`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Wednesday, August 21, 2024

Nasihat toksik oleh palatau

 

Free Malaysia Today

Untuk saya, hidup ini bukanlah selancar apa yang dianjurkan di dalam buku teori kehidupan, kata-kata hikmat daripada buku motivasi, dan juga kaedah-kaedah dalam subjek psikologi. Ia berlapis-lapis. Satu pendekatan mungkin sesuai untuk sebahagian manusia tapi belum tentu sesuai untuk sebahagian yang lain.

Encik Affandi, ya?
 sapa seorang wanita muda, lingkungan lewat 20-an barangkali.

Saya yang sedang duduk di birai katil wad menjaga anak sakit memandang kepadanya sambil mengangguk. Dia memperkenalkan dirinya. Katanya dia ditugaskan untuk memberi bimbingan kaunseling kepada saya. Mungkin pihak yang menugaskan dia datang kepada saya mendapati yang saya ini perlukan nasihat. Saya disyaki mengalami tekanan jiwa kerana mempunyai dua orang anak perempuan yang cacat terlantar dan sering keluar-masuk wad sehingga kerja saya terjejas.

Dia memulakan temubual dengan menanyakan latar belakang keluarga serta sejarah bagaimana kedua anak saya lahir mengalami kecacatan cerebral palsy. Saya, meskipun penat memutar cerita yang sama setiap kali ditemuduga tetap juga bercerita. Saya ini sporting sebenarnya dan sedia bekerjasama membantu melicinkan urusan. Dia setelah mencatat apa yang saya cerita terus memberikan pelbagai cadangan dan nasihat. Antaranya meminta saya tabah, sabar, dan mesti mengawal emosi. Saya dinasihatkan agar merancang kehidupan dengan betul supaya hidup tidak bercelaru.

Ditunjukkan kepada saya ayat-ayat di buku notanya dan digaris serta dibulatkan perkataan yang penting agar saya ambil perhatian dan ikut. Saya mula rimas kerana apa yang dicakapkan tidak praktikal untuk diamalkan. Bukan saya pesimis dan menafikan ilmu yang dia ada dengan jawatannya yang profesional tetapi dalam bab ini saya yang memakai kasut, maka saya tahu apa sesuai dan yang boleh. Saya nampak dengan jelas apa yang hanya sedap dan kemas tercatat di dalam buku tetapi amat mengerti bahawa ia tak semudah itu untuk dilaksanakan.

Ada dapat duit bantuan dari JKM?
 tanya dia.

Ada. RM300 setiap seorang. Maknanya RM600 sebulan,
 jawab saya.

Ha! Apa kata RM500 daripada bantuan itu encik carikan pembantu rumah untuk bantu uruskan hal-hal dalam rumah seperti mengemas, mencuci, dan sebagainya. Ini meringankan sedikit daripada semua kerja encik dan isteri nak kena buat,
 sarannya. Bernas, kan? Memang untuk zaman itu RM500 upah yang cukup berpatutan buat pekerjaan sebagai pembantu rumah. Cadangan ini amat baik. Bunyinya sebuah masalah berjaya diselesaikan!

Saya sedikit pongah kerana banyak kali saya temui orang-orang yang mudah saja memberi nasihat, sepertinya saya bodoh dalam membuat keputusan hidup. Sepertinya saya tidak pernah berfikir untuk itu, dan sepertinya saya ini tak pernah buat itu semua. Macamlah saya ini dijumpai orang sedang duduk di dalam gua gelap dan hidup dalam keadaan primitif. Sungguh! Memang layanan seperti itu pernah saya rasa malah lebih hina daripada itu pun ada sehingga ada yang meniup segelas air dan menyuruh saya minum air penawar tanpa dia menyelidiki terlebih dahulu. Begitu bodoh sekali saya diperlakukan.

Macam mana saya tak hangin?

Cik puan fikir saya tak pernah cari pembantu rumah? Ia bukan semudah itu. Saya dah buat semua ini. Ada yang kerja sebulan, ada yang kerja seminggu, berhenti. Ada yang kerja tiga hari, tak tahan. Ada yang sehari terus menyerah dan cabut lari,
 saya menjawab. 
Bukan senang nak cari orang yang berani berurusan dengan dua anak terlantar begini.

Ya. Teruslah cari. InsyaAllah pasti ada,
 nasihatnya. Aik? Macam itu je dia punya cakap? Selama ini saya duduk sahajakah? Atau dia fikir selepas berkaunseling dengan dia saya tak akan buat apa-apa jugakah?

“Kalau cik puan ada pembantu rumah atau ada jumpa sesiapa, mohonlah minta mereka datang kerja dengan saya. Talk is cheap,” jawab saya dengan sedikit keras sehingga saya perasan dia terkedu dan meneguk liur. Akhirnya sebelum beredar dia meminta maaf dan akur bahawa kami, ibu bapalah yang lebih tahu apa yang perlu. Bukan saya sombong dan bukan saya kata dia tak ada ilmu tetapi saya bercakap tentang hakikat sebenar yang saya tempuhi — ia tak sekacang dalam buku teori.

Teringat saya akan filem Merah arahan M Nasir, bila mana kaunselor bernama Kasih (lakonan Ziana Zain) memberikan bimbingan kaunseling kepada banduan bernama Merah (lakonan Awie). Merah kadang-kadang naik angin dengan nasihat-nasihat Kasih yang membosankan. Kedengaran voice-over Merah, “lagipun apa yang dia tau? Budak lagi. Masih berhingus!.”

Ia bukan kata-kata untuk merendahkan orang muda. Ia sesuatu yang kita sudah tahu. Kalau kita mahukan bimbingan, kita mahu sesuatu yang baharu, yang bernas yang mana kita sendiri tak terfikirkan. Yang kalau kita dengar kita akan kata 

wow!, ini yang saya mahukan.
 Kalau setakat suruh bersabar, beri ucapan semoga dipermudahkan, dah letih! Sebab kami bersabarlah kami masih ada di sini.

