`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Thursday, July 25, 2024

Mengenang Salahuddin Ayub

 

Mohsin Abdullah

Seharusnya artikel ini saya tulis awal untuk disiarkan dua hari lalu yakni 23 Julai kerana pada tarikh itu setahun lalu Salahuddin Ayub pergi meninggalkan kita. Saya telan rasa malu untuk mengaku – jujur saya terlupa akan tarikh itu. Namun disajikan juga penulisan ini hari ini walaupun lewat siarannya. Mohon maaf kepada semua.

Yang saya tulis ini bukan huraian kebaikan dan jasa Allahyarham Salahuddin. Huraian sedemikian ramai sudah lakukan. Kebaikannya kita semua maklum. Ini mengenai sesuatu yang ‘close to his heart’. Menu Rahmah yang sememangnya ‘brainchild’ Allahyarham semasa memegang jawatan menteri perdagangan dalam negeri dan kos sara hidup. Salahuddin benar-benar mahu menolong rakyat khususnya golongan pendapatan rendah. Maka lahirlah Menu Rahmah – hidangan berkhasiat mampu milik yang berharga hanya RM5. Begitu diuar-uarkan dahulu. Sesungguhnya menu itu mampu dibeli majoriti rakyat.

Lalu saya bertanya ada lagi ke Menu Rahmah? Ada kata kawan-kawan. Cuma tidak segah dahulu kata mereka. Tentu kita masih ingat waktu diperkenalkan Menu Rahmah mendapat sambutan hangat dan diperkatakan merata tempat.

Walaupun masih ada, tidak boleh dinafikan sekarang ada peniaga yang sudah angkat ‘bendera putih’. Lalu mengetepikan Menu Rahmah.

Setahun berlalu Salahuddin pergi. Tapi seperti Rahmah dilupakan. Tidak sensasi yang tinggal hanya legasi. Begitulah.
 – bunyi hantaran di Facebook oleh Azlan Zainal pengarah operasi Ilham Centre.

Posting itu mendapat reaksi ramai ‘friends’ Facebook beliau. Di ruangan komen berkata seorang yang memanggil dirinya seorang peniaga: 

Kenaikan kos yang mendadak. Jika sebelum ini ada sedikit untung atau tiada untung. Kini jatuh rugi jika terus dikekalkan
.

Beberapa anggota satu kumpulan sembang WhatsApp yang saya turut menyertai seolah mendabik dada ala ‘I told you so’ dengan berkata 

dulu lagi aku kata kos akan jadi masalah untuk peniaga, tidak boleh sustain
. Benar ramai yang bercakap mengenai kos operasi dan soal ‘sustainability’ waktu Menu Rahmah mula diperkenalkan.

Berkata pula seorang lagi FB friends Azlan: 

Konsep Rahmah jadi tagline dan war cry KPDN sahaja bukannya polisi kerajaan secara menyeluruh rentas kementerian. Yang kementerian lain kena adopt, adapt dan implement
.

Katanya lagi: 

Sebab itu ia mati tidak berkembang dan tidak dikembangkan unfortunately walaupun bagus sangat inisiatif Rahmah yang diperkenalkan Almarhum (Salahuddin) dulu
.

Respons Azlan: 

Rahmah (kementerian) lebih tular dari Madani (kerajaan). Sebagai contoh Jualan Rahmah lebih diingati dari Agro Madani
.

Ada yang menuding jari kepada pengganti Salahuddin sambil menegaskan ‘menteri baru tidak memahami dan menjiwainya’. Ini saya kira agak tidak adil. Armizan Mohd Ali si menteri baharu dipetik Malaysiakini berkata beliau 

akan meneruskan aspirasi yang selama ini menjadi asas kementerian dalam memastikan kecemerlangan langkah mitigasi untuk menjaga keterjaminan makanan
.

Baguslah begitu. Jadi apa jadi Menu Rahmah sekarang? Menurut kenyataan kementerian yang disiar Malaysiakini sekurang kurangnya 2,270 pengusaha restoran termasuk pemilik gerai, pengusaha makanan segera dan trak makanan masih menghidangkan menu mampu milik di seluruh negara.

Bagaimanapun, kementerian mengaku vendor berdepan kesukaran berikutan peningakatan operasi perniagaan dan kos pengeluaran ‘walaupun vendor berniat murni’.

Oleh itu kata kementerian ia pada 2 Nov tahun lalu telah mengambil langkah intervensi dengan melancarkan inisiatif Kad Diskaun Khas Menu Rahmah khusus kepada pengusaha menu berkenaan.

Melalui inisiatif ini pengusaha Menu Rahmah dapat tawaran diskaun harga khas bagi barangan asas perniagaan di pasar raya terpilih menurut kementerian sampil memberitahu lebih 5,000 jenis barangan atau ‘stock unit’ telah ditawarkan dengan diskaun khas secara purata sebanyak 40%.

Bagus. Tetapi adakah itu membantu peniaga? Memadai? Atau setidak-tidaknya melegakan peniaga? Tidak perlulah ditegaskan penyedia Menu Rahmah ialah peniaga. Mereka bukan pegawai kebajikan. Mereka sendiri perlu cari wang untuk hidup. Tidak cukup dengan ucapan terima kasih.

Apa jua inisiatif, hebat macam mana sekali pun perlu dipantau keberkesanannya. ‘It’s not enough for a plan to look on paper’. Di luar kertas juga ia mesti betul-betul ‘good’. Jika ada kelemahan dan kepincangan perbetulkan. Ertinya ia mesti boleh dilaksanakan dengan efisien. Barulah matlamat tercapai.

Dalam konteks Menu Rahmah usaha ikhlas mesti dilaksanakan oleh menteri, pegawai kementerian juga pihak yang menyediakan menu bagi memastikan harapan rakyat tidak tinggal harapan. Perjuangan Allahyarham Salahuddin jangan dipersiakan. Perjuangan itu wajib diteruskan.

Memperingati setahun pulangnya Salahuddin ke Rahmatullah, Presiden Amanah Mohamad Sabu menzahirkan penghormatan kepada bekas timbalannya. Beliau memberikan Salahuddin gelaran ‘Bapa Menu Rahmah’.

Kata Mat Sabu: 

Jasa dan bakti yang telah dicurahkan cukup bermakna buat rakyat Malaysia
. Amin.

Saya klik semula ruangan komen Facebook Azlan yang disebut tadi. Dalam banyak komen yang tertera satu seolah ‘menjerit’ ke arah saya. Berbunyi: 

Umrah Rahmah masih ada
.

Semoga saudara Salahuddin damai di sana. Al-Fatihah. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.