`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Monday, August 12, 2024

Akhir sebuah impian

 

hishamuddin-aun

Rakyat Malaysia masuk tidur menjelang tengah malam tadi dengan penuh hampa. Ramai dipercayai tidak lena kerana masih dalam keadaan tertanya-tanya terhadap keadaan Azizulhasni Awang dibatalkan penyertaan dalam saringan 1 pusingan pertama perlumbaan acara keirin Sukan Olimpik Paris. Ia menoktahkan impian emas sulung Olimpik buat Malaysia pada ketika keghairahan ramai menantikannya semakin memuncak.

Lebih daripada kehampaan tidak mendapatnya, rasa ralat terhadap bagaimana semuanya berakhir meninggalkan kepedihan yang tiada penawarnya dalam masa singkat.

Sama seperti Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh di tempat duduk penonton yang ditunjukkan kamera siaran langsung televisyen termangu-mangu, penyokong yang mengikuti siaran langsung di rumah turut tercari-cari pencerahan lanjut menerusi pelbagai portal berita dalam talian.

‘Penyertaan Azizulhasni dibatalkan’, demikian tajuk berita FMT, ‘Disaster for Azizulhasni after keirin disqualification’, kata tajuk NST Online pula sambil laporan agensi berita nasional Bernama memaparkan tajuk ‘Azizulhasni disqualified from keirin race’. Tiada keraguan, tiada juga peluang kedua buat The Pocket Rocketman. Rasa kasihan dan simpati terhadapnya mencurah-curah.

Kekecewaan terbesar ditanggung sendiri oleh Azizulhasni yang telah melakukan pelbagai pengorbanan termasuk kembali berlumba selepas menjalani pembedahan jantung dua tahun lalu. Tapi pelumba berusia 36 tahun ini boleh diyakini sebagaimana peminat bersamanya ketika mencipta kejayaan, begitulah juga mereka turut berkongsi kepedihan ditanggungnya.

Ia bukan rezekinya untuk mengucapkan selamat tinggal kepada saingan Olimpik tanpa lehernya dikalungkan pingat emas tetapi Azizulhasni akan sentiasa dirai dan diangkat sebagai wira atas sumbangan gangsa dan peraknya dalam dua temasya terdahulu.

Laman rasmi Olimpik menjelang tengah malam tadi menyenaraikan Azizulhasni sebagai DSQ (dibatalkan) dalam keputusan yang meletakkan Matthew Glaetzer (Australia) di tempat pertama dan Jeffrey Hoogland (Belanda) di tempat kedua untuk layak ke suku akhir hari ini manakala tiga lagi pelumba – Kaiya Ota (Jepun), Rayan Helal (Perancis) dan Jair Tjon En Fa (Surinam) mara ke pusingan repechage.

Di sebalik harus difahami sejauh mana kecewanya rakyat Malaysia yang menaruh harapan tinggi terhadap emas pertama Olimpik – selepas penantian 68 tahun sejak penyertaan sulung negara pada 1956 – jauh lebih kecewa ialah Azizulhasni yang tidak menjangkakan penampilan kelima dan terakhirnya
dalam temasya Olimpik akan berakhir begini.

Sejurus penyertaannya dibatalkan, Azizulhasni dilihat duduk tertunduk tanpa berkata-kata sambil rakan sepasukan Shah Firdaus Sahrom – layak ke pusingan repechage selepas menduduki tempat ketiga saringan 5 yang bagaimanapun diturunkan kedudukan –memegang kepalanya sendiri seakan-akan tidak dapat mempercayai apa yang baru berlaku.

Harus ramai yang tertanya-tanya mengapa Azizulhasni yang berpengalaman luas berlumba di peringkat antarabangsa selama 17 tahun sejak 2007 boleh melakukan kesalahan sedemikian. Atau apakah dalam keghairahan untuk memenangi saringannya dengan bermula di posisi keenam atau paling belakang, dia terlepas pandang untuk mula memintas sebelum motosikal ‘pacer’ benar-benar keluar dari trek selepas tiga pusingan.

Apa yang jelas peraturan perlumbaan Kesatuan Lumba Basikal Antarabangsa (UCI) tidak mengenali sesiapa dan tidak membeza-bezakan antara pelumba berpengalaman dan baharu, dengan individu yang melakukan kesalahan akan dikenakan hukuman.

Wartawan Darence Chan berkongsi di laman X kenyataan rasmi didakwa diterimanya berkaitan Azizulhasni dan Shah Firdaus: 

Azizulhasni dibatalkan penyertaan kerana menyalahi perlakuan Ketika berada di belakang ‘derny’. Shah Firdaus diturunkan kedudukan kerana berkayuh di jalur biru. Dikenakan amaran kerana menuruni ke arah laluan paling dalam di trek dan memaksa seorang lagi pelumba terkeluar dari trek
.

