`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Thursday, August 8, 2024

Di Bangladesh ini cara Gen Z ajar penjawat awam

 

faisal tehrani

Apa yang berlaku di Bangladesh? Mudah, Generasi Z atau Gen Z bangkit dan mengajarkan institusi penjawat awam negara itu, sejenis atau semacam PTB (pegawai tadbir Bangladesh) yang bercengkam, sehingga akhirnya mengakibatkan kerajaan pimpinan Sheikh Hasina ‘keguguran kuasa’.

Tentu dakwaan ini bukan cakap-cakap kosong lantaran kejadian seumpama ini sudah pun diramal oleh sosiologis seperti Vincenzo Ruggiero, khusus dalam tulisan terkenal beliau ‘Political Violence: A Typology’.

Bagaimanakah menjelaskan ‘revolusi Gen Z Bangla’ yang demikian sensasi ini? Pertamanya, kita perlu ingat yang Gen Z sering dikaitkan dengan ketidakpedulian terhadap politik semasa; berada dalam awan gemawan cita-cita penuh khayal; beroleh sumber daripada hal ehwal belum tentu sah dari dalam talian; atau di sesetengah negara terheret dengan politik ekstremis. Paling tidak inilah gambaran mengenai Gen Z dari kaca mata millenial dan generasi lebih senior.

Mungkin tanggapan di atas separuh benar di beberapa tempat dan negara, tetapi nampaknya sesuatu terlupakan ialah Gen Z juga peminat wacana. Oleh kerana Gen Z kaki wacana, mereka juga asyik menelaah, meskipun di sesetengah keadaan boleh dihujahkan pseudo. Misalnya dia berasa dia terpaling Ali Shariati, atau dia terpaling Ali Asghar Engineer dan sebagainya. Padahal pseudo.

Oleh sebab Gen Z Bangladeshi ini kaki wacana, maka tidaklah menghairankan jika Gen Z di sana, sebaik menjatuhkan Sheikh Hasina, mereka memilih untuk menjemput Muhammad Yunus penerima Hadiah Nobel Keamanan 2006 sebagai perdana menteri sementara. Ya, Bangladesh pernah melahirkan penerima Hadiah Nobel.

Isnin lepas, seluruh dunia menyaksikan Gen Z Bangladesh mengamuk di kota Dhaka. Mereka mara meskipun ditembak dibunuh polis dan askar (angka korban melebihi 90 orang) untuk menjatuhkan kerajaan Sheikh Hasina setelah berkuasa selama 15 tahun. Hasina, 76, anak kepada Bapa Bangladesh Moden, Sheikh Mujibur Rahman, yang dibunuh pada 1975.

Apakah yang menyebabkan Gen Z, kebanyakannya pelajar universiti mengamuk dan melakukan protes yang berakhir dengan kejatuhan sebuah kerajaan ini?

Pegawai tadbir Bangladesh dan institusi penjawat awam negara tersebut enggan mengalami reformasi. Malah sistem sedia ada diperkukuhkan dengan kuota ‘mukti joddhas’. Untuk gambaran penuh; penjawat awam di Bangladesh masuk pejabat sepagi pukul 8, lantas keluar minum sehingga pukul 10 atau kadang pukul 12 tengahari. Mereka akan melayan pelanggan sejam dua sambil bersolat dhuha di antaranya. Lagi, mereka keluar makan tengahari santak pukul 3 diikuti sembahyang zohor berjemaah dengan tazkirah ala Tabligh, sebelum akhirnya pulang pukul 5 petang.

Setiap tahun mereka beroleh bonus, mendapat pelbagai elaun keraian, dan diberi kemudahan macam-macam sehingga mereka terputus dari realiti rakyat biasa yang susah. Lebih hebat jika penjawat awam Bangladesh ini ada jaringan (selalunya ibu bapa) mereka akan beroleh posisi dalam kerajaan dan naik gred dengan mudah.

Awal tahun ini, geng PTB menyediakan satu sistem kuota di mana 30% jawatan penjawat awam diperuntukkan kepada golongan veteran yang berperang dengan Pakistan untuk mendapatkan kemerdekaan Bangladesh pada 1971. Sistem ini mengakibatkan siswa Universiti Dhaka mendidih hingga meruok cinta pada nusa bangsa yang selama ini terjelopok jatuh dalam kancah celaka lantaran PTB enggan melakukan reformasi.

