional bertanding PRK Sungai Bakap.

Pemimpin yang enggan dinamakan, berkata gesaan itu dibuat sebagai menghargai sumbangan Umno dalam kerajaan perpaduan termasuk mengangkat Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri, dan terbaharu memenangkan calon PH, Pang Sock Tao pada PRK Kuala Kubu Baharu.

Menurutnya, langkah itu juga strategi menarik kembali pengundi Melayu di mana pada PRN Ogos tahun lalu mengalihkan sokongan sehingga memenangkan calon Perikatan Nasional (PN) dengan majoriti 1,563 undi.

“Daripada 16 cawangan bawah DUN Sungai Bakap, hampir semua setuju Umno bertanding pada PRK kali ini mewakili kerajaan perpaduan.

“Pada PRN sebelum ini ada penyokong Umno susah nak sokong calon PH, tapi kali ini kalau letak calon Melayu dari Umno mungkin mereka kembali sokong,” katanya kepada FMT.

Pada PRN lalu, calon PN, Nor Zambri Latiff yang juga ketua PAS Nibong Tebal menewaskan calon PH, Nurhidayah Che Rose.

Zambri meninggal dunia Jumaat lalu kerana mengalami keradangan perut dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijadual bermesyuarat 6 Jun depan, bagi penentuan tarikh penamaan calon serta pengundian.

Hari ini, Ketua DAP Pulau Pinang Chow Kon Yeow dipetik berkata, DAP menyerahkan kepada PKR dalam soal calon kerana parti terbabit bertanding di kerusi itu pada PRN lalu.

Sebagai rekod, kerusi itu pernah dikuasai Umno pada PRU 2004 yang empat tahun kemudiannya dirampas Pakatan Rakyat sebelum digantikan PH membabitkan gabungan PKR-DAP-Amanah. Namun, pada PRN lalu PN pula menguasai kerusi itu yang berada di bawah Parlimen Nibong Tebal.

Parlimen Nibong Tebal turut meliputi DUN Jawi dan Sungai Acheh, masing-masing dikuasai PH dan BN.

Berdasarkan rekod SPR untuk PRN 2023, DUN Sungai Bakap mempunyai 38,409 pemilih dengan 59.36% (Melayu), 22.54% (Cina), 17.39% (India), dan 0.71% lain-lain. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.