`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Friday, August 9, 2024

Cabaran Zii Jia urus kejayaan

 

hishamuddin-aun

Saya harus akui antara yang awalnya terkeliru dengan ejaan nama Lee Zii Jia atau Lee Jii Zia sebelum ini. Namun, pengenalan Team LZJ yang menjadi pasukan sokongan untuk jaguh badminton kebangsaan itu bergerak secara solo tanpa pergantungan kepada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) memudahkan ia untuk diingati. Pingat gangsa Olimpik sumbangannya Isnin lalu sekadar memahat namanya untuk terus meniti di bibir ramai.

Kekerapan mendengar wartawan tersohor Ahmed Shahrazad Sani dari Astro Arena – tempat yang mengimbau banyak kenangan ketika saya bertugas di sana di antara 2011-2021 – mengungkapkannya mengikut sebutan ‘pinyin’ Li Zejia, memudahkan lagi nama itu melekat di ingatan. Didatangkan sebagai penyambung legasi Lee Chong Wei, dari awal lagi terasa seperti ada aura yang bakal dibawa pemain ini.

Persaraan mengejut Chong Wei – pada 13 Jun 2019 selepas bergelumang dalam badminton profesional selama 19 tahun — bermakna tidak banyak masa terluang buat Zii Jia hingga dia sentiasa dilihat sebagai pemain dalam kegopohan, baik daripada segi pencapaian di peringkat antarabangsa mahupun keputusan menentukan hala tuju dalam kerjayanya.

Tidak mudah mengisi tuntutan besar yang ditinggalkan Chong Wei yang memilih berundur gara-gara kanser hidung pada usia 37 tahun dan seiring dengannya tekanan berganda-ganda yang secara tidak langsung membentuk keperibadian Zii Jia sebagai seorang ‘rebel’ (pemberontak) seperti yang dapat dilihat hari ini.

Jika mahu ditelusuri perjalanan kerjaya pemain berusia 26 tahun ini, elok rasanya dirujuk kepada pakar. Berlintas langsung dengan penyampai berita Nadi Arena, Akbar Sahari dan Haliza Hamzah, sehari selepas kejayaan pingat gangsa itu, Shahrazad yang tular dengan panggilan ‘Bangmed’ kerana keakrabannya dengan pemain dan sedu-sedannya ketika membuat temu bual menyimpulkan: “Sejak dia umumkan hasratnya untuk jadi pemain profesional, ada selisih faham antara dia dengan pelbagai pihak. Pendekatan yang diambil Zii Jia berbeza dengan legenda dan ikon badminton negara sebelumnya.

“Saya menyaksikan bagaimana legenda seperti Lee Chong Wei mengharungi kerjayanya bersama BAM. Saya sudah sebutkan perkara seperti ini adalah semulajadi dalam sukan profesional. Cabaran yang dihadapinya (Zii Jia) cukup besar kerana prestasi dia terumbang-ambing, keputusannya untuk bertukar jurulatih, keputusannya untuk bergerak sendiri, dan keputusannya untuk berehat seketika dari badminton.

Ini bukan cabaran 2024 sahaja, ini cabaran dua tiga tahun. Jadi, saya harap dengan pingat gangsa ini kita sebagai rakyat Malaysia boleh cuba fahami dia. Apabila kita faham dia, mungkin kita boleh sokong dia dengan lebih efektif. Harap-harapnya dia berupaya ke (temasya Olimpik) Los Angeles 2028 nanti dan akhirnya berupaya menangi pingat emas yang kita idamkan dari sukan badminton,
 katanya.

Semua orang sukakan pemenang dengan hanya segelintir yang menyokong ketika kalah seperti didapati Jii Zia. Komennya selepas bangkit daripada kekalahan set pertama dan ketinggalan 3-8 pada set kedua kepada pemain nombor 22 dunia dari India Lakshya Sen dalam penentuan tempat ketiga untuk kesudahannya unggul 13-21, 21-16, 21-11 di Arena Porte de La Chapelle, mengundang reaksi bercampur-baur.

“Terlalu banyak yang berlaku sepanjang tiga tahun ini. Ada kalanya saya terasa mahu mengalah saja tapi saya tidak menangis, tidak pernah walau sekali. Setiap pagi apabila bangun tidur, saya membaca terlalu banyak berita mengenai saya. Saya terfikir apa kesalahan yang saya lakukan. Apa saja yang media tulis mengenai saya, saya diamkan diri meskipun mereka sentiasa mengaibkan saya kerana saya akan buktikan kepada mereka dan ini adalah permulaan untuk saya menjadi lebih hebat.

Saya bangga dengan diri saya. Ini bukanlah pingat yang saya mahu menang kerana saya idamkan emas. Ini mungkin sekadar gangsa tapi ia permulaan baik buat saya. Saya akan kembali dengan lebih kuat untuk Sukan Olimpik Los Angeles 2028 dan dapatkan emas,
 katanya.

Ada yang mempersoalkan mengapa dia perlu mengungkit atau berdendam dengan pengkritiknya sedangkan keputusan untuk meninggalkan BAM yang membentuknya dari usia 13 tahun hingga bergelar juara Kejohanan Seluruh England dengan menundukkan pemain nombor dua dunia dari Denmark Viktor Axelsen pada 21 Mac 2021 adalah pilihannya sendiri.