Pada jam 12.37 pagi barulah wartawan Astro Arena Zulhelmi Zainal Azam berlintas langsung dari velodrom dengan membawakan berita: 

The Pocket Rocketman disahkan tidak akan beraksi di repechage keirin, sebaliknya hanya Shah Firdaus akan beraksi dalam penentuan ke suku akhir. Saya boleh sahkan Datuk Azizulhasni telah melintasi ‘pacer’ dengan lebih awal sebelum ia sepatutnya dilakukan. Dalam peraturan pertandingan untuk acara keirin, mana-mana pelumba mendapat DSQ memang sah tidak boleh ke peringkat seterusnya atau ke repechage. Apa yang dikongsikan (jurulatih) John Beasley sememangnya ini khabar yang kita tidak ingin dengar
.

Dalam temu bualnya, Beasley menjelaskan: “Buku peraturan menyatakan pelumba tidak boleh memintas ‘pacer’ sebelum dia keluar dari trek. Jadi, (dalam kes Azizulhasni), ia tidak memberi saya sebarang alasan untuk membuat sebarang pertikaian atau bantahan.

“Motosikal ‘pacer’ bergerak lebih perlahan dan keluar dari trek pada kelajuan 50km/j. Kami anggarkan daripada catatan masa pusingan itu ialah 45 km/j tapi dalam keadaan apa pun pelumba tidak boleh memintas motosikal ‘pacer’, itu adalah peraturannya. Jika anda pintas motosikal sebelum ia keluar dari trek, habislah anda.

Azizul bermula di kedudukan keenam hasil undian dilakukan. Perancangan kami ialah untuk dia mara ke hadapan tapi bukan memintas motosikal ‘pacer’. Dia bukan hanya melepasi roda hadapan motosikal, malah lebih dari itu,
 katanya sebagai mengesahkan pelumbanya itu ada melakukan kesalahan.

Ditanya apakah kata-kata pertama daripada Azizulhasni selepas dibatalkan penyertaan, Beasley yang terhenti beberapa ketika kerana menahan sebak dan dilihat mengesat air mata berkata pelumbanya itu hanya membisu kerana masih terkejut dengan keputusan yang dikenakan ke atasnya.

“Saya fikir untuk kedua-dua kami, ini sesuatu yang sukar untuk ditelan, sukar untuk keluar dengan cara begini. Ia berbeza jika dia dapat berlumba semula tapi dia tidak mendapatnya. Jadi, dia yang merasakan kesan terbesarnya kerana ini kerjayanya. Mungkin malam ini atau esok pagi dia akan merasakan kesan sebenarnya. Saya akan sentiasa bersamanya, tiada apa-apa yang lain boleh dilakukan.

Untuk berkesudahan begini bukanlah sesuatu yang dia berlatih keras untuknya atau mengharapkan ke atas sesiapa yang lain. Kami harus menghadamkannya, tangani keadaan ini dan bergerak ke hadapan. Itu yang paling penting. Ia telah pun berlaku dan kita tidak boleh mengubahnya,
 katanya.

Sebelum perlumbaan malam tadi, Beasley turut menyogokkan kepercayaan bahawa Azizulhasni memiliki kepantasan untuk mengungguli acara keirin. Cuma, persoalannya apakah anak Dungun, Terengganu ini memiliki tuah dalam perlumbaan yang dijangka penuh taktikal.

Tetapi selepas apa yang berlaku malam tadi, jurulatih dari Australia itu sedia mengakui satu kesilapan boleh memusnahkan segala perancangan.

“Sejak beberapa hari lalu, saya mempunyai perasaan yang cukup baik mengenai Azizul. Persiapan kami berjalan dengan sangat baik. Form dia juga sangat bagus. Untuk terkeluar dengan kesilapan begini sukar untuk diterima.

Bagi pihaknya saya hanya boleh memohon maaf kepada rakyat Malaysia walaupun saya tidak boleh memohon maaf secukupnya kerana menghampakan ramai. Tapi orang lakukan kesilapan dan kami tidak pernah terfikir kesilapan seperti ini boleh terjadi,
 katanya lagi.

Tiga tahun lalu dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020, tuah menyisih daripada Azizulhasni apabila dia terkepung oleh pelumba lain dalam perlumbaan akhir. Glaetzer yang mendahului kelompok berkenaan tidak melakukan secukupnya untuk menghambat pelumba Great Britain Jason Kenny yang melakukan pemecahan untuk sampai dahulu ke garis penamat manakala Azizulhasni dikerah berpuas hati dengan pingat perak.

Harapan untuk menebusnya nampaknya tidak kesampaian tetapi Azizulhasni harus reda itu sudah ketentuan buatnya. Dalam pada Azizulhasni berduka, Shah Firdaus pula memenangi saringan 3 repechage untuk layak ke suku akhir petang ini. Apa saja masih berkemungkinan. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.