`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Wednesday, August 21, 2024

Muhyiddin: Aset atau liabiliti

 

Mohsin Abdullah

Tidak dinafikan Muhyiddin Yassin berjasa kepada Bersatu sekali gus Perikatan Nasional. Jasa paling besar beliau ialah menggerak dan menjayakan Langkah Sheraton, dengan itu PN menjadi kerajaan. Dalam lain perkataan, jasa Muhyiddin yang membuatkan PN dapat memerintah negara.

Kalau bercakap mengenai aset bagaimana? Adakah Muhyiddin aset untuk Bersatu dan PN? Terserah kepada pendapat masing-masing terutama orang Bersatu dan PN sendiri. Atau adakah beliau liabiliti? Pada hemat saya jika Muhyiddin pernah menjadi aset, kini beliau sudah menjadi liabiliti.

Mengapa? Kerana masalahnya dengan Istana Pahang, malah institusi raja.

Umum tahu Istana Pahang membuat laporan polis terhadap Muhyiddin kerana seolah-olah menyatakan Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah selaku Yang di-Pertuan Agong ke-16 gagal menghormati Perlembagaan kerana tidak melantik beliau sebagai perdana menteri berikutan keputusan PRU15. Muhyiddin meluah kata-kata sedemikian pada satu majlis ceramah semasa kempen PRK Nenggiri tempoh hari. Ucapannya dimuat naik ke media sosial.

Tengku Mahkota Pahang murka dan mendakwa Muhyiddin memanipulasikan fakta dan membawa naratif negatif kepada rakyat bahawa Al-Sultan Abdullah seolah-olah tidak berlaku adil ketika memilih perdana menteri ke-10.

Seingat saya ini julung-julung kali seorang putera raja mengkritik lantang dan secara terbuka terhadap seorang pemimpin politik. Jelas ia mempunyai kesan bukan sahaja kepada Muhyididn tetapi juga kepada partinya dan gabungan politik yang dipimpinnya.

Benar Muhyiddin sudah tampil berkata beliau tidak bermaksud hina institusi raja. Pada masa sama beliau tetap menegaskan ucapannya adalah ‘kenyataan fakta’. Terpulang interpretasi masing-masing namun biarlah polis menjalankan siasatan. Proses rakaman percakapan Muhyiddin akan diberitakan dijalankan hari ini. Ia mulanya dijadual semalam tetapi ditangguhkan ke hari ini kerana Muhyiddin berada di luar negara. Begitu kata Ketua Polis Negara Razarudin Husain menurut laporan Malaysiakini.

Walau apapun, apa yang didakwa diucap di Nenggiri dan penegasan apa yang diucap adalah ‘fakta’ memberi tekanan kepada Bersatu dan PN. PAS rakan kongsi Bersatu dalam PN setakat ini belum mengeluarkan reaksi rasmi. Memilih untuk mendiamkan diri.

Bagaimanapun dilaporkan 17 Adun PN di dalam Dewan Undangan Negeri Pahang mungkin berdepan dilema apabila tidak mempunyai pilihan kecuali menyatakan sikap masing-masing terhadap ucapan kontroversi Muhyiddin. Speaker DUN Pahang Sharkar Shamsudin dipetik media berkata: 

Semua ahli yang berhormat di negeri ini perlu menyatakan pendirian tegas berhubung perkara tersebut kerana baginda Sultan Pahang merupakan sebahagian daripada dewan perundangan negeri.
 Selain itu beliau berkata 
ia juga melibatkan air muka dan maruah rakyat Pahang yang sentiasa menjunjung titah baginda sultan yang menjadi payung negeri ini.

Nyata Adun PN tersepit di antara kesetiaan pada Muhyiddin dan kesetiaan pada sultan, dan juga berdepan isu air muka dan maruah rakyat Pahang yang mereka wakili.

Kesudahannya Adun PN negeri menyatakan sokongan penuh kepada Tengku Mahkota Pahang berhubung gesaan supaya Muhyiddin disiasat.

Ketua pembangkang negeri dan Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man turut mengisytiharkan taat setia mereka yang tidak berbelah bahagi kepada Tengku Mahkota Pahang dan ayahandanya, Al-Sultan Abdullah.

Masalah yang dihadapi PN bukan sahaja di Pahang. Oleh itu beberapa penganalisis memberitahu FMT bahawa PN perlu menggantikan Muhyiddin jika tidak mahu ditolak pada PRU16. Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya berkata kenyataan Muhyiddin berunsur 3R yakni kaum, agama, dan raja berpotensi merosakkan reputasi PN. Menurut beliau ramai dalam kalangan rakyat menyifatkan isu 3R dalam kempen politik sebagai tidak bertanggungjawab. 

Ucapan keterlaluan hanya mendorong pengundi memilih alternatif lebih stabil dan bersifat sederhana,
 dan jika gagal kata beliau, PN boleh rugi untuk jangka panjang.

Lau Zhe Wei dari Universiti Islam Antrabangsa Malaysia pula dipetik berkata tindakan Muhyiddin berkemungkinan dilakukan sesiapa sahaja pembangkang yang tidak dipilih menjadi perdana menteri. Cuma kata beliau, kenyataan 3R Muhyiddin itu telah melampaui batas sehingga Tengku Mahkota Pahang mengeluarkan kenyataan murka. Lau membayangkan isu ini akan menjadi modal jangka panjang lawan PN.

Kesimpulannya Muhyiddin menyusahkan PN. Mungkin PAS tahu itu semua dan kerana itulah ia berdiam diri sehingga sekarang?

Rasanya Bersatu bukanlah naif sehingga tidak tahu masalah bos mereka sekarang boleh membawa padah lantas Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal cuba menyakinkan umum dengan dakwaan ucapan Muhyiddin telah disunting pihak musuh. Tetapi kata-kata Muhyiddin sendiri bahawa apa yang diucapkan berdasarkan ‘fakta’ tidak mengikut naratif si ketua Pemuda.

Jika ikut peringatan penganalisis yang dilapor FMT, PN perlu cari pengganti Muhyiddin untuk kebaikan diri sendiri. Dalam Bersatu ada yang memang cukup minat mengambil alih jawatan presiden tetap terpaksa memendam hasrat ekoran pelan damai yang diutarakan Muhyiddin.

Muhyiddin sendiri pernah berkata beliau tidak mahu mempertahankan jawatan pada pemilihan parti tahun ini. Ertinya mahu bersara tetapi mengubah fikiran setelah isterinya menyakinkan beliau the party still need you. Ini didedahkan Muhyiddin sendiri.

Namun sekarang timbul masalah yang semua maklum. Maka diulangi adakah Muhyiddin kini satu beban buat Bersatu dan PN? Bersatu boleh menjawab, PN boleh jawab. Yang paling penting Muhyididn perlu jujur menjawab sendiri. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.