`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Thursday, August 15, 2024

Cukup-cukuplah, pulangkan Azizulhasni

 

hishamuddin-aun

Detik-detik pembatalan penyertaannya dalam saringan pusingan pertama acara keirin Sukan Olimpik Paris Sabtu lalu akan terus berulang tayang di fikiran Azizulhasni Awang mungkin sejuta kali lagi.

Kegagalan memenuhi harapan peribadi amat mengecewakannya tapi harus lebih berbekas di hatinya ialah dia telah menghampakan negara yang menyandarkan harapan emas sulung Olimpik kepadanya.

Sambil kekecewaan itu akan mengambil masa yang panjang untuk luput dari ingatan, pastinya Azizulhasni atau Jijoe akan terkenang-kenang janji kepada keluarganya bahawa temasya Paris adalah penyertaan terakhirnya untuk dia kembali sebagai seorang anak kepada ibunya, seorang suami kepada isterinya, dan seorang bapa kepada empat cahaya mata.

Pingat emas di Paris tentunya satu pengakhiran yang sempurna kerana itu tidak akan membuatnya berfikir dua kali mengenai masa depannya dalam lumba basikal. Tapi takdir menentukan sebaliknya. Malang yang dialaminya di ibu kota Perancis itu kini meletakkan dirinya dalam dilema sama ada untuk meneruskannya selama empat tahun lagi atau berundur saja.

Andai diimbau kembali, episod malang di Paris itu seakan-akan mengeyakan apa yang dikongsikan Jijoe sendiri tiga bulan terdahulu. Dalam satu temu bual yang disiarkan New Straits Times pada 30 Apr, dia yang membayangkan keirin suatu acara sukar dijangka dan boleh menggagalkan mana-mana pelumba termasuk yang memiliki persiapan terbaik, meramalkan rakan sepasukan Shah Firdaus Sahrom berupaya membuat kejutan di Paris.

“Apabila bersaing di peringkat tertinggi di Olimpik, anda perlu mempertaruhkan segala-galanya dan mengharap mendapat perlumbaan sempurna. Untuk menang semua elemen hendaklah menepati 100%. Persiapan lengkap saja tidak cukup jika tuah tidak memihak kepada anda.

Dia (Firdaus) memiliki tubuh lebih besar dan lebih kuat daripada saya. Dia pelumba berkelas dunia dan apabila kami menyertai perlumbaan, pelumba lain takutkannya kerana dia memiliki kekuatannya sendiri seperti keupayaan melakukan pecutan yang panjang. Shah ada kekuatannya sendiri, begitu juga saya hingga ada kalanya saya rasa tidak adil untuk orang membandingkan dia dengan saya,
 katanya ketika itu.

Di mana Azizul gagal mara selepas pembatalannya, Firdaus pula melepasi satu demi satu halangan — dari pusingan pertama, repechage, suku akhir, separuh akhir hingga ke akhir. Namun, malang baginya apabila dilanggar pelumba Jepun, Shinji Nakano, kira-kira 25 meter dari garis penamat untuk dia kesudahannya secara rasmi diletakkan di tempat keenam.

Dengan berakhirnya temasya Paris, jurulatih John Beasly, Firdaus dan pasukan lumba basikal negara menyampaikan harapan agar Jijoe dapat menimbangkan untuk terus berlumba hingga Sukan Olimpik Los Angeles 2028 tapi seperti dikongsinya di laman X selepas pembatalannya, berat mata memandang berat lagi bahu memikul.

Sambil menyatakan jawatankuasa program Road To Gold (RTG) akan menyokong apa saja keputusan pelumba berusia 36 tahun itu, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh pula berkata beliau menasihatkan Azizul supaya berbincang dengan keluarga.

Selagi dia mahu terus berjuang dan selagi tubuhnya mampu terus berlumba, kami akan memberinya sokongan, jadi berikan masa untuk dia memikirkannya,
 kata Yeoh.

Apa reaksi Azizul?

Saya perlu mententeramkan fikiran dahulu dan duduk berbincang dengan keluarga. Apa yang berlaku di Paris bukan sesuatu yang biasa dalam kerjaya saya. Mereka tahu kalau pun saya berhenti berlumba saya akan terus aktif dalam sukan. Apa yang penting jika mereka perlukan bantuan, saya akan membantu,
 katanya setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur kelmarin.

Tiada siapa yang lebih tahu kemampuan tubuhnya untuk meneruskan latihan keras melainkan Azizul sendiri dan tiada siapa boleh memaksa apa-apa ke atasnya. Dalam rangka persiapannya ke Paris, pelumba itu berkongsi bagaimana dia seakan-akan merangkak menaiki tangga selepas menjalani latihan kerana kehabisan tenaga dan otot-ototnya yang sakit semua.

Los Angeles, jika menjadi kenyataan untuk dia tampil empat tahun lagi, akan menyaksikan Azizul berlumba pada usia 40 tahun. Paris adalah penampilan kelimanya dalam temasya Olimpik sejak Beijing 2008 — satu catatan rekod paling banyak penyertaan buat seorang atlet lelaki Malaysia. Enam Olimpik berturut-turut seperti menyalahi tabii.

