`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Wednesday, August 21, 2024

Tambah pening Muhyiddin

 

hishamuddin-aun

Keadaannya mungkin tidak mudah buat Muhyiddin Yassin sejak beberapa hari ini kerana berhadapan siasatan polis berkaitan ceramahnya dalam kempen PRK Nenggiri minggu lalu yang didakwa menyentuh isu 3R. Dalam pada itu, presiden Bersatu itu juga tidak mampu terus berdiam diri terhadap pelbagai alasan kekalahan calon parti berkenaan yang didakwa mendedahkan perpecahan dalam parti.

Menyusuli dakwaan Pengarah Operasi Perikatan Nasional (PN) bagi PRK Nenggiri Annuar Musa bahawa lebih 2,000 penyokong gabungan itu tidak keluar mengundi, timbul juga dakwaan Bersatu terbahagi dua di antara Team A yang memihak kepada Muhyiddin dan Team B yang lebih cenderung kepada Azmin Ali hingga berlaku sabotaj.

Mengikut versi Annuar, lebih 2,000 pengundi memilih untuk tidak keluar mengundi Sabtu lalu kerana didakwa terpengaruh dengan khabar angin kononnya ramai pengundi lain yang mendapat habuan wang ringgit hingga memberi kelebihan kepada calon Barisan Nasional (BN) Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani untuk menang dengan majoriti besar 3,352 undi ke atas calon PN dari Bersatu yang bertanding atas simbol PAS Rizwadi Ismail.

Dakwaan ini bagaimanapun tidak disertakan bukti melainkan ia dilihat sebagai alasan Annuar semata-mata untuk menutup kekalahan terbesar PN dalam PRK selepas PRU15 di samping ia menjadi PRK pertama selepas PRU15 — yang berjumlah sembilan kesemuanya — di mana parti penyandang tewas.

Tidak kurang menariknya ialah dakwaan penulis blog Raja Petra Kamaruddin kononnya PRK Nenggiri bukan sangat di antara BN dan PN, sebaliknya pertandingan di antara Team A dan Team B di dalam Bersatu sendiri.

“Team A ialah Muhyiddin, (setiausaha agung) Hamzah Zainudin, (naib presiden) Ronald Kiandee dan Radzi Jidin dan (timbalan presiden) Peja atau Ahmad Faizal Azumu, Team B diketuai oleh (ketua Bersatu Selangor) Azmin Ali. Mereka telah guna PRK Nenggiri sebagai medan perang untuk nak mendapat pengaruh untuk pemilihan parti (pada bulan Oktober).

“Mereka tak kisah menang atau kalah PRK Nenggiri, mereka lebih tumpu kepada pemilihan parti. Jadi, banyak insiden sabotaj di mana golongan Team B disekat daripada berceramah. Mereka hadir tapi tunjuk muka saja, tidak dibenar naik pentas, disekat daripada berceramah. Dan mereka tidak fokus kepada mendapat sokongan pengundi (dalam PRK) tapi kepada sokongan ahli parti sebelum pemilihan parti.

Perpecahan dalam Bersatu di antara Team A dan Team B telah didedah pada Sabtu. Kerana itulah PN kalah teruk, luar biasa,
 tambah Raja Petra.

Sebagai latar belakang, Muhyiddin dalam ucaptama Konvensyen Bersatu di Selayang pada 13 Julai lalu memaklumkan telah mempunyai ‘ilham’ — selepas bertemu sebahagian besar ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) — melibatkan pemilihan parti yang dijadual Oktober ini bagi mengelakkan pertembungan dan perpecahan dalam jawatan tertinggi.

Ia diperjelaskannya bahawa Faizal bersedia berundur daripada jawatan timbalan presiden untuk memberi laluan kepada Hamzah. Sambil Faizal akan berundur setapak untuk bertanding jawatan naib presiden, Azmin pula ditawarkan jawatan setiausaha agung berdasarkan ketokohan dan pengalamannya.

Namun, tanpa menafikan desas-desus beliau menolak cadangan dilantik sebagai setiausaha agung, Azmin berkata masih awal untuk buat keputusan selain mahu berbincang dahulu dengan Muhyiddin sebelum memutuskan pendiriannya. Ramai melihat Azmin tidak rela diturunkan darjat ke setiausaha agung.

Lebih dahulu pada 26 Jan 2024, Ahli Parlimen Bukit Gantang Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal — salah seorang daripada enam bekas ahli Parlimen Bersatu yang mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan kemudian terhenti keahlian mereka — mendakwa sebahagian besar ahli Parlimen Bersatu mahu Hamzah menerajui parti itu.

