`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Tuesday, August 13, 2024

Sama tapi mujur tak serupa

 

Mohsin Abdullah

Sudah beberapa minggu berlalu sejak rusuhan anti imigrasi tercetus di beberapa bandar seluruh England. Menyedihkan ia masih berlaku. Semuanya bermula 29 Julai apabila seorang remaja lelaki berusia 17 tahun menyerang dengan pisau beberapa kanak-kanak perempuan yang sedang belajar yoga dan tarian bertemakan Taylor Swift di Southport. Tiga kanak-kanak yang ditikam meninggal dunia. Sekurang-kurangnya lapan cedera, ada yang parah.

Sepantas kilat tersebar berita palsu khususnya di media sosial kononnya si penyerang seorang Muslim yang baru sampai UK. He just got off the boat, kata penyebar fitnah. Ramai yang percaya. Maka tercetus rusuhan.

Yang diserang golongan yang disifatkan pendatang. Kediaman dan kedai milik mereka dimusnahkan. Masjid juga diserang kerana pembunuh kanak-kanak itu ‘Muslim’. Semua dilakukan tanpa fikir panjang, tanpa selidik kisah sebenar, tanpa ambil tahu apa keadaan mental remaja 17 tahun yang menyerang itu.

Pihak berkuasa cuba mematahkan naratif golongan yang membakar sentimen kebencian dengan menghebahkan fakta bahawa si penyerang bukan Muslim. Langkah itu tidak berjaya. Rusuhan terus berlaku.

Remaja terbabit sebenarnya sudah ditangkap dan dihadapkan ke mahkamah untuk menghadapi pelbagai tuduhan. Bagaimanapun oleh kerana dia remaja bawah umur namanya tidak boleh diumum atau disiar media. Namun oleh kerana rusuhan terus berlaku larangan diangkat dan hakim di Liverpool mendedahkan identiti remaja itu.

Naman dia Axel Muganwa Rudakubana. Dilahirkan di Cardiff. Ibu bapanya berasal dari Rwanda. Pihak berkuasa menegaskan Rudakubana bukan Muslim. Kemungkinan besar beragama Kristian, menurut media. Itu tidak meredakan kemarahan perusuh. Masyarakat Muslim dan masjid menjadi sasaran.

Hakikatnya Rudakubana serta dan ibu bapanya adalah people of colour. Hakikat dia dilahirkan di UK tidak diambil peduli. Bagi perusuh dia dan ibu bapanya pendatang. Lalu semua pendatang Muslim atau bukan Islam, berkulit hitam diserang.

Lalu yang menjadi sasaran golongan yang datang beberapa tahun ke belakang ini dan mungkin belum diterima sebagai warga UK. Tidak diketahui sama ada kebencian juga ditujukan terhadap masyarakat bukan kulit putih yang datuk moyang mereka datang ke UK bertahun-tahun lama dahulu. Mereka dilahirkan di UK dan warga negara UK. Mereka bercakap Inggeris sama seperti orang Inggeris. Jika hanya dengar suara tanpa lihat wajah kita akan sangka yang bercakap mat salih UK.

Sebagai warga negara UK, kebanyakan mereka menyumbang kepada kesejahteraan dan ekonomi Britain. Namun mereka turut bimbang, takut, dan terasa terancam dengan keganasan masa kini, terutama mereka yang asal-usul datang dari India dan Pakistan.

Pembunuhan tiga kanak-kanak perempuan di Southport oleh ‘pendatang’ yang sebenarnya bukan pendatang adalah sekadar pencetus rusuhan. Sebenarnya, sentimen anti imigrasi dan anti pendatang sudah lama dibakar oleh puak far right atau golongan aliran paling kanan.

Contoh. Penulis dan pengulas politik konservatif, Douglas Murray, dengan lantang kerap berkata 

saya tidak mahu mereka (pendatang) duduk di sini. Mereka datang dengan alasan yang tidak boleh dipercayai, ramai datang secara haram dan terus datang secara haram.

Pernahkah kita dengar kata-kata seperti itu disuarakan di negara ini? Tentu pernah. Ada tidak pada kalangan rakyat Malaysia yang tidak mahu pendatang tinggal di negara ini? Jawapannya ada.

