`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Tuesday, August 27, 2024

Lesu Nak Sambut Hari Kebangsaan

 

Free Malaysia Today

Saya tidaklah terkejut tetapi terdiam juga sekejap apabila kawan saya menyuruh saya lihat sekeliling dan kemudian dia bertanya kenapa tidak ada keghairahan semulajadi datang dari dalam hati ramai rakyat Malaysia untuk memasang bendera Malaysia pada bulan kemerdekaan ini. Saya tinjau sekeliling kampung tempat tinggal saya, melainkan ada sebuah rumah sebab bendera subsidi, tiada rumah lain memasangnya. Saya sendiri tidak beli bendera. Bendera lama pun tak tahu ke mana perginya.

Mengapa kita tak bersungguh-sungguh meraikan Hari Kebangsaan? Walupun kita akui kita sayang negara dan kita berjiwa patriotik tetapi perasaan untuk memasang Jalur Gemilang tidak datang berserta dengan rasa cinta itu. Seperti cinta tetapi tak ada rasa rindu. Ewah!

Kita tawar hati. Atau kita terlalu sibuk dengan urusan kerja sehari-hari? Tak mungkin. Kita boleh sahaja pergi menonton wayang, menonton konsert dan bolasepak. Tiada masalah. Ini, nak beli bendera dan kibar sahaja. Takkan tak ada rasa teruja untuk melakukannya? Tak ada rasa sentimental langsungkah?

Aku rasa generasi yang sentimental dengan kemerdekaan ini sudah hampir pupus. Dulu pak cik- mak cik dan datuk nenek yang pernah merasa makan ubi kayu zaman jepun masih ada. Zaman british di pejabat kerajaan mereka rasa. Sebab itu apabila merdeka mereka rasa sangat merdeka kerana mereka nampak jelas muka-muka penjajah ini berambus.

Teori kawan saya itu masuk akal. Hari ini, abah saya yang masih budak-budak ketika Perang Dunia Kedua sudah pun berada di hujung 90 usianya. Rakan, jiran, saudara seangkatan abah sudah meninggal dunia. Generasi Tun Mahathir lagilah! Yang sudah tua sekarang ialah yang lahir selepas Jepun menyerah kalah. Purata rakyat Malaysia ialah yang lahir pasca merdeka, yang celik mata sudah melihat bangunan tinggi lagi mewah.

Ingat lagi ketika gelombang reformasi datang pada tahun 1998 yang mana saya juga turut berkobar melibatkan diri untuk menjatuhkan kerajaan, abah tetap dengan kerajaan yang memerintah ketika itu.

Umno-lah yang merdekakan kita,
 kata abah. 
Umno buat jalan raya, buat sekolah dan hospital. Kamu tak rasa zaman jepun, zaman komunis.
 katanya.

Kesengsaraan sebelum merdeka buat mereka berasa kerajaan yang memerintah itulah terbaik. Engkau tak rasa, ulangnya. Justeru, apabila kita cuba menerangkan kepada abah bahawa kita belum merdeka sepenuhnya, hidup kita masih seperti dijajah; mereka menolak. Mereka terlalu menghargai erti bait-bait lagu ‘tanggal 31, bulan Ogos 57, merdeka! Merdeka! Tetaplah merdeka!’. Mereka nampak orang putih dan jepun jadi tuan. Mereka nampak Singapura terpisah dari Tanah Melayu.

Reformasi 98 adalah gelombang kebangkitan rakyat yang besar juga. Ada yang masuk lokap dan penjara, ada yang naik turun mahkamah. Ada yang dibelasah, tidak sedikit yang hilang kerja. Pendukung gerakan reformasi juga menyifatkan perjuangan mereka adalah sebuah agenda perjuangan menuntut kemerdekaan. Memerdekakan tanah air daripada pemerintah korup.

Sebab itu apabila kerajaan BN tumbang pada 2018, pendukung reformasi menyambut hari kebangsaan beria-ia. Mereka mula merasakan bahawa merdeka sudah berjaya digenggam hasil perjuangan gigih mereka.
 kata kawan saya.