Jika di negara kita, penjawat awam graduan sekolah elit tertentu diberi muka atau jika kamu rakyat sebuah negeri di Pantai Timur; di Bangladesh PTB memberi muka, lidah, pipi, dada, perut dan lemak kepada penyokong parti Hasina, Parti Liga Awami. Memang ekonomi di bawah Hasina agak baik, tetapi selepas pandemik, Hasina nampaknya gagal mengawal keadaan. Maklumlah beliau sudah 76 tahun, dan di dalam negara berpopulasi 171 juta, anggaran penganggur adalah 30 juta orang.

Lebih hodoh Bangladesh berdepan kenaikan harga barang, inflasi, dan ekstremisme agama, maka apabila penjawat awam nampaknya menggagalkan aspirasi Sheikh Hasina dan partinya, tunjuk perasaan menjadi revolusi. Pada 15 Julai lepas, protes menjadi padah dan meskipun Mahkamah Agung bertindak membatalkan kuota ini, ia gagal memadamkan rasa teraniaya Gen Z. Jadi asal cuai penjawat awam, ia melarat kepada Hasina.

Inilah yang dinyatakan oleh Vincenzo Ruggiero dalam ‘Political Violence: A Typology’ bahawa ‘keganasan institusi’ jika tidak dicegah akan meruntuhkan kerajaan dan mencetuskan kekacauan politik. Vincenzo memerhatikan aspek micro-sociological khusus dalam bentuk pemerhatian dekat terhadap dinamik dan sikap atau perangai organisasi tertentu dan anggotanya. Dalam hal Bangladesh ini, ia ialah pegawai tadbir Bangladesh yang degil tidak mahu melakukan reformasi.

Hasina mengikutkan sahaja lagak PTB itu sehingga akhirnya memakan diri sendiri.

Sebetulnya apabila Vincenzo mengatakan ‘keganasan institusi’ ia bukan bermakna ada organisasi yang mengganasi masyarakat dan membunuhnya, bukan, tetapi ‘keganasan institusi’ di sini adalah akibat dari hubungan berkuasa dan dominan antara penjawat awam gred tinggi dengan kelompok tertentu (alumni sekolah atau taksub saing negeri) dan khayalan bahawa kuasa dan penompokan kekayaan mereka akan terhakis jika tiada geng mereka diberi peluang seterusnya di masa hadapan.

Ketakutan kehilangan kuasa itu menyebabkan mereka ‘bertindak ganas’ dengan mencabul cita-cita demokratik, melakukan diskriminasi, menggagalkan usaha pembaikan oleh mereka yang berintegriti. Vincenzo menyatakan begini, 

…the result of an obsessive relationship of powerful individuals and groups with their future; it is a form of accumulation and accretion of the power such groups already possess, inspired by fear that in the future, events may lead to them losing it.

Salah Hasina ialah dia tidak membendung. Atau lebih tepat, salah Hasina ialah dia memagar dirinya dengan orang atau pegawai khas yang memagarnya dari kebenaran dan kenyataan. Atau barangkali juga Hasina melantik semacam SUSK yang ingin mendengar suaranya sahaja.

Kemarahan Gen Z terhadap sistem kuota penjawat awam itu atau kepada ‘mukti joddhas’ hanyalah satu jentikan yang terhasil ekoran keganasan institusi ini. Jika perdana menteri berusia 76 tahun itu mendengar suara Gen Z lebih awal, melakukan reformasi sebenar, dan membanteras penjawat awam toksik seperti PTB ini, tentu sahaja kerajaan beliau terselamat.

Sekarang, semuanya sudah terlambat.

Pun, kita menanti Bangladesh yang baharu di tangan Muhamad Yunus. Nasib Bangladesh dapat dihujahkan baik. Ini kerana bila mana Gen Z mengajarkan PTB, dan menurunkan Hasina mereka masih punya minda terbaik sepertinya penerima Hadiah Nobel itu.

Di negara lain macam kita, belum tentu. Silap hari bulan, kelak yang dinaikkan ialah pseudo wacana atasan tertentu yang perasan bagus. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.