Kata Murray lagi: “kalau kamu tidak suka di sini (dengan cara kami) just leave.” Ini juga kita ada dengar orang kita yang senada dengan Murray. Mungkin dalam konteks lain tetapi kerap ditujukan kepada golongan yang datuk moyang mereka datang dari China dan India umpamanya tetapi mereka lahir di Malaysia dan sememangnya warga Malaysia.

Bagi Murray lagi di UK ada pemimpin dan ahli Hamas (dakwaan dilempar tanpa bukti serta fakta) yang menjadi warga UK, lalu beliau mahu kerakyataan mereka dilucutkan. Tuduhan seperti ini tidak ada di negara kita.

Menurut Murray, Bangsa British ada dua pilihan. Satu berdiri atau melutut. 

Saya rasa Bangsa British tidak sepatutnya melutut dan mengemis. Jiwa England, Jiwa British sedang dipijak-pijak oleh orang yang datang ke Britain, orang yang tidak dikehendaki di sini. Mereka khianati percubaan kita untuk beramah mesra dengan mereka. Saya rasa Jiwa British mula bangkit dan bergolak dengan kemarahan.
 Ini jelas dirujuk Murray kepada imigran yang melarikan diri daripada peperangan, sengketa, serta tekanan ekonomi di Timur Tengah dan Afrika.

Malangnya ada golongan Muslim di UK yang bertindak sendiri meronda kawasan di mana mereka diami dan isytihar kawasan itu ‘zon syariah’. Orang luar yang memasuki kawasan itu dipaksa mematuhi peraturan tertentu termasuk pakaian mesra syariah. Ini hanya memperkukuhkan tuduhan Murray dan orang sepertinya.

Kata-kata bahawa warga asing sudah ‘lebih-lebih’ di Malaysia, ‘memijak kepala’ masyarakat tempatan, berani kacau anak dara kita, dan menguasai perniagaan juga diluahkan oleh kalangan orang kita. Sasaran mereka lazimnya masyarakat Rohingya dan Bangladesh, juga Myanmar antaranya. Tidak dinafikan ada dalam kalangan mereka yang melakukan jenayah dan sudah ‘lebih-lebih’ dan itu memperkukuhkan tuduhan ke atas keseluruhan masyarakat mereka.

Ramai di antara mereka menjalankan kerja 3D — dirty, dangerous, difficult. Siapakah yang mesti dipersalahkan jika mereka bijak mengambil kesempatan berniaga di negara ini?

Berbalik ke UK. Pada 2016 Britain mengadakan satu referendum atau pungutan suara berhubung Brexit. Majoriti rakyatnya memilih Britain keluar Kesatuan Eropah. Bagaimanapun rakyat Britain mengundi untuk bermacam jenis Brexit. Antaranya anti imigrasi dan anti pendatang. Menurut pemerhati dan penganalisis politik, Boris Johnson yang waktu itu perdana menteri mengikut interpretasi puak aliran paling kanan. Beliau disusuli Liz Truss dan kemudian Rishi Sunak, semuanya ‘memanjakan’ golongan aliran paling kanan.

Antara aktivis far right paling menonjol di UK dan juga aktivis anti Islam ialah Stephen Christopher Yaxley-Lennon, yang lebih dikenali sebagai Tommy Robinson. Bagi Robinson, perhimpunan aman anti genocide Israel adalah bukti “Hamas diberi izin menakluki London kerana polis tidak berbuat apa-apa.”

Robinson mahu umat Islam dilarang masuk ke UK sehingga 

kita tahu keadaan sebenar
 sambil menghina Al-Quran. Apakah ‘keadaan sebenar’ yang dimaksudkan tidak pula dijelaskan.

Kesimpulan penulisan saya di UK ada puak rasis, aliran paling kanan yang anti pendatang dan anti imigrasi. Di Malaysia juga ada golongan seperti itu. Mujur kita tidak mengalami rusuhan anti imigrasi seperti yang terjadi di UK. Alhamdulillah. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.