
Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu berkata langkah terbabit mencerminkan komitmen tulen perdana menteri untuk menegakkan hak negeri yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan.
“Dalam pertemuan dengan perdana menteri, saya telah menyatakan pendirian tegas kerajaan negeri bahawa hak perlembagaan Sabah mesti dihormati, diiktiraf dan dilaksanakan.
“Keputusan untuk tidak membuat rayuan ini mencerminkan hubungan kerja yang kukuh antara kerajaan negeri pimpinan GRS dan Putrajaya,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, Jabatan Peguam Negara memaklumkan keputusan tidak meneruskan rayuan dibuat Jemaah Menteri dalam mesyuarat khas bersama Peguam Negara Mohd Dusuki Mokhtar hari ini.
Justeru, kerajaan persekutuan akan memulakan proses rundingan bersama kerajaan Sabah dengan kadar segera, menurut kenyataan itu.
Pada 17 Okt lepas, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu memutuskan kerajaan persekutuan bertindak secara tidak sah dan melampaui kuasa perlembagaan apabila gagal menunaikan hak Sabah terhadap 40% hasil persekutuan selama hampir lima dekad.
Hakim Celestina Stuel Galid mengisytiharkan pemberian khas yang dipersetujui antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri adalah ‘tidak sah, ultra vires dan tidak rasional,’ serta melanggar Perlembagaan.
Mengulas lanjut, Hajiji berkata, kerajaan negeri bersedia terus berunding secara konstruktif dengan kerajaan persekutuan bagi melaksanakan arahan mahkamah menyemak dan memuktamadkan perjanjian tersebut.
“Rakyat Sabah telah menunggu terlalu lama,” katanya.
“Apa yang diperlukan kini ialah tindakan tegas dan kemahuan politik yang tulen untuk menunaikan serta melaksanakan hak 40% itu,” katanya. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.