Tetapi hari ini semangat menyambut merdeka kembali luntur meskipun ikon reformasi sudah menjadi perdana menteri. Pejuang-pejuang angkatan reformasi pun sudah jadi YB kalaupun tak jadi menteri. Rakyat terbanyak yang menyokong reformasi kini bergelar penyokong kerajaan. Keseronokan menjadi penyokong kerajaan tidak menjadi faktor penambah rasa ghairah menyambut merdeka. Maklumlah, kerajaan yang dibentuk inipun hasil gabungan dengan parti yang ditentang pada era reformasi dulu. Walhasil balik asal.

Generasi pula sudah berganti. Anak remaja zaman reformasi sudah masuk usia 40an. Anak-anak mereka kini pula meremaja. Anak milenium. Apa kesusahan mereka pada hari ini untuk dikaitkan dengan semangat merdeka? Jika tiada kesusahan, apa pula kesenangan yang generasi ini ada untuk didakap sebagai nikmat sebuah negara yang merdeka? Sampaikah penghayatan itu bilamana keseronokan yang diperolehi hari ini adalah hasil daripada kemerdekaan yang berjaya diraih? Tidak. Kesenangan selalunya membuat kita lupa dan lemah.

Maksud kawan saya tadi ialah rasa ghairah meraikan hari kebangsaan hanya untuk generasi yang merasai perjuangan membebaskan penjajah. Rasa merdeka era reformasi pula sekadar dihargai oleh generasi itu. Celah-celah di antaranya adalah generasi yang menikmati hasil. Tiada rasa untuk disentimentalkan. Dan kita di sini tidak habis-habis berpolitik sehingga kemerdekaan juga dipolitikkan. Untuk parti pemerintah dan parti pembangkang bersama sejenak demi semangat kebangsaan itu langsung tidak ada, maka sambutan kemerdekaan juga dipupuk mengikut mata politik. Ia dipisah-pisahkan. Pembangkang adalah satu entiti lain yang tidak mengiktiraf pemerintah. Segala usaha kerajaan mesti dipatahkan. Begitulah sebaliknya. Itulah definisi ‘merdeka’ oleh pemimpin kita pada hari ini. Rakyat yang cenderung politik pun terikut-ikut, yang tidak berpolitik pula mengambil sikap ‘lantak engkaulah’.

Seperti kata novelis Amerika, G. Michael Hopf dalam novel Those Who Remain (2015) – Hard times create strong men. Strong men create good times. Good times create weak men. And, weak men create hard times.

Peranan kementerian berkaitan media dan komunikasi harus lebih cergas melakukan ‘reformasi minda’ dengan mengisi bahan yang boleh menyuntik rasa sayang negara kepada seluruh rakyat. Tanpa kepintaran menteri di portfolio ini, indoktrinasi akan gagal. Lagu-lagu, drama dan filem mesti digalakkan agar lebih berjati-diri. Selamatkan Malaysia daripada menjadi masyarakat putus cinta. Bina jiwa merdeka. Hasilkan karya dan produk yang membuat rakyat berasa bangga dengan negara dan tidak malu berdepan dengan dunia antarabangsa. Lahirkan generasi yang patriotik sehingga tidak berasa kerdil ketika mewakili negara dalam sukan antarabangsa. Hari ini, jiwa kita kerdil dan tak yakin untuk bersaing. Ini perlu direformasikan.

Saya hanya duduk diam mendengar hujah kawan saya itu. Tiada bantahan dari pihak saya. Sambil itu saya membuat susunan lagu yang saya masukkan dalam senarai putar untuk hiburan jiwa saya pada hari kebangsaan. Lagu-lagu rakyat yang menceritakan cinta kepada tanah ini. Lagu-lagu yang bukan lagu putus cinta tetapi bukan juga lagu patriotik ala membodek. Ia adalah senarai lagu harus dipandang oleh menteri komunikasi sebagai lagu yang patut dimainkan hari-hari agar jiwa rakyat menjadi kuat. Sebuah lagu bertajuk Taman Rohani ciptaan M.Nasir, senikata oleh Bob Lokman yang dinyanyikan oleh Saleem dan Arab.

Saatnya tiba untuk melangkah
Menjunjung kasih tanah ini
Terus merdeka selagi mengerti
Arah sendiri dalam arus
Untuk kita mengenal pasti
Jual dan beli muslihat seni
Tanah ini taman rohani

 - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.