`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Monday, August 26, 2024

Libatkan guru dalam panel penggubal kurikulum, NUTP gesa kementerian

 

Free Malaysia Today
Setiausaha Agung NUTP Fouzi Singon berkata jawatankuasa penggubal kurikulum harus merangkumi mereka yang mengajar di bilik darjah.

PETALING JAYA
Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) menggesa Kementerian Pendidikan melibatkan guru ke dalam jawatankuasa yang ditugaskan menggubal kurikulum kebangsaan, dengan sukatan pelajaran semasa melengkapkan kitarannya pada 2027.

Setiausaha Agung NUTP, Fouzi Singon, berkata adalah menjadi tanggungjawab kementerian untuk menentukan keperluan kurikulum Malaysia dan rangka kerja yang diperlukan oleh pelajar di seluruh negara.

“Jawatankuasa penggubal kurikulum harus melibatkan semua pihak yang berkepentingan terutama yang mengajar di bilik darjah. Jawatankuasa itu juga perlu bebas dan terdiri daripada mereka yang mempunyai banyak pengalaman dalam pendidikan.

Cadangan dan aduan akar umbi serta pihak berkepentingan perlu diambil kira (kementerian),
 katanya kepada FMT.

Fouzi memberi amaran kepada kementerian supaya tidak melibatkan diri dan mendapatkan maklum balas pihak berkepentingan 

hanya demi kepentingannya
 tanpa memasukkan pandangan mereka sambil menyifatkannya sebagai ‘satu sandiwara untuk membutakan mata rakyat’.

Beliau menambah bahawa rakyat Malaysia di seluruh negara sedang memerhati dan tidak sabar menunggu penambahbaikan terbaik untuk kurikulum kebangsaan.

Sama ada kurikulum semasa sesuai atau tidak, perlu berdasarkan sama ada ia boleh menyediakan pelajar untuk keperluan akademik dan keperluan pekerjaan serta industri masa depan,
 katanya.

Minggu lalu, kempen bernama #UbahSegera telah dilancarkan oleh aktivis pendidikan, yang menggalakkan netizen membanjiri laman Facebook Kementerian Pendidikan dengan tanda pagar itu.

Kempen itu timbul daripada kekecewaan terhadap kurikulum kebangsaan semasa, yang dikatakan terlalu sukar untuk pelajar dan sistem penilaian bilik darjah yang dikatakan mengelirukan.

Ia mendapat tarikan selepas video tular menunjukkan seorang gadis muda menangis kerana tidak boleh membaca walaupun bersekolah, menonjolkan rasa tidak puas hati terhadap kementerian yang dianggap tidak bertindak dalam isu pendidikan yang telah lama wujud.

Fouzi menggesa kementerian memastikan kurikulum baharu itu akan merangsang minat pelajar dalam mata pelajaran yang diajar, bukannya membunuhnya.

“Keseronokan pelajar untuk belajar perlu berkembang dan berterusan agar ia kekal sebagai sesuatu yang menarik dan menyeronokkan mereka.

Mereka tidak seharusnya dibebani dengan mata pelajaran yang terlalu sukar yang akan membunuh minat mereka untuk terus belajar,
 katanya.

Menurut Fouzi, inilah yang berlaku dengan mata pelajaran Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu, dan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), dengan ramai pelajar mendapati mata pelajaran itu sukar dan membosankan, menyebabkan prestasi mereka rendah dalam ujian dan peperiksaan.

Beliau berkata kurikulum baharu itu mesti mengikuti perkembangan teknologi, di samping memupuk penghayatan nilai dan budaya Malaysia dalam kalangan kanak-kanak. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.