Dia juga harus mengamati perbandingan terdekat. Legenda Great Britain, Chris Hoy, memenangi emas keirin terakhirnya — daripada sejumlah enam emas sejak temasya Sydney 2000 — di Sukan Olimpik London 2012 pada usia 36 tahun. Rakan Team GB, Jason Kenny, menang keirin buat kali terakhir — daripada tujuh emas dan dua perak sejak 2012 — di Sukan Olimpik Tokyo 2020 pada usia 33 tahun.

Daripada enam pelumba yang mara ke akhir acara keirin Ahad lalu, pemenang emas Harrie Lavreysen dari Belanda baru berusia 27 tahun, Matthew Richardson (Aus) 25, Matthew Glaetzer (Aus) 31, Jack Carlin (GBR) 27, dan Shinji Nakano (Jpn) 25.

Pencabar lain di peringkat suku akhir termasuk Sam Dakin (NZL) 27, Hamish Turnbull (GBR) 25, Jeffrey Hoogland (Hol) 31, Luca Spiegel (Ger) 20, Nicolas Paul (TTO) 25, dan Cristian David Ortega Fontalvo (Col) 23.

Pelumba-pelumba ini boleh dijangka akan tampil lagi untuk bersaing hebat di Los Angeles nanti di samping cabaran negara boleh disandarkan kepada Firdaus, 28, ketika dia dijangka berada di puncak prestasi berbekalkan pengalaman di Paris yang harus lebih mematangkannya untuk meneruskan legasi The Pocket Rocketman.

Mungkin hujah ini akan dipertikaikan ramai tapi rasanya Azizul sudah mencapai puncak prestasinya ketika meraih pingat perak di temasya Tokyo 2020 apabila Kenny membuat pemecahan awal dari pusingan ketiga perlumbaan sejurus motosikal ‘derny’ meninggalkan trek sambil barisan pencabar tersekat oleh Glaetzer yang lewat menghambat.

Seperti dinyatakan Jijoe kelmarin, dia perlu berdamai dengan takdir tidak dapat membutirkan pingat emas pertama buat Malaysia dan menyerahkan baton kepada Firdaus dan rakan sepasukan yang lain meneruskan cabaran Malaysia pada edisi akan datang.

Saya hadir ke Sukan Olimpik dengan semangat tinggi, meletakkan sasaran untuk pulang dengan pingat emas, bukan perak ataupun gangsa. Namun, apa yang telah berlaku gagal saya ungkap dengan kata-kata. Ini bukanlah satu pengakhiran yang saya minta tetapi sebagai seorang beragama Islam saya perlu berdamai dengan takdir,
 katanya.

Tambahnya dalam catatan di media sosial: “Saya teringat janji-janji kepada ibu, isteri dan anak-anak yang ini merupakan penampilan Sukan Olimpik terakhir ketika mana mereka semua meminta untuk saya bersara selepas pulih dari pembedahan jantung dahulu.

Saya terfikir adakah ini semua berlaku kerana melanggar permintaan mereka dahulu. Dari awal karier sehingga sekarang mereka inilah sumber kekuatan untuk saya meneruskan perjuangan sehingga mampu menjadi antara terbaik di puncak dunia.

Harus turut terngiang-ngiang di telinganya satu temu bual isterinya, Athiah Ilyana Abd Samat, dengan Astro Arena pada 7 Ogos lalu yang menitipkan ucapan: “Saya cukup bangga menjadi tulang belakang kepada awak sejak Beijing 2008 hingga sekarang, Paris 2024. Kita telah banyak berkorban dan ini pula adalah penyertaan terakhir Sukan Olimpik awak.

Saya harap segala usaha dan pengorbanan awak akan dibalas dengan medal emas. Awak mempunyai sokongan dan kasih sayang saya. Saya tahu awak mampu melakukannya. Bawalah pulang emas wahai sang juaraku,
 katanya dalam satu rakaman kepada Stadium Astro.

Selama 17 tahun mengabdikan diri kepada sukan berbasikal — selama itu juga keluarga meminjamkannya sebagai milik negara melebihi yang lain — tiba masanya Azizulhasni mengotakan janji kembali ke pangkuan keluarga dan meneruskan pengajian sarjana muda perdagangan (pengkhususan dalam pengurusan sukan) di Universiti Deakin, Melbourne, Australia.

Selepas bersabung nyawa menjalani pembedahan jantung pada 22 April 2022 demi untuk terus berlumba, terus berkayuh sekalipun betisnya tertusuk kayu untuk memastikan gangsa dalam Siri Piala Dunia Klasik UCI di Manchester, England pada 2011, pekikan 

I’m the keirin king, man!
 selepas menjuarai Kejohanan Berbasikal Trek Dunia di Hong Kong pada 13 April 2017, selain pingat perak dan gangsa Olimpik, antaranya, Azizulhasni tidak lagi terhutang apa-apa.

Ia akan memberi bayangan sukan negara seperti bersikap pentingkan diri jika memilih untuk terus menagih kudratnya hingga Los Angeles 2028 ketika dia punya tanggungjawab dan keutamaan lain yang lebih mendesak pada waktu ini. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.