Saya faham tugas Cik Puan Kaunselor itu dan saya faham ramai yang menasihatkan kami itu bermaksud baik tetapi kita semua perlu tahu kehidupan ini kompleks. Dalam Al-Quran sendiri ada ayat yang bukan satu hala sahaja. Ia ada di sana dan ada di sini untuk dicantumkan. Misalnya, jika kita dalam kesulitan maka Allah memerintahkan kita supaya memohon pertolongan kepada-Nya. Berdoalah kepada Aku, katanya.

Tetapi pada ketika lainnya Dia berkata Dia tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu jika kaum itu sendiri tidak mengubahnya. Kalau salah faham kita akan keliru. Sekejap suruh minta tolong tetapi kemudian kita jugalah yang nak kena usaha ubah nasib sendiri. Inilah dua keadaan yang wajib dihayati sedalam-dalamnya. Ia menuntut pemahaman yang tinggi untuk mencerna isinya.

Seorang teman saya juga pernah membasuh saya tentang apa yang perlu dan apa yang tak perlu dibuat jika ingin berjaya. Cadangan dan nasihat yang kita istilahkan sebagai toksik positif. Nasihatnya memang berbau positif tetapi ia menyinggung dan membuat kita rasa jengkel untuk menerimanya. Dia bagi cadangan macam dia tahu semuanya yang kita rasa dan dia rasa cadangannya itu ada keramat, jika diikut akan selesai sekelip mata padahal kita nampak ia jauh menyimpang, tak kena langsung. Selepas itu kita direndah-rendahkan pula. Itulah toksik.

Paling hampeh pernah saya rasa ialah nasihat meminta saya bertaubat banyak-banyak kepada Tuhan kerana kedua anak saya cacat adalah disebabkan oleh balasan Tuhan terhadap dosa-dosa silam saya. Kerana menurutnya saya ini dahulunya jahat maka Tuhan menghukum saya dengan mengurniakan saya dua anak cacat terlantar.

Bila saya bertanya mana sifat rahman dan rahim Tuhan bila dua anak saya yang tak berdosa disiksa semata-mata kerana saya yang bersalah, si penasihat ini terdiam. Bila saya cakap, anak awak jadi mat gian itu sebab balasan dosa oleh Tuhan kepada awak jugakah, dia tersinggung sehingga tidak mahu lagi menegur saya. Jadi, bagaimana? Takkan sentap pula.

Menasihatkan orang bukan main lagi, bila awak dicuit tahu pula marah.

Hari ini ramai yang mahu jadi penasihat, mahu jadi pakar motivasi dengan membuat video-video di media sosial. Kadangkala saya geli hati melihat orang bujang memberi tips hal-hal suami isteri dan mereka yang baharu setahun dua kahwin juga mengajar cara mengekalkan kebahagiaan rumahtangga. Influencer-influencer ini memberi kata-kata hikmat dan petua-petua yang nampak macam mujarab. Ramai juga yang terpesona dan menjadikan mereka idola. Melihatkan panduan dan nasihat yang diberikan oleh mereka memang boleh aman dunia ini nampaknya.

Mereka ada segala jawapan untuk semua masalah hari ini.

Tidaklah pula saya kata nasihat mereka itu 100% salah. Ia satu pandangan yang baik dan patut juga diraikan. Bagi saya kalau sekadar beri pandangan itu tak mengapa tetapi apabila memandai-mandai judge orang dan memaksa orang ikut pandangan awak, itu yang menjengkelkan.

Kita semua ada perjalanan kita sendiri. Baik kita ini presiden sebuah negara, ataupun buruh tani, kita ada masalah. Adanya masalah menunjukkan kita masih hidup. Sama ada kita seorang kaunselor mahu juga klien, lelaki atau wanita tak kira kaum dan agama, kita ada dilema kita sendiri dan tidak salah untuk kita berkongsi kepada sesiapa yang kita percaya.

Pun tidak salah untuk kita mendengar masalah kawan kita tetapi kalau kita tidak duduk di situasi itu tak usahlah kita memandai-memandai menetapkan itu dan ini kononnya nak nasihat. Yang mengalami tak sama dengan yang mendengar. Kita tak merasa. Kalau tiada pengalaman tentangnya, mengaku sajalah tak tahu. Berikanlah kata-kata yang menyejukkan tapi kena tahulah bagaimana nak berkata-kata.

Pernah juga kawan saya datang meminta nasihat bagaimana nak dibuat kepada anak remajanya yang bermasalah. Saya terus-terang minta maaf dan mengaku saya tak tahu sebab saya tiada pengalaman mempunyai anak remaja yang normal. Saya tak pernah merasai situasi itu.

Ya, hidup ini tentang ‘rasa’. Kita manusia akan dicuba dengan pelbagai cabaran supaya kita merasa, dan cara kita merasa itu berbeza. Ia mengikut kecenderungan kita di mana. Kita perlukan teman, kita perlukan sokongan dan bimbingan — yang membina. Bukan yang melukakan. Bukan toxic positivity!

Al-Insyiqaaq ayat 19: 

Sesungguhnya kamu tetap melalui beberapa keadaan yang bertingkat-tingkat baik buruknya, (sebelum kamu menemui Tuhan – menerima kesenangan dan kebahagiaan atau sebaliknya).

Dari tingkat demi tingkat itulah datangnya pengalaman. Dari situlah fikiran dan pendirian kita dibentuk untuk kita membuat sesebuah tindakan dalam menempuh cabaran kehidupan. Itupun kalau kita mahu sedar dan kita mahu belajar. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.