Presiden BAM Norza Zakaria ketika itu berkongsi bahawa Zii Jia menyatakan dia bukan Chong Wei dan tidak boleh tahan tekanan di samping mahu mencapai apa yang dia inginkan dengan caranya sendiri hingga badan induk itu terpaksa merelakannya.

Sambung Zii Jia selepas kemenangannya ke atas Sen: 

Ia merupakan detik hitam dalam kerjaya saya sebagai pemain badminton selain menempuh masa yang sangat buruk sepanjang tiga tahun ini (sejak keluar dari BAM dan bergerak secara profesional). Saya menghadapi kesukaran di mana saya bergelut dengan persembahan sendiri, ranking jatuh dan tidak percaya bahawa saya akan melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Pada detik dia baru menjulang nama Malaysia, apa saja yang dihamburkannya ketika itu harus diterima ramai sebagai sesuatu yang benar belaka dan apa juga pandangan berlawanan terhadapnya akan dianggap tidak bertepatan dengan keadaan dan menyalahi waktu.

Namun, sekembalinya ke tanah air kelmarin dengan sambutan wira di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan pulang ke Alor Setar untuk meraikan kemenangannya bersama keluarga, Zii Jia mungkin boleh mengingati semula komennya terhadap pengkritik sebagai baru melepasi fasa menangani cabaran dan kegagalan. Selepas semuanya reda, dia harus bersiap-sedia untuk mengharungi fasa mengurus kejayaan pula agar gangsanya itu akan berkesinambungan.

Shahrazad, ‘wartawan air mata’ Astro Arena menambah: “Kita tahu Zii Jia memiliki kemampuan untuk mengejar meskipun lawan memiliki jurang mata yang cukup besar. Hari ini tidak ada bezanya, cuma mungkin ketika ketinggalan 3-8, dia nampak masa depan dia.

Apa mungkin kalau dia tidak berupaya bawa pulang pingat gangsa. Tapi saya gembira untuk dia yang berupaya bawa balik pingat gangsa, terutama untuk dirinya sendiri, keluarganya di Alor Setar, yang ada di Segambut dan sudah pasti kita sebagai rakyat Malaysia meraikannya. Mungkin selepas ini harapan saya kita cuba memahami apa yang cuba dilakukannya.

Seperti diakui Zii Jia sendiri, pingat gangsa di Paris itu adalah satu permulaan – di sebalik sasaran emas yang terlepas dalam kekalahannya kepada pemain nombor satu dunia dari Thailand Kunlavut Vitidsarn di peringkat separuh akhir – dan lebih banyak pengorbanan dituntut daripadanya jika impian emas mahu direalisasikannya empat tahun lagi pada usia 30 tahun.

Paling penting, Zii Jia harus bersedia terus berhadapan kritikan kerana akan ada turun-naik prestasinya tanpa dia beranggapan semua kritikan mahu menjahanamkan kerjayanya melainkan sebagai ingatan untuk dia sentiasa kekal di landasan sepatutnya. Siapa tahu mungkin akan tiba masa hatinya terbuka untuk kembali ke pangkuan BAM semula jika itu yang terbaik bagi masa depannya.

Bangmed menawarkan perspektifnya: 

Empat tahun jangka waktu yang cukup panjang, saya cuma doakan dia kekal sihat, tidak ada kecederaan serius. Saya percaya dengan keputusan lebih konsisten, dengan kepercayaan kepada diri dan yang paling penting sokongan kolektif daripada pelbagai pihak… Saya tau kadang kala kita berbalah ideologi tetapi kalau kita sokong atlet kita, 33 juta (rakyat) sokong Lee Zii Jia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, Pearly Tan-M Thinaah dan Goh Jin Wei, kita boleh lihatlah hasilnya di Los Angeles nanti.

Ketika itu, mungkin tiada lagi kelibat Shahrazad di sudut temu bual di stadium kerana ia pilihannya untuk beralih ke lapangan pemberitaan berbeza selepas Sukan Olimpik Paris ini. Ia bagaimanapun tiada kaitan dengan sesetengah komen nakal di media sosial yang mendakwanya sebagai kurang profesional, menyalahi etika dengan mendahulukan dirinya sebagai seorang penyokong Malaysia daripada tugas kewartawanan dan ada juga yang menganggapnya cuba menonjolkan diri.

Tetapi perlu diingati bahawa Bangmed – mengharungi perjalanan panjang pulang ke Malaysia selepas kehilangan pasport ketika transit di Amsterdam dan kemudian mengambil penerbangan semula ke Rio de Janeiro — turut membawakan laporan terbaik ketika menyaksikan dari dekat bagaimana Malaysia berpeluang meraih pingat emas dalam tiga final badminton dalam Sukan Olimpik 2016 hanya untuk ketiga-tiganya menghasilkan perak tanpa profesionalismenya boleh dipersoalkan.

Terima kasih kerana menyokong saya dan berasakan apa yang saya sampaikan dari hati ini kepada anda itu melekat di hati. Kerana apa yang ingin saya lakukan, misi saya di sini adalah untuk menyampaikan kisah mereka (pemain-pemain). Kisah mereka itulah yang paling penting sebenarnya,
 katanya sebak. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.