
Terus terang saya katakan saya ‘respect’ Parti Sosialis Malaysia (PSM), pemimpin dan ahlinya. Sebab apa? Tekad, kecekalan, keazamannya.
PSM tidak pernah jemu, lelah mahupun putus asa dalam meneruskan perjuangan yang ahlinya yakin mulia dan suci.
Meskipun sering mengalami kekecewaan pada pilihan raya peringkat negeri apatah lagi di pentas nasional. Namun, seperti dikatakan tadi PSM terus berjuang. Ini realiti.
PSM ialah parti politik sosialisme -politik haluan kiri. Tetapi ‘sosialisme’ adalah tabu bagi ramai rakyat Malaysia terutama orang Melayu yang mengaitkan ‘sosialisme’ dengan ‘komunisme’.
Walaupun salah ramai orang Melayu khususnya tetap kata ‘sosialis adalah komunis’. Dan ini antara sebab PSM kerap kecewa di peti undi ‘as far as Malay vote is concerned’.
Imbau sejarah. Menurut Wikipedia asal PSM ialah Parti Sosialis Rakyat Malaysia atau PSRM. Ia ditubuhkan pada 1998 iaitu sembilan tahun setelah PSRM menggugurkan perkatan ‘sosialis’ daripada namanya.
Lantas, PSRM jadi Parti Rakyat Malaysia atau PRM. Lama kemudian (lebih tetap pada 2003 ) PRM bergabung dengan Parti Keadilan Nasional. Maka lahirlah Parti Keadilan Rakyat atau PKR yang sudah menjadi antara parti utama di negara ini.
Bagi PSM, walaupun ditubuhkan pada 1998 ia hanya dapat didaftarkan pada 2008 setelah permohonannya ditolak pihak berkuasa (baca Barisan Nasional ) sekian lama.
Sebelum pendaftaran PSM terpaksa menghantar wakilnya bertanding pilihan raya atas tiket parti pembangkang semasa BN memerintah negara.
Antaranya, Dr Michael Jeyakumar pengerusi PSM sekarang dan bekas pengerusi parti Mohd Nasir Hashim. Kedua-dua bertanding atas tiket PKR dan menang.
Jeyakumar mengalahkan calon BN S Samy Vellu untuk merampas kerusi Parlimen Sungai Siput pada PRU 2008. Nasir pula menang kerusi Kota Damansara DUN Selangor.
Selain itu, tidak ada lagi kejayaan di peti undi. Satu lagi nama yang sering kita dengar ialah S Arutchelvan yang kini memegang jawatan timbalan pengerusi PSM. Beliau bertanding PRN Selangor untuk kerusi DUN Semenyih pada 2013 dan 2018, namun tewas.
Bagaimanapun, seperti dikatakan tadi PSM terus bergerak dan selaku parti haluan kiri dilihat memperjuangkan hak dan kebajikan rakyat golongan bawahan serta pekerja berpendapatan rendah. Arutchelvan atau lebih dikenali sebagai Arul biasanya berada di barisan hadapan.
Pada PRK Ayer Kuning 26 April ini, PSM bertanding lagi. Calonnya ialah Timbalan Setiausaha Agung Bawani KS – orang yang sama PSM letak bertanding di kerusi sama pada PRU15 . Bawani tewas ketika itu.
Kali ini beliau muncul sebagai apa yang PSM panggil ‘third force’ atau suara alternatif dengan meneruskan perjuangan isu rakyat .Semasa diumumkan sebagai calon, Bawani berikrar tidak akan menggunakan sentimen perkauman untuk meraih undi.
Menerusi kenyataan dikeluarkan melalui organ parti ‘Think Left’, 1 April lalu, Jeyakumar berkata semasa partinya mengumumkan hasrat bertanding PRK Ayer Kuning banyak komen diterima daripada wartawan, penganalisis politik dan juga warganet.
“Ada berpendapat tidak ada peluang langsung kami boleh menang. Oleh itu kata mereka bertanding adalah langkah sia-sia”.
Namun, kata beliau ramai yang ‘terlepas pandang’ PSM sejak beberapa tahun terbelakang telah mengetengahkan perspektif segar berhubung banyak isu yang dialami negara – isu yang parti aliran perdana tidak gemar bawa.
Antara isu menurut beliau ialah pembalakan berleluasa yang menjejaskan alam sekitar . Panjang lebar ulasan beliau yang saya tidak perlu huraikan di sini.
Berkata wartawan veteran Zin Mahmud yang mengikuti perkembangan idoelogi sosialisme sejak di bangku sekolah: “Pada pandangan saya pada waktu ini (yakni PRK Ayer Kuning) pertandingan adalah antara Madani dan Perikatan Nasional. Mana-mana ‘third force’ yang masuk gelanggang hanya akan membantu PN. PSM harus konsisten menyebelahi Pakatan Harapan. Soal alam sekitar dan lain isu wajar diperjuangkan in a broad non partisan movement”.
Apabila Zin bercakap mengenai PSM ‘should be consistent with PH’ saya kira beliau merujuk persamaan matlamat dan perjuangan PH khususnya PKR dengan PSM.
Sesungguhnya, PSM sekian lama dilihat condong ke arah PH atau mesra gabungan itu. Cuma atas sebab tertentu atau berpandu ‘prinsip’, PSM tidak berada dalam PH atau tidak diterima PH untuk menganggotainya.
Di Ayer Kuning seperti dikatakan Zin pertandingan ialah antara Madani dengan PN. Madani diwakili BN yakni calon Umno dan calonnya dilihat mempunyai kelebihan besar berdasarkan rekod BN di kawasan itu.
Dalam politik tidak ada yang mustahil. ‘The art of the possible’ kata orang. Namun, harapan PSM untuk menang amat tipis . Tetapi takkan ‘serik’. Pasti terus bertanding selagi ada pilihan raya atas nama perjuangan parti. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.