Lantaran itu, tambahnya, Bersatu mempunyai dua kem — satu yang menyokong kepemimpinan Muhyiddin dan satu lagi menyokong Hamzah. Bagaimanapun, keadaan itu menjadi rumit apabila Muhyiddin yang mengumumkan tidak pertahan jawatan dalam perhimpunan agung pada November tahun lalu, membuat pusingan U selepas 24 jam.

Kini ramai yang menanti sama ada ‘ilham’ Muhyiddin mengelakkan pertembungan dalam parti dengan susun atur barisan kepimpinan tertingginya akan menjadi kenyataan atau Azmin akan langar Hamzah untuk perebutan jawatan timbalan presiden. Ini selepas Kiandee menjelaskan sehari selepas Konvensyen Bersatu Julai lalu bahawa tiada usul dikemukakan untuk tidak mempertandingkan jawatan tertinggi dalam parti Oktober ini, sebaliknya terserah kepada perwakilan membuat pencalonan.

Selepas berakhir PRK Nenggiri, tiada sebarang kenyataan daripada pimpinan Bersatu menyangkal dakwaan Annuar mahupun Raja Petra mengenai penyokong Bersatu bukan saja enggan keluar mengundi, malah ada yang mengundi BN.

Muhyiddin dalam reaksinya sekadar menyatakan menerima dengan hati terbuka keputusan pengundi DUN Nenggiri sambil menekankan apa yang penting ialah terus istiqamah dalam landasan perjuangan yang menguji kesabaran dan ketahanan. Obor perjuangan untuk membela agama, bangsa, dan negara akan terus menyala, katanya.

Sekadar menambah tekanan, penganalisis politik pula mencadangkan mungkin tiba masanya Muhyiddin melepaskan jawatan pengerusi PN dan menyerahkannya kepada pemimpin PAS — bersandarkan dakwaan bahawa wujud kecelaruan dan kurang koordinasi dalam gabungan itu mutakhir ini.

Dinamika dalam PN telah berubah dan PAS kini berada di kerusi pemandu,
 felo kanan Institut Hal-Ehwal Antarabangsa Singapura Dr Oh Ei Sun dipetik oleh Sinar Daily. 
Ia mungkin sesuatu yang strategik untuk Muhyiddin secara rasminya menyerahkan kepimpinan (PN) untuk memastikan ia selari dengan hala tuju semasa gabungan itu,
 tambahnya.

Pandangannya itu selari dengan pengamatan Raja Petra yang menyimpulkan bahawa hubungan PAS dan Bersatu sudah retak gara-gara ada krisis di antara kedua-duanya.

“Sampai di peringkat atas — Hadi Awang dan Muhyiddin Yassin — dah susah nak berbincang. Muhyiddin dah tak mau dengar pandangan daripada Hadi. Kalau Hadi nak bincang sesuatu perkara pun Muhyiddin degil, dia tak mau.

“Selain Team A dan Team B dalam Bersatu, kini dah muncul Team A dan Team B dalam PAS juga — satu di pihak Hadi dan satu lagi menyokong Muhyiddin. Hadi pun dah kecewa dah sebenarnya. Dia nak letak jawatan tapi ramai tak benarkan.

“Itu pun menimbulkan banyak masalah. Setakat ini tidak ada formula, tidak ada jalan penyelesaian. Kalau ini berterusan untuk setahun dua lagi akhirnya akan berlaku sesuatulah. Perhubungan di antara PAS dan Bersatu pun akan rosak.

PRK Nenggiri membuktikan PAS dan Bersatu sudah tidak stabil. Hubungan kedua-duanya dah teruk. Dah tentu mereka beri macam-macam alasan tapi hakikat sebenar ini kita panggil ‘self-inflicted wound’ — masalah tembak kaki sendiri,
 katanya.

Sementara itu, Muhyiddin akan menghadiri proses rakaman percakapan dengan polis berhubung ucapannya yang didakwa menyentuh isu 3R (kaum, agama, raja) ketika kempen PRK Nenggiri di Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) hari ini.

Setakat ini, polis menerima 30 laporan daripada pelbagai pihak berkaitan ucapannya yang dikatakan menyentuh kewibawaan Sultan Pahang Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah ketika menjadi Yang di-Pertuan Agong Ke-16.

Anda rasa Muhyiddin ada masa untuk sakit kepala? Ia tidak dapat dielakkan. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.